Pengerusi Badan Perhubungan Selangor Umno itu turut menggesa agar Dr Mahathir memberi komen secara spesifik berhubung desakannya agar Umno Selangor dibubarkan semalam. “Bukanlah kita kata bermula daripada dia, dia dulu presiden. Sejak bila orang cop Umno parti rasuah? Ia bermula zaman bila?” katanya apabila dihubungi The Malaysian Insider.
Semalam, Dr Mahathir menerusi blognya www.chedet.cc berkata Umno perlu mengikis imejnya sebagai parti rasuah dengan menasihatkan pemimpinnya supaya hidup dengan lebih bersederhana. Bekas presiden parti Melayu itu berkata, banyak perubahan yang perlu dibuat Umno Selangor, tetapi jika mereka mengambil panduan nasihatnya, beliau percaya sokongan rakyat akan bertambah.
"Mereka perlu rapat dengan rakyat dan bukan sahaja dengan ahli Umno. Jangan sekali-kali guna kereta mewah bila ke kampung,” kata Dr Mahathir.
Noh berkata, pada dasarnya Umno Selangor menerima segala pandangan yang dilontarkan Dr Mahathir namun saranan yang diberikan perlu lebih spesifik. Katanya, pemimpin Umno di Selangor adalah pilihan ahli parti sendiri dan gesaan untuk berundur adalah satu pandangan yang subjektif. “Kita Umno Selangor terima pandangannya. Kita akan buat pembaharuan.
“Dia suruh siapa berundur? Umno Selangor tu siapa? Saya hendak komen macam mana kalau tidak ada spesifik. Hendak undur apa? Yang duduk di Umno Selangor itu semua ketua bahagian. Ketua bahagian yang dipilih oleh orang Umno, oleh perhimpunan. “Hendak kata saya, saya tidak pernah kalah.
Majoriti saya meningkat lagi. Siapa yang dimaksudkan secara spesifik?” katanya kepada The Malaysian Insider. Dr Mahathir semalam berkata, Umno Selangor perlu menerima hakikat untuk berundur selepas mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) dan PRU13. Katanya, Umno Selangor perlu berubah dengan melakukan pembubaran dan penyusunan semula, terutamanya dengan bersedia menerima ramai ahli baru, termasuk yang berbakat.
"Pemimpin Umno biasanya tidak suka menerima ahli baru yang berbakat kerana takut mereka dicabar dan hilang jawatan atau tidak dapat jadi calon pilihan raya. "Oleh itu usaha mereka bukanlah memperkuatkan Umno, tetapi memperkuatkan kedudukan mereka," katanya menerusi blog popularnya itu. Noh turut menafikan dakwaan Dr Mahathir yang mendakwa parti Melayu itu tidak berminat menerima ahli baru. Katanya, segala dakwaan yang diutarakan bekas presiden Umno itu perlu dibuat secara khusus agar pihaknya dapat mengambil langkah penambahbaikan. “Saya hendak beritahu, kena spesifik.
Kita di Selangor terbuka kepada semua orang. Di mana kita sekat jadi ahli? “Kalau boleh spesifik, ahli Umno mana yang ditolak, kita bolehlah tahu. Setahu kita, kita buka semua,” katanya. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hujung minggu lalu mengakui wujud perasaan malu dalam dirinya kerana Barisan Nasional (BN) menjadi parti pembangkang di Selangor.
Katanya, Umno Selangor perlu meningkatkan usaha merampas semula kuasa di negeri itu daripada Pakatan Rakyat (PR) kerana sekarang adalah masa yang sesuai mengambil kesempatan masalah dihadapi PR berdepan kemelut menteri besar Selangor.
"Saya rasa sangat letih dan ia sangat memalukan apabila kita (BN) disebut sebagai pembangkang. Saya tahu anda semua rasa letih dan malu juga. "Kita perlu tunjuk kepada rakyat Selangor kepimpinan Umno lebih baik, lebih bermakna, lebih jujur pada rakyat, lebih mementingkan perjuangan untuk membela nasib rakyat.
"Tidak ada apa yang akan menggembirakan hati saya daripada melihat kita menebus maruah kita dalam PRU akan datang. Tidak ada yang akan lebih menggembirakan saya daripada melihat Umno berkuasa kembali (di Selangor)," katanya dalam ucapan di Konvensyen Umno Selangor hujung minggu lalu.
Pada PRU13 lalu, BN mengalami kekalahan terbesarnya di Selangor dengan memenangi hanya empat kerusi Parlimen – Sabak Bernam, Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Sungai Besar dan hanya lapan kerusi Dewan Undangan Negeri – Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Semenyih, Dengkil, Jeram, Bukit Melawati, Sungai Burong dan Permatang.
RUANG PENGIKLANAN
MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI
0 respon:
Catat Ulasan