Dewan semakin gemuruh apabila Abdul Malik mengeluarkan beberapa salinan gambar yang didakwa punca kepada pergelutan di antara penyokong anti-Lynas dengan peserta perhimpunan yang di adakan di Padang Kota Lama 26 Februari lalu.
Abdul Malik dilihat terus menghukum Umno dengan mendakwa berada di belakang kumpulan yang merusuh, yang cuba untuk mengganggu perhimpunan yang dihadiri lebih daripada 500 orang itu.
Abdul Malik berkata, sejak Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pimpinan Pulau Pinang pada 2008, banyak protes yang dianjurkan Umno, MCA, Gerakan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang berpihak kepada Umno.
“Walau banyak demonstrasi diadakan, ia tidak mendatangkan masalah terhadap Kerajaan Negeri berikutan kita mengamalkan sikap terbuka serta membenarkan rakyat untuk menyatakan pendapat mereka sendiri.
“Ketika demonstrasi diadakan oleh Umno dan NGO, tiada langsung gangguan dan provokasi dilakukan oleh PR atau Kerajaan Negeri seperti yang Umno lakukan seperti perhimpunan anti-Lynas tempoh hari,” katanya.
Dalam persidangan itu juga, dilihat Abdul Malik diganggu oleh beberapa barisan pembangkang Umno yang mahukan penjelasan daripada beliau.
Adun Pulau Betong, Muhammad Farid Saad pula bangun dan bertanya apakah tindakan polis yang diambil ke atas mereka yang dikatakan membuat kacau dan meminta Abdul Malik tidak membazirkan masa.
Abdul Malik kemudiannya dengan sinis menjawab, jika Muhammad Farid tidak mahu mendengar penjelasannya, maka tidak perlu mendengar.
Adun Seberang Jaya, Datuk Ariff Shah Omar Shah kemudiannya bangun dan campur tangan dengan mengatakan gunakan masa yang diperuntukkan untuk menjawab soalan berbangkit, namun Abdul Malik tetap berkeras dan terus membuat penjelasan berhubung perhimpunan yang berlaku Februari lalu.
Abdul Malik kemudiannya terus mengecam barisan pembangkang apabila mendakwa pihak yang membuat kacau di perhimpunan itu memakai baju yang bercetak ‘Umno’ dan ia jelas pihak itu diarahkan Umno untuk berbuat demikian.
Sementara itu, Rayer bangun dan mencelah dengan mengatakan bahawa keselamatan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam bahaya semasa pertengkaran yang berlaku selepas memberi ucapan di Sudut Pidato yang menolak loji Australia yang berpangkalan di Kuantan.
“Saya difahamkan polis tahu mengenai perhimpunan itu namun mereka tidak datang( sama ada dalam pakaian seragam atau berpakaian biasa) untuk mengawal keadaan. Adakah ini Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi polis (tidak bertindak) apabila mereka tahu ada yang cuba mengganggu gugat perhimpunan itu adalah dalam kalangan Umno,” katanya.
Rayer kemudiannya menuduh Adun Teluk Bahang, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya mengetahui kehadiran samseng di Sudut Pidato berikutan Hilmi dilihat bersama kumpulan itu pada hari berkenaan.
Rayer kemudiannya menunjukkan kepada Adun gambar yang disiarkan di Internet iaitu Hilmi bersama sekumpulan ahli Pemuda Umno sebelum perhimpunan berkenaan diadakan.
“Saya ada bukti, adakah polis akan siasat?” katanya.
Abdul Malik kemudiannya berkata, SOP kini hanya menjadi satu bahan ejekan berikutan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar adalah berbeza berhubung perkara itu.
Hilmi kemudiannya bangun dan menjelaskan bahawa beliau menjadi penganjur sebuah program yang disertai sekumpulan Pemuda Umno dari Seremban yang datang ke negeri ini untuk menjalin hubungan dengan ahli parti berkenaan di Balik Pulau malam sebelum kejadian berkenaan.
“Apa yang berlaku selepas itu saya tidak tahu. Saya tahu mereka pergi melawat Sudut Pidato namun difahamkan bahawa semasa kejadian, kumpulan itu sudah beredar dari situ,” katanya.
PBO: polis lagi ????
0 respon:
Catat Ulasan