Jumaat, 22 Ogos 2014

Kerusi MB Selangor akan berpindah kepada PAS .. ini sebabnya

SEMUA sedia maklum bahawa Menteri Besar Selangor sekarang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sukar untuk mempertahankan jawatan beliau kerana kurang sokongan dalam Dun.

Setelah Pas kembali menyokong PR dan melantik Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kini hanya tinggal masa untuk PR menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapat perkenan baginda.

Proses pelantikan menteri besar ini dilihat tidak akan menghadapi masalah jika sultan memperkenankan Dr Wan Azizah menjadi menteri besar Selangor yang baharu.

Sultan mungkin memperkenankan calon tunggal PR itu kerana Dr Wan Azizah yang juga Adun Kajang mempunyai sokongan majoriti daripada adun PR di Selangor.

Malah, tindakan PR yang menetapkan pendirian hanya mencalonkan satu nama juga akan menjadi faktor penting kepada proses ini.

Namun, apa akan jadi jika nama Dr Wan Azizah ditolak Sultan Selangor? Siapakah yang layak dan berkebolehan untuk menggantikan Abdul Khalid bagi meneruskan pentadbiran cemerlang beliau sejak 2008.

Selain Dr Wan Azizah, PKR masih mempunyai calon alternatif bagi jawatan tersebut, individu tersebut adalah Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang juga Adun Bukit Antarabangsa dan Ahli Parlimen Gombak.

Jika nama Dr Wan Azizah ditolak, PKR pastinya akan melobi nama Azmin untuk menjadi menteri besar kerana beliau merupakan pemimpin PR Selangor yang paling senior dan berpengaruh.

PKR dilihat tidak akan mengalah dan menyerahkan jawatan menteri besar kepada Pas mahupun DAP.

Walaupun kini PKR hanya mempunyai 13 kerusi Dun berbanding 15 kerusi masing-masing oleh Pas dan DAP, PKR tidak dengan mudah menyerahkan kerusi panas tersebut kepada orang lain.

Ini kerana, Selangor merupakan negeri terkaya di Malaysia yang masih mempunyai rizab lebih RM3 bilion disebabkan pentadbiran cemerlang Abdul Khalid sejak lima tahun lalu.

Jika dilihat, ketika PR menang di Selangor pada PRU13 lalu, pemilihan Abdul Khalid sebagai menteri besar dibuat atas persetujuan semua pihak termasuk Pas.

Ketika itu Pas tidak menuntut jawatan tersebut walaupun boleh berbuat demikian kerana mempunyai kerusi lebih banyak daripada PKR dan difahamkan, Pas tidak berbuat demikian kerana masih yakin dengan kepimpinan cemerlang Abdul Khalid dalam mentadbir Selangor.

Pas rela melepaskan jawatan tersebut kerana Abdul Khalid berkhidmat cemerlang, namun dalam senario kali ini adalah berbeza kerana Abdul Khalid tidak lagi berada dalam PKR.

Adakah Pas akan terus berdiam diri ataupun akan bersuara jika keadaan memerlukan?

Pas bukannya ketandusan pemimpin untuk diketengahkan menjadi menteri besar, ini kerana Pas mempunyai Exco yang berpengalaman seperti Iskandar Abdul Samad, Dr Ahmad Yunus Hairi, Sallehen Mukhyi serta Dr Halimah Ali.

Isu ini akan menjadi menarik kerana selain PKR, hanya Pas sahaja yang boleh dilantik menjadi menteri besar kerana Adun DAP adalah orang bukan Islam dan bukan Melayu.

Pastinya akan berlaku krisis dalam PR jika Sultan Selangor tidak menerima nama-nama pemimpin dari PKR dan jika ini berlaku, Pas perlu berani mempertahankan hak mereka sebagai parti paling banyak kerusi dalam Dun berbanding PKR.

Jika Pas tidak berbuat demikian pengundi dan ahli akar umbi Pas akan melabel Pas sebagai takut kepada PR, walaupun mereka lebih kuat.

Walaupun mengikut perjanjian dalam PR, Selangor adalah hak PKR untuk mentadbir, sama seperti Pas memerintah Kelantan dan Pulau Pinang diperintah DAP, namun perjanjian ini boleh diubah berdasarkan keadaan semasa.

Penganalisis dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, jalan terbaik yang boleh dilakukan bagi menangani kemelut yang berlaku dalam pentadbiran Selangor adalah melalui jalan perundingan antara Adun PR dan pihak istana.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, UUM itu berkata, ketika ini PR dilihat seolah-olah mendesak sultan apabila hanya mengemukakan satu nama calon menggantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar.

Menurutnya, cara lain yang boleh diambil oleh PR adalah mengemukakan lebih daripada satu nama yang dianggap mampu mendapat sokongan majoriti.

Katanya, pelantikan menteri besar di Selangor terletak di bawah kuasa sultan sebagaimana termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. Azizuddin berkata, menurut Perkara 53 (2) (a) undang-undang itu, baginda boleh melantik seorang Adun pada pandangan baginda yang mendapat keyakinan majoriti Adun, selaku menteri besar.

Di bawah Perkara 55 (2) (a) pula, dinyatakan baginda boleh menggunakan budi bicara dalam pelantikan menteri besar.

Kini, semua mata tertumpu kepada Dr Wan Azizah, sama ada Sultan Selangor akan memperkenankan beliau menjadi pengganti Abdul Khalid, sekaligus menjadi wanita pertama menjadi menteri besar ataupun tidak.

Krisis perebutan jawatan ini dijangka tidak akan selesai dalam masa terdekat, sebaliknya akan terus memberi masalah kepada PR dalam usaha mereka mengembalikan kekuatan gabungan tersebut sebelum menghadapi PRU14.

sumber



# sila like "kami undi pakatan rakyat"




RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: