Isnin, 20 April 2015

Dikir barat ghairah di Pantai Kelulut

Pemuda Pas Marang semalam, melahirkan kekesalan terhadap satu penganjuran pertunjukan dikir barat di Pantai Kelulut kerana menampilkan penyanyi perempuan berpakaian seksi bebas menari bersama penonton lelaki.

Ketua Pemuda Pas Marang, Mohamad Aswadi Mohamad berkata, perlakuan tidak senonoh di hadapan umum itu sememangnya boleh dijangka apabila persembahan nyanyian dianjurkan tidak menimbangkan kelebihan manfaat berbanding kesan keburukannya.

“Itulah sebabnya Islam melarang penganjuran hiburan yang boleh melalaikan kerana kesan dari kelalaian itu lebih besar keburukannya,” katanya mengulas mengenai pertunjukan yang didakwa diadakan sempena satu program itu.

Menurutnya, Pemuda Pas Marang juga menerima beberapa keping gambar artis wanita terbabit yang berpakaian tidak senonoh sambil menari bersama seorang penonton lelaki sudah berusia dan ia kelihatan amat memalukan.

“Ia (penyebaran gambar itu) telah meninggalkan kesan sangat memalukan kepada rakyat Malaysia khasnya umat Islam apabila kita lihat gadis Melayu Muslim berpakaian tidak senonoh menari bersama penonton lelaki seperti itu,” katanya.

Mohamad Aswadi berkata, ketegasan serta keprihatinan pihak berkuasa serta masyarakat adalah perlu untuk mengelakkan golongan muda daripada terus dibanjiri hiburan seperti itu melibatkan artis tanpa sebarang rujukan keteladanan positif.

Tambahnya, pemimpin kerajaan juga perlu tegas menyekat unsur yang boleh merosakkan akhlak generasi muda negara dan Pemuda Pas Marang memohon agar pihak berkuasa terlibat lebih peka dengan sensitiviti umat Islam.

“Dalam kes ini, penganjur harus bertanggungjawab dan tidak boleh lepas tangan dengan apa yang berlaku manakala Pejabat Agama Marang pula perlu lihat kembali Garis Panduan Hiburan Dalam Islam, terbitan Jakim sejak 2007.

“Namun, sejauh manakah garis panduan ini diberi perhatian dan dirujuk oleh semua agensi dan penganjur program (berkenaan)? Adakah persembahan ini mendapat restu dari Pejabat Agama Marang?,” soalnya.

Menurutnya, Pemuda Pas Marang akan membuat kunjungan ke Pejabat Agama Marang untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai perkara itu dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, Sinar Harian gagal untuk mengesan penganjur pertunjukan terbabit.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: