Selasa, 26 Mei 2015

Mejar Zaidi sedia disiasat parti PAS

Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Sungai Petani, Mejar Zaidi Ahmad sedia untuk disiasat sekiranya ada mana-mana pihak yang sanggup tampil membuat aduan rasmi kepada PAS Pusat bahawa beliau telah melanggar disiplin parti ketika berkempen.

Katanya, ada segelintir penyokong Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kurang senang dengannya ekoran kempen yang dijalankan bagi mempromosikan calon baru presiden, Ustaz Ahmad Awang pada Muktamar PAS Jun depan.

“Isu pemecatan saya yang timbul barangkali dicetuskan oleh penyokong Hadi yang terlalu sayang kepada beliau sehingga tidak dapat menerima sebarang kritikan dan teguran ke atas kepimpinan Hadi sendiri.

“Sudah adat pertandingan setiap pihak akan mempromosi kelebihan calon dan pada masa sama mengetengahkan kelemahan pihak pesaing,” katanya yang juga Pegawai Khas, Ahmad Awang kepada The Rakyat Post.

Jelasnya, beliau yakin tidak melanggar garis panduan yang telah ditetapkan parti ketika menjalankan kempen.

“Bagi saya ia (isu pemecatannya) bukan isu besar kerana saya yakin sepanjang saya berkempen, saya tidak pernah melanggar garis panduan yang telah ditetapkan oleh parti. Antaranya, jangan melakukan fitnah dan jangan menyerang peribadi pihak yang bertanding.

“Saya sedia disiasat sekiranya saya telah melanggar disiplin parti ketika berkempen.,” ujarnya.

Mejar Zaidi juga menambah, beliau merasakan PAS perlukan perubahan kepimpinan demi memastikan parti itu terus bertahan dan mendapat sokongan.

“Secara peribadi saya berpendapat, PAS perlukan perubahan kepimpinan demi memastikan kecemerlangan yang telah dicapai oleh Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz, dapat dikekalkan dan bagi memastikan PAS terus kekal bersama Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU14 nanti,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan tiga ikon dalam PAS yang sering menghiasi pentas ceramah parti itu kini berada dalam dilema, gara-gara didakwa mengkritik pimpinan parti itu sehingga menjadi viral di laman sosial.

Selain Mejar Zaidi, ahli Jawatankuasa Lajnah Politik Pemuda PAS Pusat, Sulaiman Ibrahim atau lebih dikenali Leman Raja Lawak dan Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Pusat, Wan Aishah Wan Ariffin didakwa mengkritik beberapa pemimpin parti melalui aplikasi WhatsApp berhubung kepimpinan dalam PAS.

Rentetan itu, beberapa ahli parti mencadangkan supaya mereka dipecat keahliannya kerana terlalu lantang menyuarakan pandangan.

Leman Raja Lawak ketika dihubungi bagaimanapun berkata, beliau reda dengan apa jua keputusan parti sekiranya perlu mengambil tindakan berhubung perkara itu.

Wan Aishah turut melahirkan rasa kecewa di laman Facebook dan menegaskan kenyataan itu bukan sebahagian daripada ucapannya di mana-mana program.

“Ia sebahagian daripada perbualan dalam kumpulan WhatsApp yang diviralkan. Seingat saya, ketika itu kami sedang berbincang tentang definisi ulama, saya juga ditanya kenapa sertai PAS. Macam-macam isu dibincangkan secara baik,” katanya.

Selain jawatan presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden, 24 jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut dipertandingkan.

Seramai 54 calon mengesahkan bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Muktamar PAS akan berlangsung pada 4 hingga 6 Jun di Kuala Selangor, Selangor dan akan dihadiri kira-kira 1,057 orang perwakilan.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: