Sabtu, 22 Ogos 2015

Isu subsidi minyak: Najib, Rosmah mohon batal pernyataan pembelaan Rafizi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini memfailkan permohonan bagi membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan satu lagi pihak dalam saman fitnah berhubung isu subsidi minyak.

Peguam Choo Shi Jin, yang mewakili perdana menteri dan isteri memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas kes disebut di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nurdiana Mohd Nazari.

Selain Rafizi, pemilik portal 'Media Rakyat' Chan Chee Kong, turut dinamakan defendan dalam saman fitnah itu.

Prosiding dalam kamar itu turut dihadiri peguam Ng Siau Sun yang mewakili Rafizi dan Chan. Choo berkata Najib dan isteri memohon memadamkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan itu atas alasan pembelaan kedua-dua defendan bukan satu komen berpatutan.

Peguam itu berkata mahkamah menetapkan 26 Ogos untuk pengurusan kes saman berkenaan.

Pada 16 April lepas, Najib dan Rosmah selaku plaintif memfailkan saman itu mendakwa Rafizi memberi ucapan berbaur fitnah dalam satu forum berkaitan dengan subsidi minyak di Bandar Tun Razak pada 22 November, 2014.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib dan Rosmah mendakwa ucapan Rafizi dirakam 'Media Rakyat' yang kemudiannya dimuat naik Chan atau pembantunya ke laman web YouTube Media Rakyat dan portal Media Rakyat di bawah tajuk 'Rafizi Ramli: Kenapa Kita Pertahankan Subsidi Minyak'.

Mereka juga mendakwa rakaman yang sama turut dikongsi Chan dalam laman Facebook Media Rakyat, dengan ia boleh diakses secara bebas pengguna Internet seluruh dunia.

Menurut mereka lagi Chan gagal mengamalkan prinsip kewartawanan bertanggungjawab kerana gagal mengambil tindakan untuk mengesahkan atau menyiasat kebenaran tuduhan yang terkandung dalam perkataan fitnah tersebut sebelum menerbitkannya.

Najib dan Rosmah turut menuntut kedua-dua defendan membayar ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan ganti rugi teladan yang akan ditafsir mahkamah.

Mereka juga menuntut satu arahan injunksi untuk menghalang Rafizi, Chan dan pembantu mereka daripada menerbitkan lebih lanjut perkataan fitnah itu selain menuntut satu perintah supaya kedua-dua mereka menerbitkan permohonan maaf secara bertulis dalam surat khabar dan majalah. – Bernama

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: