SEREMBAN - Laporan polis oleh seorang wanita membawa kepada penemuan mayat anak perempuannya berumur 2 tahun yang ditanam di belakang rumahnya, di Taman Kwang Tong, Lobak dekat sini, 4 November lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, wanita berumur 27 tahun itu mendakwa anaknya didapati dalam keadaan nazak dan tidak bermaya di rumah berkenaan, pada tengah hari 3 Julai lalu.
"Menurut wanita terbabit, terdapat kesan lebam dan luka pada seluruh tubuh kanak-kanak malang itu dipercayai akibat didera secara fizikal oleh teman lelakinya.
"Lelaki berkenaan dikatakan membawa anak perempuan wanita terbabit ke bahagian belakang rumah untuk ditanam, kira-kira jam 1 pagi keesokannya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) negeri di sini, semalam.
Katanya, wanita terbabit tidak berani membuat laporan lebih awal kepada pihak berkuasa kerana suspek mengugut akan mengancam nyawanya dan telefon bimbitnya turut dirampas.
"Bagaimanapun, ibu mangsa akhirnya berjaya melarikan diri dari rumah yang didiami bersama suspek sejak awal tahun ini untuk membuat laporan mengenai kejadian itu.
"Suspek dipercayai sering bertindak kejam mendera mangsa secara fizikal dan wanita terbabit turut dipukul apabila cuba menghalang," katanya.
Osman berkata, lelaki terbabit masih belum dapat ditangkap dan dia dipercayai telah melarikan diri keluar dari negeri ini.
0 respon:
Catat Ulasan