Sabtu, 16 Mei 2015

Penyokong Anwar dan Nalla bertekak isu 'nasi'

Sebuah drama yang tidak dijangkakan berlaku di mahkamah hari ini di antara penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas rakan tenisnya, Datuk S Nallakaruppan yang bertekak mengenai isu 'nasi'.

Insiden itu berlaku sebelum Anwar dijadualkan untuk memberi keterangan buat pertama kalinya terhadap senator itu.


Anwar menyaman Nallakaruppan atas dakwaan membuat kenyataan fitnah dalam artikel 'Anwar terima RM60 juta' yang diterbitkan dalam Mingguan Malaysia dan Sinar Harian pada bulan Ogos 2008.

Anwar dibawa melalui pintu masuk depan mahkamah oleh tujuh pengawal Jabatan Penjara pada kira-kira jam 8.50 pagi.

Dia bersalaman dengan penyokongnya ketika dibawa masuk ke dalam bilik mahkamah.

Anwar yang juga bekas ahli Parlimen Permatang Pauh, kemudian dibawa ke dalam bilik saksi manakala pengawal penjara berkawal di situ.

Seorang anggota polis mahkamah kedengaran mengingatkan mereka di galeri awam supaya tidak mengambil gambar menggunakan telefon pintar.

Manakala seorang pengawal penjara juga dilihat mengarahkan seorang wanita yang merakam gambar di galeri awam supaya memadam imej berkenaan.

Kemudian mahkamah terganggu apabila Nallakaruppan yang juga Presiden Parti Bersatu India Malaysia masuk.



Nallakaruppan pernah menjadi penyokong kuat Anwar dan meninggalkan PKR selepas gagal memenangi jawatan naib presiden parti itu dan juga tidak dipilih mewakili PKR bertanding dalam pilihan raya kecil Ijok.
Di dalam mahkamah, beberapa penyokong Anwar memanggil Nallakaruppan "pengkhianat".

"Awak makan nasi daripada dia," jerit mereka.

Nallakaruppan menjerit balik: "Dia sudah ambil nasi saya banyak tau."

Mujurlah, apabila Nallakaruppan dan penyokongnya berjalan lebih dekat dengan penyokong Anwar, seorang anggota polis mahkamah segera campur tangan dan meminta mereka bertenang.

Adalah perkara biasa bagi penyokong Anwar hadir di semua perbicaraan yang melibatkan ketua umum PKR itu.
Antara yang hadir ialah Ahli Parlimen Subang Jaya Wong Chen, bekas setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Naib Presiden PKR Tian Chua dan Exco Kerajaan Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad dan Elizabeth Wong.

Selepas Anwar memberi keterangannya, wartawan cuba mendekatinya dan jurugambar yang terlepas mengambil gambar ketika ketibaannya, bergegas untuk mengambil gambarnya.

Ketika dibawa dengan kawalan yang ketat, Anwar melambai dan tersenyum semsa dia dibawa untuk solat Jumaat sebelum dibawa balik ke penjara Sungai Buloh.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: