Selasa, 30 September 2014

Apabila Mahathir nak jadi ulamak pula

Terdapat ulama di negara ini yang merestui tindakan segelintir rakyat Malaysia untuk membunuh orang Islam yang dikatakan tidak Islam, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, ulama dan umarak (pemerintah) Islam di negara ini tidak tegas menyatakan pendirian mereka dalam isu ini.

"Ada yang dipercayai merestukan sukarelawan Malaysia pergi membunuh orang Islam yang dikatakan tidak Islam," tulis Dr Mahathir di blognya www.chedet.cc hari ini meneruskan kritikannya terhadap pengelibatan segelintir rakyat Malaysia dalam perang saudara di negara Syria.



"Ada yang percaya mereka ini berjihad bila membunuh orang yang tidak sama tafsiran dan kepercayaan Islam dengan mereka walaupun orang ini menyembah Tuhan yang sama dan mengucap akan Allah yang satu dan Muhammad adalah Rasul-Nya,” katanya.

Beliau berkata, ulama dan pemerintah di negara ini perlu memberi kata putus sama ada tindakan rakyat Malaysia menyertai kumpulan pengganas seperti Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) itu berlandaskan ajaran agama atau tidak.

Dr Mahathir berkata, terdapat orang Islam Malaysia yang pergi ke Syria untuk berjihad dan percaya mereka akan mati syahid.

"Berjihadkah mereka apabila mereka melakukan kerja Yahudi dan Amerika?" soal Dr Mahathir.

"Mereka ini melakukan tindakan ganas dengan menembak mati askar tawanan mereka dan juga untuk pancung leher seorang tawanan mereka rakyat Amerika. Kononnya mereka berjihad untuk Islam, untuk mendiri sebuah negara Islam yang diketuai oleh Khalifah.

"Sebenarnya apa yang dilakukan mereka ialah melemahkan orang Islam supaya lebih mudah dikuasai Yahudi dan Amerika," katanya.

Dr Mahathir berkata, pihak yang menerima tuduhan segelintir orang Islam itu kafir langsung tidak berusaha untuk mengkaji walaupun tuduhan itu amat berat.

"Tidak ada fatwa yang dibuat oleh ulama yang tidak beragenda atau berkepentingan, yang pegang hanya kepada Al-Quran dan hadis yang sahih.

"Seruan berjihad mempunyai daya penarik yang amat kuat. Dalam keadaan ramai orang Islam yang cetek pengetahuan Islam, seruan ini mudah diterima. Mereka ini mudah percaya mereka mati syahid bila dibunuh," katanya.

Menurut bekas presiden Umno itu, keadaan umat Islam di dunia kini sudah sampai ke peringkat cemas dan bahaya.

"Bahayanya bukan hanya kepada diri mereka tetapi kepada agama mereka. Ini adalah oleh kerana agama Islam sudah di hijack oleh pihak tertentu yang mengganti ajaran Islam sebenar dengan ajaran yang bertentangan dengan Islam.

"Apabila ajaran ini dikembangkan pemimpin yang berkepentingan, ulama dan umarak enggan membantah, bahkan ada yang agak tertarik dengan ajaran-ajaran ini. Dengan sikap ini agama Islam akan menjadi lain daripada Islam yang diwahyukan kepada Nabi oleh Allah," katanya.

Menurut bekas perdana menteri yang berkhidmat selama lebih 22 tahun itu, tindakan umat Islam berperang dengan orang Islam lain bertentangan dengan ajaran agama itu.

"Perbuatan mereka ini bertentangan dengan ajaran Islam bahawa orang Islam itu bersaudara?

"Sama ada Sunni atau Syiah, dalam pandangan orang Yahudi dan Eropah mereka semua Islam dan musuh mereka. Mereka gemar melihat kerja mereka membunuh orang Islam dipermudahkan oleh orang Islam sendiri," katanya. – 30 September, 2014.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: