Maryam mendakwa, guru besar sekolah tersebut memarahi dan menghalaunya kerana dia membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku terhadap anak perempuannya yang berusia 9 tahun itu.
Menurut Maryam, kejadian cabul itu berlaku ketika anaknya berada di sekolah pada 8 Mei lalu.
“Apabila pulang daripada sekolah dia (anak) menceritakan rakan sekelasnya sering usik payu dara dan kemaluannya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Maryam yang juga kerani Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah itu berkata, keesokannya dia bertemu Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) dan menceritakan kejadian itu.
Menurutnya, dia diarahkan mengisi borang aduan salah laku murid dan PKHEM berjanji akan merujuk perkara tersebut dengan guru disiplin serta guru besar.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak mendapat sebarang berita berhubung aduan yang dibuat.
“Sekali lagi saya bertemu dengan PKHEM iaitu tiga minggu selepas aduan dibuat, tetapi jawapan yang diberikan amat mengecewakan.
“Setelah berfikir dan mendapatkan nasihat, saya terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis lalu,” katanya.
Maryam mendakwa, dia yang bekerja di pejabat PIBG di sekolah tersebut bagaimanapun diarahkan keluar daripada sekolah selepas laporan polis itu diketahui oleh guru besar.
“Dia (guru besar) kata sekiranya saya tidak berpuas hati dan ada masalah, saya perlu keluar serta membawa semua barang di dalam pejabat,” dakwanya.
Menurutnya, disebabkan itu, dia membuat satu lagi laporan polis di IPD Shah Alam, kelmarin.
Katanya, dia juga sudah membuat aduan di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga.
“Saya terkilan dengan apa yang berlaku. Saya mahu menuntut keadilan bagi anak saya tetapi tidak disangka diri saya turut menjadi mangsa,” katanya.
sumber sini
0 respon:
Catat Ulasan