Selasa, 24 Julai 2018

Rosmah Mansor nafi lagi ...

Isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor menafikan beliau membeli mana-mana daripada 44 barang kemas bernilai US$14.79 juta atau hampir RM60 juta, yang didakwa dihantar kepada beliau untuk dipilih oleh sebuah syarikat pemborong barang kemas Lubnan.

Rosmah, isteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan demikian dalam pernyataan pembelaan beliau yang difailkan menerusi firma guaman Messrs Geethan Ram di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, dalam kes saman yang difailkan oleh syarikat pemborong barang kemas Lubnan yang berpangkalan di Beirut, Global Royalty Trading SAL.

"Anak guam kami tidak membeli mana-mana barang kemas yang menjadi perkara utama dalam saman berkenaan. Oleh itu, hak milik sah barang kemas berkenaan tidak pernah berpindah kepada anak guam kami," menurut siaran akhbar firma guaman itu.

Menurut firma guaman itu, barang kemas yang dinyatakan itu dihantar kepada Rosmah untuk dipilih atas sifat beliau sebagai isteri perdana menteri Malaysia, merupakan kehendak dan kerelaan plaintif sendiri dan tanpa sebarang kewajipan bagi Rosmah untuk membelinya.

Beliau berkata saman yang difailkan oleh Global Royalty selaku plaintif telah melanggar peruntukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

"Oleh itu, saman yang difailkan oleh Global Royalty terhadap anak guam kami jelas menyalahi undang-undang, remeh, menyakitkan hati dan/atau penyalahgunaan proses mahkamah.

"Dalam keadaan ini, pendirian yang dipegang Global Royalty bahawa anak guam kami bertanggungjawab untuk membayar mereka ganti rugi berjumlah RM59,831,317.40 merupakan salah anggapan dan tanpa sebarang asas undang-undang," kata firma guaman itu.

Firma guaman itu berkata anak guam mereka, apabila tiba masanya, akan mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk membatalkan saman berkenaan.

Rosmah diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran, Rajivan Nambiar, Reza Rahim, Lavania Raja dan Revin Kumar.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menetatpkan 27 Julai untuk pengurusan kes dan mengarahkan Rosmah supaya memfailkan pernyataan tuntutannya sebelum 23 Julai.

Pada 26 Jun lepas, Global Royalty memfailkan saman terhadap Rosmah bagi menuntut beliau memulangkan kembali 44 barangan kemas yang didakwa dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga barang kemas berkenaan berjumlah US$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Dalam pernyatan tuntutannya, Global Royalty, sebuah syarikat pemborong barang kemas, mendakwa Rosmah merupakan pelanggan tetap syarikat itu dan syarikat itu akan menghantar barangan kemas kepadanya mengikut permintaannya.

Beliau kemudiannya akan menilai dan membeli barang kemas mengikut pilihannya melalui pembayaran sama ada daripada beliau sendiri atau menerusi pihak ketiga.

Syarikat itu, yang membekalkan barang kemas kepada kerabat diraja serta pelanggan kaya dari seluruh dunia mendakwa barangan kemas yang tidak dipilih akan dipulangkan dan ada kalanya dalam keadaan tertentu Rosmah juga akan meminjam beberapa barang kemas itu dan memulangkannya kepada plaintif.

Plaintif mendakwa defendan akan menerima barangan kemas daripada syarikat itu melalui defendan sendiri atau pekerja/ejennya di Kuala Lumpur, Singapura atau Dubai.

Syarikat itu juga mendakwa pada 10 Feb lepas, pihaknya telah menyerahkan 44 unit barangan kemas, termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara US$124,000 dan US$925,000 kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejen syarikat itu.

Plaintif berkata semasa serahan itu, defendan juga menerima terma dan syarat yang dinyatakan dalam Memorandum bernombor 926 berkaitan senarai barang kemas itu.

Global Royalti mendakwa Rosmah melalui surat bertarikh 22 Mei lepas mengesahkan dan mengakui penerimaan barangan berkenaan dan defendan secara bertulis pada tarikh sama turut mengesahkan kesemua barang kemas itu tidak lagi berada dalam milikannya tetapi disita dan kini berada dalam jagaan pihak berkuasa Malaysia.

Syarikat itu mendakwa pada setiap masa material, plaintif adalah pemilik kepada barang kemas tersebut dan hak pemilikan itu tidak pernah berpindah kepada defendan.

Dalam tuntutan itu, Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa mereka adalah pemilik sah 44 unit barangan kemas itu selain memohon perintah bahawa hak milik barang kemas itu tidak berpindah kepada defendan.

Syarikat itu juga memohon perintah mandatori supaya Rosmah memberikan senarai sitaan barang kemas berkenaan dan memohon perintah supaya barang kemas dikembalikan atau sekiranya barang-barang itu tidak dapat dipulangkan, Rosmah bertanggungjawab untuk membayar barang kemas itu berjumlah US$14.79 juta (RM59.831 juta).

-- BERNAMA


*kekeke, asal bukan pakatan harapan. Ini yang PAS suka ...

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: