Khamis, 20 November 2014

NGO 'haram' Sarawak mahu saman Zahid

Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) yang diharamkan kerajaan bercadang menyaman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi kerana membatalkan pendaftaran pertubuhannya.

NGO berusia setahun itu memberitahu hasrat itu Malaysiakini semalam selepas menerima arahan pembatalan pendaftaran daripada Pendaftar Pertubuhan Sarawak.

Presiden SAPA Lina Soo (kiri), yang dipanggil pendaftar untuk mengambil salinan pewartawaan itu, berkata mereka sedang berunding dengan peguam untuk menyaman menteri kerana menandatangani arahan pembatalan pendaftarannya bawah Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966.

“Tiada sebab diberikan. Tiada surat tunjuk sebab diberikan kepada kami. Kami sungguh terkejut dengan tindakan menteri itu,” katanya.

Lina mendakwa Zahid bertindak sewenang-wenangnya dan tidak demokratik melalui tandatangan untuk pembatalan SAPA, yang diwartakan pada 14 November.

Didaftarkan pada November tahun lalu, SAPA hanya mempunyai 11 anggota yang kebanyakannya pesara kerajaan.

“Bagaimana 11 orang kami boleh ancam keselamatan? Kamu buat lawak ke?” kata Soo.

SAPA pernah menganjurkan forum dan program berkaitan isu-isu keadilan, kesetaraan dan kehidupan lebih baik di Sarawak.

Difahamkan bahawa pembatalan pendaftaran SAPA mempunyai kaitan dengan usahanya menganjurkan kutipan tandatangan 'petisyen rakyat' untuk dihantar kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Petisyen itu menggesa diadakan penilaian semula kedudukan Sarawak dalam Malaysia dan menegaskan hak rakyat untuk menentukan kehidupan mereka sendiri, seperti termaktub dalam Piagam PBB.

Bekerjasama dengan NGO Sabah, United Borneo Front (UBF), inisiatif itu bertujuan mengutip 300,000 tandatangan untuk petisyen itu dalam tempoh enam bulan akan datang.

Kempen yang bermula pada Ogos lalu itu menarik sokongan sejumlah parti dan ahli politik, terutamanya daripada Sabah.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 15 November mengisytiharkan SAPA sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang kerana menjalankan kegiatan memudaratkan kepentingan keselamatan dan ketenteraman awam.

Berikutan pengisytiharan itu, semua pihak dilarang menggunakan semula nama, lambang atau logo SAPA sebagai pertubuhan dan segala akaun, aset dan harta SAPA diserahkan dan digulungkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: