Khamis, 19 Julai 2012

Skandal PKFZ: "saya tidak ingat .." sudah berjangkit kepada Dr. Ling.

Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik yang didakwa menipu kerajaan Malaysia hari ini memberi kenyataan berbeza ketika pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan mengenai dokumen yang melibatkan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Dr Ling, 68, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di ibunegara sebelum ini memberitahu bahawa beliau tidak pernah melihat beberapa dokumen, termasuk dua dokumen, yang disediakan oleh Kementerian Pengangkutan kepada jemaah menteri, tetapi ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah, beliau menyatakan pula 'tidak ingat'.








Dr Ling yang berkali-kali ditanya sama ada beliau mengubah jawapannya berkata beliau tidak ingat tentang jawapan yang diberikan ketika pemeriksaan utama oleh peguamnya Wong Kian Kheong semalam.

Selain dua dokumen kepada jemaah menteri, Dr Ling turut dirujuk dengan dokumen keputusan jemaah menteri pada 2 Oktober 2002 yang menyetujui kaedah "willing buyer-willing seller" (kesanggupan pembeli-kesanggupan penjual) dalam pembelian tanah pada nilaian RM25 sekaki persegi (skp) dan tempoh pembayaran balik
tertangguh selama 15 tahun.

Beliau memberi jawapan yang sama iaitu "tidak ingat" ketika soalan ditanya berhubung dokumen tersebut sedangkan semalam beliau menyatakan tidak pernah melihatnya sebelum didakwa di mahkamah.

Antara dokumen lain yang gagal diingatinya ialah sama ada pernah melihat atau tidak surat daripada bekas ketua pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Datuk Sahari Mahadi yang menyatakan nilaian harga tanah adalah sebanyak RM21 skp.

Ketika prosiding berkenaan dokumen itu, wujud pertengkaran kecil antara Tun Abdul Majid dengan Dr Ling apabila Dr Ling enggan menjawab soalan yang ditanya sebaliknya memberi penjelasan yang tidak berkaitan dengan soalan.

Dr Ling, 68, didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH, dalam
menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 Sept dan 6 November 2002.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada harga menjadi isu dalam pembelian tanah di Pulau Indah, Dr Ling berkata beliau tidak bimbang dengan isu harga itu kerana ia di bawah seliaan JPPH dan Kementerian Kewangan.

Ditanya sama ada beliau memberi sokongan supaya syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) diberi kontrak untuk melaksanakan kerja-kerja pembangunan infrastruktur asas di Pulau Indah, Dr Ling berkata: "Saya tidak bersetuju."

Soalan mengenai sokongan itu adalah merujuk kepada surat Dr Ling yang ditandatanganinya sendiri kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertarikh 3 April 2002.

Ketika ditanya mengenai nilaian tanah sebanyak RM25 skp, Dr Ling berkata beliau tidak tahu bahawa jumlah itu merangkumi kadar faedah ataupun tidak.

Dr Ling berkata walaupun beliau adalah menteri pengangkutan beliau tidak tahu mengenai penilaian tanah dan maksud pengeluaran bon.

Tambah beliau, Kementerian Pengangkutan dan juga kementerian lain sentiasa mematuhi penilaian yang ditetapkan JPPH, dan beliau sendiri tidak membantah keputusan yang dibuat Kementerian Kewangan.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa ketika berkhidmat dalam kabinet, adalah menjadi kebiasaan Dr Mahathir untuk menanyakan sebarang pendapat kepada semua yang hadir sebelum membuat keputusan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi disambung 24 September.

- Bernama

PBO: dulu ada juga bekas PM yang cakap "saya tidak ingat" dalam kes correct... correct... corrrect....




RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: