Sabtu, 28 Mac 2015

Geng Songkok Tinggi

TOK PERAK

*KALAU tanya sepuluh orang, sembilan akan mengatakan tidak suka GST. Bukan sahaja rakyat biasa, pemimpin dan banyak NGO pun menentang pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan.

Rakyat biasa – ramai berpendapatan rendah – yang sekian lama diasak dengan berbagai-bagai tekanan hidup, bimbang bahawa cukai baharu ini akan memberi kesan lebih buruk kepada mereka.

Bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran sekiranya GST diteruskan, BN khasnya Umno mungkin akan ditolak rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Tetapi bagi sesetengah pihak amaran Tun M itu bukan sahaja tidak dipeduli, malah diperlekeh seolah-olah dengan kata-kata: “Ada aku kisah!”

*BEKAS Menteri Kewangan yang kini masih Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pun meminta GST ditangguhkan, sebab masa tidak sesuai untuk cukai itu dikuatkuasakan.

Tunjuk perasaan menentang GST pun diadakan dari semasa ke semasa. Seminar, forum, wacana mengenai cukai ini diadakan di banyak tempat. Tetapi makin banyak forum, makin banyak penjelasan dari kerajaan, makin marah pula rakyat terhadap GST.

Apa pun suka atau tidak suka, menang atau kalah dalam pilihan raya, rakyat menangis air mata darah pun, GST tetap akan dilaksanakan 1 April ini – tiga hari lagi. Selamat menghadapi cukai baharu 1Malaysia!

*TETAPI masih ada yang berharap akan terjadi apa yang disebut ‘April Fool’ pada 1 April nanti. Manalah tahu pada pagi 1 April itu ada menteri naik ke pentas awam dan berteriak:

“Helo, helo, helo, nak bagi tau GST tak jadi dilaksanakan hari ini. Sebenarnya itu hanya April Fool! Ha, ha, ha, haaa!”

Harapan dan andaian ini hanya sebagai penghibur menghilangkan resah. Tetapkan iman dan perasaan, bahawa GST bukan April Fool. Tiga hari lagi kita akan membayar 6% atas barangan dan perkhidmatan yang kita beli.

Sekiranya tidur anda terganggu kerana GST, tukar persepsi dan erti bahawa GST bukan Goods and Services Tax tetapi ‘Geng Songkok Tinggi’. Ini kesukaan orang Johor.


*KATA yang empunya cerita, alkisah perihal GST ini bukan dikenakan atas semua barang. Bilangan ubat yang dikecualikan telah diperluaskan daripada 2,900 kepada 4,215 jenama.

Arakian akan Kementerian Kesihatan berhajat jugalah untuk memperluaskan lagi jenis ubat yang dikecualikan bagi penyakit tertentu. Kata syahibul hikayat lagi, ada pun akan beras, tepung, gula dan lain-lain keperluan rakyat tidak akan dikenakan GST.

Pendek kata beribu-ribu barang tidak perlu GST. Tetapi perlu diingat bahawa barangan dan perkhidmatan yang tertakluk kepada GST banyak, bukan setakat beribu-ribu tetapi beribu-ribu-ribu, hatta ‘berjuta-juta lemon’ jua adanya. Kata P Ramlee: “Jangan marah, nanti kena jual!”

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: