Tun Dr Mahathir Mohamad memperincikan penglibatan ahli perniagaan Low Taek Jho dalam penubuhan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mendakwa beliau turut "menasihati" Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung beberapa transaksi perniagaan.
Menulis dalam blognya, Dr Mahathir menyatakan, Low "memujuk" Najib untuk menjadikan syarikat pendahulu 1MDB, Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) sebagai dana berdaulat, tetapi masih kekal di bawah kawalan perdana menteri.
Bekas perdana menteri itu berkata, Najib melantik kakitangan tanpa pengetahuan negeri pantai timur yang kaya dengan minyak itu.
"Terengganu bersetuju pada mulanya tetapi apabila Najib memutuskan untuk menaikkan melalui bon RM5 bilion menggunakan telaga minyak Terengganu sebagai cagaran, istana dan kerajaan fikir ia tidak betul.
"Terengganu meminta agar penerbitan bon ditangguhkan. Najib tetap meneruskannya. Terengganu mengambil langkah wajar menarik diri kerana ia tidak boleh membiarkan telaga minyaknya dalam risiko,” katanya.
Pendedahan Dr Mahathir itu menyokong kenyataan bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan lepas, 1MDB cuba menggunakan minyak dan gas Terengganu sebagai cagaran, tetapi keputusan itu kemudiannya ditarik balik.
Ahmad berkata usaha itu dibuat ketika 1MDB berkait dengan TIA, dan Najib tidak berpuas hati dengan keputusannya.
Dr Mahathir berkata, Jho Low turut menasihatkan Najib supaya Putrajaya menjamin pinjaman RM5 bilion itu, dan perkara itu dilakukan tanpa pengetahuan Kabinet.
"Sebenarnya, perkara seperti itu perlu dibincang dan diluluskan Kabinet. Tidak ada bukti kertas Kabinet disediakan dan dikemukakan untuk kelulusan walaupun jumlah luar biasa besarnya. Malah, untuk masa yang lama Kabinet tidak menyedari aktiviti 1MDB," katanya.
Beliau juga mendedahkan, pinjaman itu diklasifikasikan sebagai 'off-budget', bermakna ia di luar bajet tahunan dibentangkan dan diluluskan di Parlimen.
Dr Mahathir berkata ini dilakukan bagi mengelakkan penelitian pegawai, sambil menambah prosedur itu tidak dipatuhi.
"Perbelanjaan 'off-budget' boleh dibuat, tetapi biasanya hanya dalam jumlah yang terhad. RM5 bilion tidak pernah dipinjam kerajaan atau mana-mana agensinya. Ia tidak boleh 'off-budget'.
"Ia perlu mendapat kelulusan Kabinet terlebih dulu dan kemudian dibentangkan kepada Parlimen. Semua prosedur ini tidak diikuti," katanya.
Beliau berkata, tidak jelas sama ada mana-mana jabatan atau agensi kerajaan meneliti syarat pinjaman itu.
"Tetapi termanya sangat tidak memihak kepada 1MDB dan kerajaan," katanya.
Beliau berkata Goldman Sachs ditugaskan mendapatkan pinjaman RM5 bilion itu pada kadar faedah 5.9%, dengan bank pelaburan global itu mengambil komisen 10%.
"Ini bermakna, daripada RM5 bilion yang dipinjam, 1MDB akan mendapat hanya RM4.5 bilion. Goldman Sachs akan mendapat RM500 juta sebagai komisen, jumlah wang yang tersangat besar.
"Tetapi 1MDB akan membayar faedah 5.9% atas keseluruhan RM5 bilion itu. Kerana ia hanya mendapat RM4.5 bilion, kadar faedah ke atas jumlah ini akan menjadi lebih 6.6%. Goldman Sachs tidak perlu membayar faedah ke atas RM500,000 yang diterimanya sebagai komisen, " katanya.
Sebaliknya, Dr Mahathir berkata, pinjaman yang diambil atau dijamin kerajaan biasanya mempunyai faedah 3% atau kurang.
Bagaimanapun, pinjaman 1MDB adalah pada faedah hampir 7%, atau kira-kira RM350 juta setahun atau hampir RM1 juta setiap hari.
"Siapa meluluskan pinjaman yang begitu teruk itu untuk sebuah syarikat milik kerajaan? Kita ingin tahu siapa. Mesti ada dokumen yang mempunyai tandatangan pihak berkuasa yang meluluskannya. Jika tidak, seseorang perlu menjawab kebodohan ini. Atau adakah ia penyalahgunaan kuasa?
"Tetapi kelulusan akhir mesti datang daripada menteri yang bertanggungjawab. Dan menteri yang bertanggungjawabnya ialah juga yang mengetuai 1MDB,” katanya. – 12 Jun, 2015.
RUANG PENGIKLANAN
MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI
0 respon:
Catat Ulasan