Selasa, 26 Mei 2015

Kalau Muhyiddin jadi PM, Shafie Apdal jadi TPM?

Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal menyifatkan tindakan individu yang mendedahkan video ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu program di Janda Baik minggu lalu bukan satu kesalahan jenayah sehingga memerlukan tindakan tegas perlu diambil.

Pendirian Shafie itu dilihat berbeza dengan kenyataan seorang lagi Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berjanji untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu tersebut.

"Adakah terdapat kesalahan jenayah yang dia lakukan? Tak ada kan," kata Shafie pada sidang media selepas merasmikan program Asean Forum on ICT bertajuk ‘For Sustainable Rural Development and Knowledge Cross-Fertilization’ di Hotel Impiana, Kuala Lumpur hari ini.

Minggu lalu, tersebar satu video berdurasi 7 minit memaparkan Muhyiddin menggesa individu terlibat dengan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipecat.

Muhyiddin juga mengesahkan mengenai ucapan tersebut dan mempertahankan pendiriannya.

Mengenai tindakan individu yang bertanggungjawab membocorkan video itu, Shafie berkata sukar untuk menghentikan maklumat seperti itu daripada tersebar.

"Kita tak boleh hentikan, sama ada salah atau tidak, semua orang tahu, tengah saya cakap ini akan sampai maklumat kepada mana-mana pihak," katanya.

Beliau berkata ucapan Muhyiddin dalam program itu tidak akan memberi kerosakan kepada Umno sebaliknya ia tanggungjawab seorang timbalan presiden untuk menjelaskan kepada ahli tentang keadaan semasa.

"Saya lihat perkara ini satu yang sudah berlaku dan menjadi tanggungjawab seorang pemimpin seperti Tan Sri memaklumkan kepada ahli parti dan menerangkan tentang perkembangan terkini keadaan suasana dan saya dapati tidak ada kandungan ucapan itu yang boleh kita katakan sehingga merosakkan keadaan sebenar," katanya.

Malah, Shafie berkata tidak sewajarnya ada sekatan ke atas ahli Umno untuk membangkitkan dan mempersoalkan tentang sebarang isu berkaitan kepentingan umum.

"Saya rasa penting bagi kita supaya masyarakat yang kita katakan terbuka daripada sistem demokrasi dan kebebasan bersuara walaupun perlu dipandu, tapi ia tidak bererti tidak harus ada kebebasan kita sebagai pimpinan untuk menerangkan kepada ahli tentang keadaan sebenar sama ada di luar atau di dalam," katanya.

Beliau yang juga menteri kemajuan luar bandar berkata, tidak menjadi kesalahan jika isu seperti 1MDB itu dijelaskan kerana sekurang-kurangnya ia dapat memperbetulkan keadaan.

"Jika kita dapat perjelaskan dan terangkan mungkin kita dapat perbetulkan keadaan," katanya.

Beliau berkata, walaupun gesaan disuarakan supaya menunggu laporan ketua audit negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), orang ramai tidak dapat bersabar menunggu lagi memandangkan pelbagai spekulasi dan skandal dikaitkan dengan 1MDB.

"Kita tidak boleh bimbang atau gusar apabila pandangan diutarakan oleh mana-mana pihak tentang suatu perkara, walaupun saya sedar dan tahu ada teguran mengatakan supaya tunggu sehingga laporan PAC dan ketua audit yang akan datang, tapi kita juga mesti dan tahu keghairahan manusia nak mengetahui, mungkin laporan itu akan keluar berbulan-bulan dan kita pun tidak tahu bila akan disampaikan kelak nanti," katanya.

Ucapan Muhyiddin yang tersebar dalam video itu dibuat minggu lepas di depan beberapa ahli Umno berjawatan tinggi pada satu perjumpaan "Keris 2314", iaitu bengkel latihan persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Zahid yang juga antara penganjur program tersebut berkata individu yang menyebarkan video tersebut akan dirujuk kepada lembaga pengurusan parti.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyifatkan wujud agenda tersembunyi pihak tertentu mahu menimbulkan perselisihan antara kepimpinan parti di sebalik penyebaran video ucapan Muhyiddin yang dibuat dalam satu majlis tertutup. – 25 Mei, 2015.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: