Jumaat, 14 Ogos 2015

Mana Presiden PAS dan kuncunya nak sorok muka dengan pendedahan ini?

siri 1 :Punca sebenar perpecahan PAS
Oleh KHALID SAMAD

Perkembangan mutakhir ini, dengan kemunculan gerakan Harapan Baru (HB) telah menyebabkan ramai ahli PAS berada dalam keadaan kebingungan. Mereka tertanya-tanya
apa sebenarnya yang sedang berlaku? Mengapa PAS yang selama ini kelihatan kukuh bersatu dan sedang berada dalam kedudukan yang antara paling berjaya sepanjang
sejarahnya, tiba-tiba bagaikan berpecah dua?

Bagi sebahagian ahli, soalan yang timbul dijawab secara mudah dan dengan kaedah menghukum seperti, “tiadanya keikhlasan”, “proses pembersihan”, “sifat
munafik”, “kecewa” dan sebagainya.

Namun dijawab pula sebahagian yang lain bahawa, “mereka yang terlibat adalah orang-orang lama, lebih 30 tahun bersama PAS dan telah berkali-kali diuji
dan terbukti keikhlasan mereka. Sekiranya sebab-sebab seperti itu adalah puncanya, sudah pasti sudah lama mereka meninggalkan perjuangan ini”. Oleh itu
ramai dari kalangan ahli biasa menolak penjelasan yang mudah seperti itu. “Semestinya wujud sebab yang lain”, kata sebahagian mereka lagi.

Maka di atas sebab lain inilah yang cuba saya rungkaikan di sini. Dalam membuat analisa ini, saya terpaksa menjelaskan bukan sahaja yang tersurat tetapi
juga yang tersirat. Mungkin bacaan saya tepat, tetapi mungkin juga sebaliknya, namun dalam usaha memahami keadaan yang telah berlaku, penjelasan yang saya
kemukakan ini adalah, bagi saya, yang paling munasabah dan rational.

BERMULANYA MASALAH

Masalahnya pada hemat saya bermula selepas sahaja kemenangan tercapai dalam PRU 2008. Boleh dikatakan ianya merupakan ‘ujian kemenangan’ buat PAS. Pada
ketika itu, PAS dan PKR berada dalam Barisan Alternatif (BA). Untuk menghadapi PRU 2008, telah diwujudkan persefahaman politik antara BA dan DAP demi mengelak
berlakunya pertandingan tiga penjuru apabila berdepan dengan UMNO/BN.

Tanpa dijangka, BA dan DAP telah mencapai keputusan yang begitu baik sehingga memungkinkan pembentukan kerajaan di lima Negeri dan menafikan majoriti 2/3
BN di Parlimen. Oleh kerana ianya tidak dijangka, maka PAS agak bercelaru menanganinya!

Sehari selepas keputusan diumumkan, terdapat pimpinan PAS yang telah mengatur pertemuan dengan pimpinan UMNO. Yang sah dan nyata, cadangan membentuk kerajaan
bersama UMNO/BN telah dipertimbangkan untuk Selangor dan Perak. Saya tidak dengar cadangan sama dipertimbangkan untuk Kedah. Mungkin untuk Kedah ianya
tidak dianggap perlu atas sebab PAS adalah majoriti. Ianya juga tidak releven untuk Kelantan.

Di Pulau Pinang pula, jumlah kerusi DAP dan PKR mencukupi untuk pembentukan kerajaan. Maka tiada apa yang boleh dilakukan PAS kecuali untuk bersama.

‘KETIDAK SELESAAN’ PIMPINAN UTAMA PAS

Racangan bertemu pimpinan UMNO ini mungkin atas sebab ‘ketidak selesaan’ pimpinan utama PAS dengan pilihan membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP, melalui
pembentukan PR, di Selangor dan Perak. Pada ketika itu, di kedua-dua negeri tersebut, PAS mempunyai kerusi paling sedikit berbanding PKR dan DAP. Pada
masa yang sama, barisan pembangkang merupakan barisan pembangkang kesemuanya Melayu Islam dari UMNO! Maka adalah dipercayai pimpinan utama PAS merasakan
kekeliruan teramat untuk PAS berada di pihak majoriti bukan Melayu Islam berhadapan dengan pembangkang Melayu Islam!

Walaupun usaha rundingan ini telah akhirnya berjaya dipintas, namun sikap ‘tidak selesa’ memerintah bersama PKR dan DAP dalam keadaan PAS tidak ‘dominan’
terus menghantui pimpinan utama di dalam PAS. Hasil dari itu, timbul pemikiran yang mempertikaikan kebijaksanaan pendekatan ‘PR’ kerana ia memungkinkan
PAS ‘memerintah bersama’ tetapi dalam keadaan minoriti.

Namun ketidak selesaan ini tidak dikemukakan untuk dibincang tetapi sebaliknya ianya dipendam. Dan dalam setiap ucapan, ungkapan “kukuhkan PR” terus diulangi
walaupun hati berkata sebaliknya.

SEPTEMBER 16 DAN KONSEP UG

Di atas kerangka pemikiran dan logik yang sama, maka cadangan September 16 anjuran DSAI ditolak pimpinan utama PAS. ‘Majoriti Islam Melayu’ adalah syarat
yang tidak mampu dipenuhi pada ketika itu.

Pada 2009 mungkin hasil ‘ketidak selesaan’ ini juga, maka cadangan
‘Unity Government’ dikemukakan oleh DS Presiden PAS
tanpa apa-apa perbincangan di peringkat PAS Pusat mahu pun Majlis Syura. Mungkin UG ini dilihat sebagai satu-satunya cara untuk melepaskan PAS dari dilema
bersama PKR dan DAP tanpa ‘dominasi’ PAS. Pada ketika itu kerusi PAS di Parlimen juga adalah yang tersedikit berbanding rakan PR. Melalui UG, paling kurang,
majoriti ‘Melayu Islam’ dapat tercapai kalaupun tidak dominasi PAS.

Akan tetapi segala perbincangan berhubung UG ini telah dipatahkan oleh Almarhum TGNA sehingga akhirnya ianya ditarik balik secara rasmi.

Sebuah kerajaan PR dengan PAS atau ‘Melayu Islam’ sebagai minoriti, di Parlimen dan di beberapa Negeri, yang mungkin terbentuk melalui kemenangan PR, tidak
boleh diterima oleh pimpinan utama PAS. Akan tetapi, ramai dari pimpinan Pusat tidak melihatnya sebagai satu ‘masalah’ yang mewajibkan PAS mempertimbang
kembali keterlibatannya dalam PR! Pada masa sama, ahli biasa semakin teruja dengan terbentuknya PR. Ini terbukti melalui keputusan pemilihan Muktamar PAS
pada tahun 2011.

Pada muktamar 2011 saya sendiri telah dipilih sebagai AJK PAS Pusat setelah gagal beberapa kali sebelum itu. Kemenangan saya diyakini atas sebab sikap
pro-PR saya yang turut disokong perwakilan pada ketika itu.

MENANGANI ‘MASALAH’ PEMIMPIN DAN AHLI ‘TERLALU’ PRO-PR

Pada ketika inilah, pada hemat saya, ada yang merasai bahawa demi menangani ‘masalah’ ini, maka perlu ditukar saff pimpinan AJK PAS Pusat dengan yang tidak
terlalu pro-PR. Pada masa sama, perlu juga ditimbulkan keresahan ahli terhadap keterlibatan PAS dalam PR. Kalau tidak, maka hubungan PAS dan PR akan benar-benar
dikukuhkan dan dengan itu dilema pimpinan utama PAS akan berterusan!

Masalah ini ditangani melalui strategi serampang dua mata seperti berikut:-

1. Pimpinan ‘terlalu pro-PR’ perlu dijatuhkan pada pemilihan Muktamar dengan apa cara sekalipun, termasuk pendekatan melabel dan fitnah

2. Hubungan antara PAS dan PR perlu digodak sehingga ahli terpaksa pilih antara PAS atau PR

STRATEGI PERTAMA: MULANYA KEMPEN FITNAH DAN MELABEL

Maka sejak selepas muktamar 2011, usaha dimulakan untuk menyebarkan kebencian terhadap pemimpin tertentu.
Istilah ‘parasit’, ‘Anwarinas’ dan ‘Erdogan’ mula dipopularkan
dan pemimpin yang disasarkan ini turut dikritik kerana ‘tidak menyokong ide UG yang dikemukakan Presiden. Mereka dituduh menolak konsep UG kerana “mementingkan
kepimpinan dan politik DSAI lebih dari politik DS Presiden”.

Pada muktamar PAS 2013, usaha untuk menjatuhkan pimpinan yang terlalu pro-PR telah diusahakan tetapi menemui kegagalan. Kewujudan usaha ini telah
didedahkan oleh Dr. Hassan Ali melalui ‘video masyhurnya’ yang dirakam di satu majlis di Melaka pada 2013.

Kegagalan ini menyebabkan berlakunya usaha yang lebih gigih ke arah ‘pembersihan’ saff pimpinan dari anasir yang kononnya “wala’ Pakatan melebihi wala’
kepada PAS”.

i) Strategi Menjatuhkan Pimpinan ‘Terlalu Pro-PR’ Pada Muktamar 2015

Dengan itu strategi yang lebih kemas telah disusun bagi menghadapi Muktamar 2015.

Langkah pertama dilakukan sebaik sahaja selesai muktamar 2013. Pesuruhjaya PAS Negeri yang terlalu kommitted dengan PR ditukar. Antaranya, Dr. Rani, yang
di bawah kepimpinannya PAS Selangor telah mencapai prestasi terbaik sepanjang sejarahnya dengan memenangi 15 kerusi DUN. Sambil itu muka baru turut dilantik
sebagai PJ Perak walaupun terdapat mereka yang lebih lama dan lebih layak.

Langkah kedua adalah perlaksanaan program dalaman parti yang menjalankan kempen memburuk-burukkan pemimpin pro-PR. Program dalaman seperti Liqa’ Fikri,
Liqa’ Siyaasi, Nekad dan sebagainya dianjurkan sepanjang hampir dua tahun dengan tujuan menanamkan kebencian ahli terhadap kelompok pemimpin ini.

Langkah ketiga, mempopularkan individu tertentu melalui program dalaman ini sambil pemimpin yang ingin ditolak terus diasak dan diserang dengan didakwa
membawa fikrah menyimpang dari dasar Islam! Tuduhan bahawa kononnya ada usaha untuk menjatuhkan Presiden mula diwar-warkan melalui program dalaman seperti
ini.

Langkah keempat adalah untuk menguasai cawangan dan kawasan tertentu sebelum muktamar 2015 supaya usaha menukar saff pimpinan dapat dijayakan. Ini menjadi
lebih mudah dengan kehadiran asatizah muda yang telah diasuh sejak 2009 dengan sikap tertentu. Mereka telah muncul sebagai pimpinan cawangan dan kawasan.

Langkah kelima dan terakhir, menghalang mereka yang ingin dijatuhkan dari bertemu dengan ahli melalui program parti. Program yang ingin diadakan oleh pimpinan
ini dituduh “berniat berkempen” dan ditolak oleh pimpinan beberapa negeri tetapi program menjatuhkan mereka terus dianjurkan.

Lima langkah seperti di atas telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ianya tidak mungkin suatu kebetulan.

ii) Aduan Kepada Pimpinan Utama

Apabila diadu persoalan kempen jahat ini kepada DS Presiden semasa mesyuarat AJK PAS Pusat, maka telah sekadar dijawab bahawa fitnah dan dakyah adalah
‘perkara biasa’. Maka disyorkan semua yang difitnah dan diberi gelaran menghina menerimanya sebagai ‘sumber pahala’! Pokoknya, bibit perpecahan disemai
dan dibiarkan begitu sahaja.

Terdapat juga pimpinan yang ‘menfatwakan’ bahawa label-melabel adalah ‘Sunnah’! Mereka mengemukakan berbagai hujjah untuk mempertahankan amalan terkutuk
ini. Yang paling mengelirukan adalah dakwaan bahawa Abdullah Azam telah berpesan supaya sekiranya ada 10 peluru, maka 9 adalah untuk pengkhianat dan hanya
1 untuk musuh luar! Sedangkan Abdullah Azam menceritakan mengenai perjuangan untuk mencapai kemerdekaan menentang penjajah dan ‘pengkhianat’ yang dimaksudkan
adalah orang tempatan yang bersekongkol dengan penjajah! Bukan ahli jemaah sendiri!

Tanpa usaha menghentikannya, media sosial dimanfaatkan untuk memperhebatkan lagi usaha dakyah dan fitnah terhadap pimpinan yang ingin dijatuhkan. Gelaran
yang lebih serius diperkenalkan termasuk “Liberal, Sekular, Plural, anti-hudud, anti-ulama” dan sebagainya.

iii) Kemuncak Usaha Penyingkiran Pimpinan ‘Terlalu Pro-PR’

Pada muktamar 2014, istilah ‘barua dan broker’ diperkenalkan oleh DS Presiden sendiri.
Melaluinya, pendirian DS Presiden yang jelas ‘berpihak’ semakin terserlah. DS Presiden menggelar saff pimpinan yang sediada pada ketika itu sebagai “pilihan
muktamar, bukan pilihan dirinya”.

Menjelang Muktamar 2015, DS Presiden mengeluarkan kenyataan samada “pilih pimpinan pilihan PAS atau pilihan DAP”. Juga disebut “Muktamar sebagai medan
membersihkan PAS dari pemimpin Sekular”.

Dengan usaha gigih yang dilakukan serta keterlibatan pimpinan utama sendiri, maka tidak hairan bahawa akhirnya matlamat pertama tercapai dengan cemerlangnya.
Pimpinan yang ingin dijatuhkan dapat dijatuhkan secara ‘setandan’.

Bahagian kedua esok saya akan cuba menjelaskan strategi kedua, iaitu menimbulkan keresahan ahli terhadap PR. Ianya telah dilaksanakan dan jelas kelihatan
semakin berjaya.

WaLlahu 'Alam

siri kedua

Punca Sebenar Perpecahan Dalaman PAS (Bahagian II)
Oleh Khalid Samad

Dalam
Punca Sebenar Perpecahan Dalaman PAS (Bahagian I)

saya telah menceritakan latar belakang bermulanya perpecahan dalam PAS dan sebab-sebab mengapa ianya berlaku. Seterusnya saya telah mendedahkan keinginan
pimpinan utama untuk mengubah hala-tuju PAS atas sebab ketidak selesaannya berada di dalam PR.

Akhirnya saya telah menyatakan bahawa untuk keinginan itu terlaksana, maka dua perkara perlu dilakukan. Pertama, saff pimpinan yang terlalu pro-PR perlu
diganti dan kedua, sokongan ahli terhadap PR perlu dilunturkan.

Kaedah bagaimana saff pimpinan dijatuhkan telah saya dedahkan secara terperinci dalam Bahagian I. Dalam Bahagian II ini, saya ingin menjelaskan bagaimana
sokongan ahli terhadap PR dilunturkan.

STRATEGI KEDUA: DIGODAKNYA HUBUNGAN PAS DAN PR

Sambil usaha dijalankan untuk menyisihkan saff pimpinan yang terlalu pro-PR, strategi untuk meyakinkan ahli bahawa PAS perlu keluar dari PR turut dilaksanakan.
Ini diusahakan dengan mencetuskan perbalahan secara berterusan dengan PKR pada mulanya dan DAP kemudiannya.

FASA 1: PERTEMBUNGAN DENGAN PKR

Pada pilihan raya 2013 dengan tidak semena-menanya telah berlaku
‘drama’ Kota Damansara, tuduhan ‘pil kuda’ dan pertindihan di enam (6) kerusi.
Suasana bersepakat yang selama ini tenang dan baik tiba-tiba bergolak seolah-olah tanpa sebab.

Kerusi Kota Damansara telah dipersetujui diperingkat Negeri dan Pusat sebagai kerusi milik PKR. Dr. Nasir yang menjadi ADUN sejak 2008 atas tiket PKR telah
berkhidmat tanpa menerima sebarang aduan dari PAS Negeri Selangor, samada dari PAS Kawasan Subang ataupun Majlis Tindakan DUN PAS Kota Damansara. Tetapi
secara tiba-tiba beliau dituduh “mempertuhankan Lenin dan Marx” dan oleh itu ahli PAS Subang menolaknya dan meletak calon PAS. Tindakan mereka yang disokong
DS Presiden hanya memenangkan calon BN! Namun tiada kekesalan walaupun sedikit ditunjukkan mereka yang terlibat dengan menangnya calon UMNO sehingga ke
hari ini.

Begitu juga dengan tuduhan adanya calon PKR yang jual pil kuda! Mengapakah tuduhan ini perlu dilakukan secara terbuka sebegitu rupa sambil pilihan raya
sedang berjalan? Tidakkah lebih wajar ianya dijelaskan secara tertutup kepada PKR dengan dibawanya 2 orang saksi atau bukti lain? Tidakkah itu lebih selari
dengan kehendak keadilan Islam tanpa dipalit mana-mana individu dengan tuduhan yang sembrono sebegitu rupa?

Berdasarkan tindakan sebegini, tidak salah sekiranya ada yang merumuskan bahawa ianya tindakan yang sengaja dilakukan untuk memulakan ketegangan antara
PAS dan PKR!

Selepas sahaja PRU 2013, walaupun pencapaiannya membanggakan dengan PR memperolehi undi popular melebihi 50%, Dewan Ulama PAS Pusat telah mengadakan Multaqa
Ulama pertama di mana diusulkan supaya tahaaluf siyaasi dikaji semula. Dalam usul itu, dicadangkan hubungan PAS dengan PKR dikaji kembali.

i) PR Merugikan PAS?

Keadaan di mana PAS kekurangan kerusi Parlimen dari 23 pada 2008 ke 21 pada 2013 digunakan sebagai hujjah betapa PR merugikan PAS. Sedangkan pengurangan
tersebut berlaku hasil perbalahan dalaman PAS Kedah yang tidak ditangani dengan baik sehingga PAS bukan sekadar kehilangan 5 kerusi Parlimen di Kedah tetapi
telah kehilangan kerajaan Negeri di Kedah!

Kehilangan kerajaan Negeri dan kerusi Parlimen di Kedah sebenarnya tiada kena-mengena dengan keberadaan PAS bersama PR. Ianya hasil perbalahan dalaman
PAS sendiri tetapi seperti biasa, lebih mudah menuding jari pada pihak lain dari mengakui kelemahan sendiri. Pada masa sama, ianya digunakan sebagai alasan
untuk memudahkan pencapaian agenda pimpinan utama iaitu menyalahkan PR.

Usul Multaqa Ulama pertama pada 2013 ini kemudiannya berjaya diketepikan dengan menyatakan istilah ‘kaji semula’ bermaksud ‘kaji semula untuk diperbaiki’.
Ianya dapat diketepikan pada ketika itu kerana masih ramai AJK PAS Pusat yang pro-PR.

ii) Pertembungan Dengan PKR Ditingkatkan

Krisis MB Selangor pada 2014
merumitkan lagi suasana apabila DS Presiden berkeras ingin pertahankan TSKI sambil ramai dari pimpinan Pusat dan PAS Selangor sendiri menganggap sebaliknya.
TSKI dianggap mempunyai kelemahan dalam pengurusannya dan isu cara penyelesaian hutangnya sebanyak RM56 Juta dengan BIMB turut dipersoalkan.

‘Langkah Kajang’ hasil penolakan terhadap TSKI meruncingkan lagi suasana. Pada ketika itu PKR dan DSAI dijadikan sasaran di ‘media sosial ahli PAS’ seperti
FB ‘El-haraki’ dan pimpinan PAS yang menyokong penukaran MB dituduh boneka PKR.

Dalam menghadapi krisis ini Presiden PKR telah turut dihina secara terbuka oleh DS Presiden PAS. Sedangkan, semua memahami, kenyataan tersebut boleh dinyatakan
secara tertutup sekiranya hubungan ingin dijaga. Walaupun dihina sedemikian rupa, PKR tidak bertindak balas kerana ingin menjaga hubungan PR.

Seterusnya,
kemasukan DSAI dalam penjara berlaku tanpa sebarang tanda simpati atau pembelaan dari pimpinan utama PAS.
Ada juga dari PAS yang menganggapnya sebagai ‘satu rahmat’ yang membebaskan PR dari ‘liabiliti’ DSAI! Yang kelihatan bersama DSAI di mahkamah terus dikeji
dan dihina melalui media sosial pro-PAS sebagai ‘ahli PAS yang wala’ pada DSAI’.

Mungkin yang diharapkan adalah tindakan balas dari PKR sepanjang episod berbalah dengan PKR dilakukan. Malangnya bagi mereka, PKR tidak bertindak balas
walaupun DSAI sendiri dilaporkan telah ditengking oleh dalam satu perjumpaan di Terengganu. Tanpa tindak balas dari PKR, apa yang dikehendaki tidak tercapai
dengan sepenuhnya.

FASA 2 : PERTEMBUNGAN DENGAN DAP

Krisis bersama DAP berhubung isu hudud pula dihadapi pada penghujung 2014. Ianya turut dimanfaatkan ke arah pencapaian matlamat yang diingini. Giliran
untuk ‘pimpinan yang ingin dijatuhkan’ dituduh sebagai boneka DAP pula! Mereka yang sekian lama dituduh sebagai boneka PKR dibidas dan digelar sebagai
boneka DAP pula kerana tidak membela DS Presiden apabila dikritik DAP.

Hakikatnya terdapat juga kesilapan dari pihak PAS sendiri dalam menangani persoalan ini.
Semua sedia maklum bahawa krisis ini dicetuskan melalui tawaran yang dibuat seorang Menteri UMNO di Parlimen.
Cara ianya disambut oleh pimpinan PAS sambil membelakangkan parti rakan dalam PR antara pencetus perbalahan. Pada masa sama ada juga persetujuan dan janji
yang didakwa dimungkiri oleh pimpinan utama PAS.

i) Pertembungan Dengan DAP Ditingkatkan

Namun isu hudud ini lebih mudah diperalatkan untuk menimbulkan ketegangan antara PAS dan DAP. Ahli PAS akan melihatnya sebagai perbalahan yang wajar dan
berasas. Amat patut untuk PAS memutuskan hubungan dengan DAP oleh keranannya mengikut pandangan ahli biasa.

Maka Multaqa Ulama kedua pada 2015 menimbulkan kembali kritikan terhadap PR tetapi kali ini disasarkan DAP. Usul Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat untuk memutuskan
hubungan dengan DAP mengikuti sejurus selepas itu.

ii) Tercapainya Apa Yang Diingini

Maka akhirnya, selepas berusaha sejak 2008, demi menyelesaikan ‘ketidak selesaan’ pimpinan utama PAS,
keputusan yang diingini tercapai melalui pemilihan Muktamar 2015.
Pertembungan antara dua aliran pemikiran yang ingin mencorakkan hala-tuju politik PAS diselesaikan dengan kemenangan menyeluruh satu pihak.

Hala-tuju yang telah diikuti PAS selama ini, yang bersifat inklusif, ‘PAS for All’ serta kommited kepada PR,
tidak lagi akan dipertahankan pimpinan PAS Pusat kerana hala-tuju itu bukan lagi pilihan DS Presiden dan MSU. Hakikatnya, hubungan DS Presiden dengan DSAI
dan LKS sudah lama rosak dan oleh itu sudah tiada lagi sebarang kejujuran dalam hubungan bersama PR.

Malangnya kaedah yang digunapakai untuk mencapai perubahan pimpinan tidak merupakan kaedah yang telus dan jujur. Ianya tercapai melalui fitnah dan penyebaran
kebencian terhadap pemimpin yang tidak dipersetujui mereka. Kempen fitnah dan kebencian ini mengharuskan juga amalan cai buat pertama kalinya di dalam
sejarah pemilihan PAS.

Seterusnya melalui adu-domba yang sengaja diadakan antara PAS dan PKR pada awalnya, dan PAS dan DAP pada kemudiannya. Ahli PAS mula pertikaikan PKR dan
lebih-lebih lagi DAP. Dengan itu sokongan terhadap PR itu sendiri telah dapat dilunturkan. Mereka yang kuat menyokong PR turut tidak lagi mendapat sokongan
penuh seperti dahulu.

PEMBENTUKAN PARTI BAHARU

Dengan penguasaan menyeluruh oleh pihak yang ingin membawa perubahan hala-tuju, termasuk DS Presiden sendiri, maka pihak yang ingin meneruskan hala-tuju
lama tidak mempunyai pilihan selain menubuhkan parti baharu. Dulu pandangan mereka dapat juga dikemukakan dan mempengaruhi perjalan PAS, tetapi dewasa
ini pendekatan pilihan mereka telah ditolak Muktamar 2015 walaupun tanpa ianya dibahas. Yang dibahas sebaliknya adalah isu lain, seperti ‘anti-ulama’ dan
‘anti-hudud’. Sebenarnya kesemua isu ini adalah sekadar helah untuk menaikkan sentimen kebencian sambil matlamat yang diingini tercapai.

Penubuhan parti baharu yang akan meneruskan pendekatan lama ini terpaksa diusahakan oleh golongan yang telah difitnah. Dengan itu, paling kurang, imej
perjuangan Islam yang inklusif dan terbuka, sebagai pembela nasib seluruh rakyat dapat mereka teruskan.

KESIMPULAN

Bagi diri saya, inilah sebenarnya punca perpecahan yang berlaku di dalam PAS. Perbezaan pendapat berhubung ‘wajibnya’ dominasi PAS atau ‘Melayu Islam’
adalah isunya! Malangnya ianya tidak dibincang atau dibahas, mungkin atas sebab ketidak-mampuan berhujjah, atau sangkaan buruk bahawa pihak satu lagi tidak
akan menerima walau apa sekalipun hujjahnya! Sebaliknya pendekatan licik untuk menjatuhkan pimpinan dan mencorakkan pemikiran ahli dilaksanakan.

Hasil ketidak-telusan ini maka akhirnya ramai yang bertanya, apa sebenarnya hala-tuju politik PAS? Ramai tertanya-tanya samada PAS ingin bersama PR, bersendirian
atau bersama UMNO/BN? Timbulnya soalan ini atas sebab dilihat PAS “cakap tidak serupa bikin”. Analisa saya berusaha untuk memberikan rasional terhadap
tindakan PAS yang kelihatan amat bercelaru ini. Tidak dinafikan, bacaan saya mungkin betul, mungkin tidak. Tetapi ini sahajalah yang mampu dirumuskan berdasarkn
bacaan dari yang tersurat dan yang tersirat. Ianya sesuatu yang sukar apabila terdapat pimpinan di dalam mana-mana organisasi yang tidak sanggup berterus
terang berhubung apa yang dilihatnya sebagai ‘masalah’.

Perbahasan mengenai samada perlunya dominasi PAS dalam PR dan bagaimana pendekatan berbeza akan terhasil oleh kerana ‘syarat’ ini akan saya bincangkan
dalam artikel yang berikutnya insyaAllah. Semoga Allah memberkati semua usaha kita ke arah menghayati agamaNya dan menzahirkan keadilanNya.

WaLlahu 'Alam

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

15 respon:

Unknown berkata...

sudahlah khalid samad...teori anda teori Jemaah anda sendiri,anada ada Jemaah sendiri,tidak berwalakan Jemaah pas,lagi nak jadi munafiq

Tanpa Nama berkata...

bodoh, tapi nak komen

Tanpa Nama berkata...

bodoh, tapi nak komen, ko siapa kalau nak bandingkan dgn samad.

Tanpa Nama berkata...

jefrizam abdullah....sudah laaa...tak payah nak berwalikan tuang presideng yang ber kluk klek...kluk klek....putus hubungan dengan DAP tapi terus berada dalam PR...nak bawa RUU Hudud....tak ada kat parlimen tapi ada kat Jepun

adam berkata...

Terima kasih YB Khalid Samad.sudah pecah projek pas pis pu

Abuarif berkata...

Bagi saya ini krisis hati samada bersih atau tidak... Kalau ingin islam sebenar dgn semua org kita boleh berkawan... Kita boleh berbahas dan berdakwah... Kalau xnk kita tunjuk aja kelemahan sebelah sana dan sini... Syabas dear khalid.. Terus perjuangan anda... Allah akan sentiasa bersama dgn org yg ikhlas dan bukannya sentiasa buruk sangka....

Monkey Shooter berkata...

jefrizam abdullah 2:43 PM,

Tahniah Jefrizam, kerana orang lain membaca menggunakan otak yang di kepala, tetapi kamu menggunakan otak yang di kepala juga tetapi di kepala butuh.

Tanpa Nama berkata...

Yup, terus promote oktoberfest,

Tanpa Nama berkata...

jefridol

kau sapa dlm isu ini...jebon pun bkn..pasug pun xsure... khalid adalah pemimpin veteran pas yg tahu lbh dr org luar mengenai isu pas.

cuba bg hujah lwn hujah...jgn mencemuh tnpa hujah....menyampah nk baca la mcm kau tu....kosonggg kosonggg

Tanpa Nama berkata...

Kalau nak tubuh GHB.. tubuh sajelah..... itu hak kamu tapi usahlah burukkan parti PAS... kalau Presidennya tak baik....Sudah tentu ia telah dikalahkan .... tapi masih diberi kepercayaan sepenuhnya oleh perwakilan... Sbg org Islam spatutnya berlapang dadalah.... aku bukan ahli PAS mahupun mana-mana parti ... tapi telah pilih Shaari Sungip tu.... aku pilih dia sbb dia ahli PAS ... sbb aku amat yakin kpd perjuangan PAS dalam memertabatkan Islam....

Tanpa Nama berkata...

Kepimpinan tertinggi PAS jenis tak sedar diri dan jenis perasan. Baru saja dapat berdiri selepas lama hanya dapat menyesot dan merangkak. Mereka lupa bahawa kemampuan mereka yang tiba tiba boleh berdiri tegak adalah dengan sokongan sahabat dikeliling. Tanpa sokongan dan sahabat yang selama ini ikut prihatin terhadap PAS yang sebelumnya cuma mampu merangkak dan meniarap; tak mungkin PAS boleh tegak kukuh dalam kondisi sekarang, mampu memiliki bilangan kerusi yang banyak di parlimen dan negeri. Adakah PAS berfikir yang memberi undi kepada mereka ini hingga mendapat bilangan kerusi yang banyak hanya Melayu Islam ahli PAS sahaja?.

Baru saja dapat kuasa sedikit dah terserlah riak dan takbur hinggakan "siku dan lutut" pun mahu digunakan sekali. Jenis pemimpin bengap begini ke yang rakyat mahu gantung harapan sedangkan kehadiran mereka dalam parlimen bagaikan tiada, sepi dan diam tanpa isu isu utama yang dapat dibangkit dan dibahaskan. Membandingkan pimpinan PAS kelompok ustaz dengan apa yg mampu disumbangkan oleh kelompok profesional dalam dewan rakyat termasuk mereka dari PKR mahu pun DAP, bezanya bagai langit dan bumi. Kepimpinan ustaz ini hanya boleh bermegah akan status ilmu agama sahaja tetapi hampir zero dalam cabang2 lain yang lebih relevan dalam dunia politik semasa hari ini.

Tanpa Nama berkata...

Saya bukan ahli PAS tapi sentiasa menyokong PAS sejak belajar di universiti lagi. Pandangan saya ialah setelah didoktrinkan oleh DS Presiden selama hampir 30 tahun untuk menentang UMNO kerana ianya parti assobiyah, saya tidak faham mengapa sekarang nak bersekongkol dengan UMNO. Saya juga tidak faham mengapa sekarang nak menyisihkan golongan profesional kerana segala usaha yang dilakukan sejak 30 tahun dahulu untuk menarik golongan muda profesional menyokong PAS lenyap begitu sahaja. Amat menyedihkan apa yang berlaku kepada PAS kini.

Tanpa Nama berkata...

Jangan dengar sebelah pihak je.

Tanpa Nama berkata...

PAS lupa masa muktamar, setelah bertahun caci maki dan lable utk jatuhkan jebon... diugut dgn wala' kepimpinana ulamak, diugut dgn halal darah, khianat jemaah, masuk neraka.... namun masih ada undi utk geng progresif...

perwakilan yg masih isitiqomah dn berilmu dlm memilih calon, bukan wala membuta tuli.

respek kt mereka yg undi jebon2 tu.

mereka itu tk perlu dihasut utk masuk GHB, mereka ada akal utk fikir sendiri.

yg PAS UG masih nk hasut progresif supaya jgn tubuh parti baru dan kekal dlm PAS kenapa?

org lain hasut tk boleh, PAS hasut org boleh.... hipokrat betul la

memang dh wajib tinggalkan PAS

Abdul Said berkata...

Tidak baik mengata orang yang memang tak sedar diri dan jenis perasan begitu. Mana mereka nak faham apa yang dilakukan, sedang mereka memang benar-benar tidak sedar diri!!!!