Jumaat, 14 Ogos 2015

Panas!! Surat Husam Musa Kepada kepada Exco Kelantan

Dengan Nama Allah Maha Pemurah Maha Pengasih
YB Dato Haji Hanipa Haji Ahmad,
Pengerusi Baldah Toyyibah (Prasarana) Sdn Bhd,
merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan,
Kota Darul Naim, Kota Bharu.

POHON PENJELASAN TENTANG KELULUSAN PEMBALAKAN KAWASAN DI HUTAN SIMPAN ULU SAT YANG TERLIBAT DENGAN LALUAN LEBUH RAYA RAKYAT
Saya mengutuskan surat ini untuk mendapatkan penjelasan terhadap tajuk di atas ekoran adanya penulisan oleh Facebookers secara berleluasa sejak lama yang
mengaitkan saya sebagai pihak yang mendapat faedah dari tebangan balak di kawasan laluan Lebuhraya Rakyat dan kawasan R n R (Rehat dan Rawat) di Hutan
Simpan Ulu sat.

Penjelasan YB Dato boleh membantu menjelaskan kedudukan yang sebenar.

A. Siapa Mendapat Faedah Dari Tebangan Hutan Berkaitan?

Adakah saya, terlibat dalam sebarang bentuk faedah dan kepentingan berkait dengan tebangan balak bagi ketiga-tiga Blok yang diluluskan kepada Baldah?

B. Bila Kelulusan Pembalakan Diperolehi?

Selanjutnya, saya pohon penjelasan bilakah Baldah mendapat kelulusan secara rasmi untuk mengusahakan hasil hutan dalam blok-blok yang terlibat? Ini penting
untuk menunjukkan siapa bertanggungjawab memberikan kelulusan itu.

C. Bagaimana Syarikat Lucky Wong Terlibat Dengan Baldah?

Saya difahamkan lesen pembalakan dikeluarkan atas nama Baldah Toyyibah (Prasarana) Sdn Bhd (lesen no DT 01 (P) - 16 - 15) dan Baldah juga telah didaftarkan
sebagai kontraktor bagi kawasan yang diluluskan.

Setahu saya, Baldah secara tidak rasmi bagaimana pun telah melantik Syarikat Lucky Wong (Wong Bertuah) Sdn Bhd sebagai kontraktor bagi kerja penebangan.

Saya pohon penjelasan YB Dato, jika Lucky Wong memang dilantik sebagai kontraktor, bagaimana cara pemilihan Syarikat Lucky Wong dilakukan?  Secara runding
terus atau tender?

Jika tidak, apa hubungan Baldah dengan Lucky Wong?

Siapakah pemilik Syarikat Lucky Wong?

Apakah terma perlantikannya? Bagaimana pula bentuk pembayaran atau keuntungan antara Baldah dan Lucky Wong?

Berapakah jumlah tan kayu yang ditebang setakat ini? Berapakah nilai jualannya? Berapakah dari jumlah itu menjadi hasil bersih Baldah setakat ini?

D. Adakah Kawasan Cadangan R n R Akan Ditebang Habis?

Dari tiga blok Hutan Simpan Kekal Ulu Sat yang diluluskan  kepada Baldah, satu darinya untuk laluan lebuh raya dan dua lagi iaitu blok A (65 hektar) dan
blok B (10 hektar) adalah untuk R n R (Rehat dan Rawat).

Seingat saya, dalam pelan asal, kawasan R n R (Rehat dan Rawat), tidak ada tebangan habis akan dilakukan. Ini atas hasrat Almarhum YAB Tuan Guru Menteri
Besar pada waktu itu supaya kawasan hutan dikekalkan untuk menjadikan ia R n R mesra alam yang pertama di Malaysia serta R n R yang terindah dengan pokok-pokok
asli dan air terjun berdekatan.

Namun begitu, dari perkembangan terakhir yang saya dapati, Baldah telah memperolehi kelulusan untuk tebang habis. Bahkan, dikatakan tebangan telah dilakukan
di  luar kawasan yang diluluskan dan ubah sempadan dari pelan kelulusan asal telah berlaku.

Ini mungkin merosakkan pelan asal untuk menempatkan R n R berkenaan dalam teduhan pokok-pokok besar yang asal untuk tujuan rekreasi pengunjung.

Saya pohon penjelasan adakah ini benar berlaku?

Adakah tebangan habis akan dilakukan dan mengapa ia dilakukan? Mengapa cadangan asal atas hasrat Tok Guru diubah?

Jika Baldah tidak berhasrat untuk menebang habis, kenapa dinyatakan dalam kelulusan lesen adalah tebang habis?

E.  Kenapa Pembalakan  Disita dan Ditahan?

Adakah benar tebangan di luar kawasan berlaku?

Adakah benar sempadan asal diubah?

Saya difahamkan Baldah telah menafikan ia dilakukan oleh kontraktor Baldah.

Namun, dari tinjauan saya dengan Pejabat Perhutanan Negeri Kelantan (PPNK), tiada usaha hasil hutan yang lain berdekatan. Serta tiada kelulusan lain berdekatan
dikeluarkan dan tiada pihak lain melakukan apa-apa kegiatan pembalakan berdekatan.

Dengan itu, mustahil pihak lain yang tidak berkaitan melakukan tebangan luar kawasan tanpa jentera dibawa masuk dan ubah sempadan boleh dilakukan.

Saya difahamkan, Pejabat Perhutanan Negeri Kelantan (PPNK) telah menghentikan kerja pembalakan dan menyita kayu-kayu yang telah ditebang  oleh kontraktor
Baldah dengan lebih 1,000 tan kayu telah ditahan. Sehingga hari ini, saya difahamkan,   penahanan masih diteruskan.

Kejadian ini sangat mendukacitakan saya selaku salah seorang ADUN yang mendokong Dasar Membangun Bersama Islam. Sudah tentu kejadian ini mencemarkan penghayatan
dasar ini.

Saya juga yakin, rakyat negeri ini merasa dukacita dengan kejadian ini.

Saya difahamkan, bagi Blok B seluas 10 hektar, semua kayu telah ditebang dan bagi Blok A pula, baru 20% kawasan ditebang sebelum penyitaan berlaku.

Ini bermakna, 23 hektar dari kedua-dua blok telah ditebang.

Dengan jumlah kayu yang disita melebihi 1,000 tan, bermakna secara purata dianggarkan sebanyak 43 tan se hektar balak bagi kawasan ini. Ia mungkin termasuk
kayu yang ditebang di luar kawasan yang diluluskan dan dengan itu anggaran purata per hektar  mungkin sedikit berkurangan

Ia satu jumlah yang agak banyak yang menunjukkan kawasan ini adalah kaya dan dengan itu, sewajarnya ia tidak diambil kesempatan lain selain tujuannya yang
asal.

Jika benar selepas siasatan dilakukan tebangan luar kawasan berkait dengan Baldah iaitu agensi Kerajaan Negeri sendiri, ia satu perbuatan yang memalukan.

Lebih meragukan lagi, jika benar pihak lain melakukan perbuatan itu, adakah Baldah  telah melaporkannya dengan segera kepada Pejabat Perhutanan Negeri
Kelantan (PPNK)?

Jika laporan dibuat, bila tarikh laporan itu dibuat?

Jika tidak, kenapa tiada laporan dibuat?

Dalam hal ini, saya pohon penjelasan samada YB Dato sendiri telah mengambil tindakan menyiasat siapa sebenarnya terlibat melakukan perbuatan itu?

Ini adalah penting untuk membersihkan nama baik Baldah jika Baldah memang tidak terlibat sama sekali.

Jika tidak, ia memberikan persepsi - dengan keluasan sesempit itu pun keselamatan kawasan hutan tidak   dapat dijaga oleh agensi kerajaan sendiri. Harapkan
pagar, pagar sendiri memakan padi, kata pepatah.

F. Di atas adalah antara perkara-perkara yang saya pohonkan penjelasan dari YB Dato.

Sebahagian pertanyaan itu adalah atas kepentingan dan  kebaikan Negeri Kelantan jua.

Saya sangat berharap mendapat maklum balas yang adil dan segera dari YB Dato, khususnya untuk membersihkan nama baik saya yang cuba dicemari dengan niat
jahat sejak sekian lama.

Semoga Allah memelihara kita semua, khususnya dalam menunaikan amanah mengikut cara yang sebaiknya untuk mendapat keredhaanNya pada hari Kebangkitan Agung
yang menjadi tujuan semua pejuang Islam. Itulah antara janji kita kepada perjuangan ini dan janji kita kepada rakyat Kelantan.

Sekian, terima kasih.

Yb Dato Husam Musa

Adun Salor/Yang DiPertua Pas Kubang Kerian, Kelantan
28 Syawal 1436/13 Ogos 2015

s.k:

1. YAB Ustaz Dato Menteri Besar Kelantan Darul Naim

2. YA Berusaha Tuan Pengarah Jabatan  Perhutanan Negeri Kelantan
3. Media

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: