Ahad, 9 Ogos 2015

BNBBC minta Najib segera adakan sidang khas Parlimen

Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) hari ini meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak segera mengadakan Persidangan Khas Parlimen bagi mengisi kekosongan jawatan termasuk pengerusi baharu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Pengerusinya Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata kekosongan itu tidak boleh dilengahkan lagi bagi membolehkan PAC dapat berfungsi semula termasuk menyegerakan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini tertangguh.

"Ini adalah konsensus daripada ahli Parlimen BNBBC dan saya sudah sampaikan ini (keputusan) kepada perdana menteri. Beliau (Najib) bersetuju kita adakan sidang sehari," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Segamat di Laman Warisan Senin Khanipah, Kampung Bukit Tunggal, Jementah.

Hadir sama Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, Norshida  Ibrahim, Ketua Umno Bahagian Segamat, Zahari Surip dan Ketua Pemuda Umno bahagian
itu, Bastien Onn.

Mengikut peraturan, ahli PAC yang dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri perlu meletak jawatan daripada jawatankuasa itu.

Dalam rombak Kabinet 28 Julai lepas, Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed dilantik sebagai timbalan menteri dalam negeri manakala tiga lagi anggota jawatankuasa
itu turut dilantik.

Datuk Wilfred Madius Tangau dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai Timbalan Menteri Luar
dan Datuk Mas Ermieyanti Samsudin sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Shahrir berkata bagaimanapun yang menjadi masalah adalah untuk menyelesaikan terlebih dahulu pelantikan Ketua Whip dalam Parlimen yang kini disandang Tan
Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini merupakan timbalan perdana menteri.

"Selain itu, perlu diselesaikan juga adalah pelantikan Ketua Pembangkang yang baharu kerana sebelum ini ketuanya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini
jawatan itu diserahkan kepada Datuk Seri Wan Azizah Ismail," katanya.

Katanya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Dr Wan Azizah perlu dinamakan semula bagi membolehkan mereka disenaraikan dalam Jawatankuasa
Pemilihan untuk melantik jawatankuasa PAC yang baharu nanti.

Justeru, Shahrir mencadangkan agar Muhyiddin, Zahid dan Najib dapat duduk semeja untuk membincangkan penyerahan jawatan Ketua Whip yang baharu kepada Zahid
dalam suasana penuh kekeluargaan.

"Ini nampak lebih manis dan tersusun bagi membolehkan segala-gala perancangan itu teratur," katanya.

Beliau berkata jika persidangan khas itu tidak dapat diadakan, perdana menteri boleh membawa usul pelantikan anggota jawatankuasa PAC itu pada  persidangan
Parlimen yang akan datang pada Oktober nanti. – Bernama, 8 Ogos, 2015.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: