Sabtu, 12 November 2011

Gadis OKU dicabul sepupu

KUALA TERENGGANU - “Saya maafkan dia (tertuduh) dunia dan akhirat. Saya harap dia akan berubah menjadi manusia yang beriman dan tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi,”.

Demikian jawapan spontan daripada ibu mangsa yang juga ibu saudara kepada tertuduh, Abdul Muhaimin Abdullah, 29, yang mengaku bersalah mencabul kehormatan sepupunya, 18, seorang gadis lembam di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.









Bukan itu sahaja, ibu mangsa yang juga ditemani ibu saudara mangsa turut mengemukakan permohonan rayuan agar mahkamah mengurangkan hukuman terhadap tertuduh dengan harapan tertuduh akan menjadi seorang manusia berguna kelak.

Kata-kata yang diluahkan oleh dua wanita itu dalam nada sebak telah mengundang suasana hiba dan pilu di galeri mahkamah, lebih-lebih lagi apabila Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin membenarkan tertuduh bertemu dengan mereka sebelum hukuman penjara selama 12 bulan dijatuhkan terhadap tertuduh.

Selain itu, Zainal Abidin turut mengarahkan tertuduh yang bekerja sebagai tukang cat kereta membayar wang pampasan sejumlah RM500 kepada mangsa.

Kedua-dua hukuman berkenaan dijatuhkan selepas tertuduh, dari kampung Kubang Badak, Gong Badak, di sini mengaku bersalah dengan sengaja mencabul kehormatan mangsa apabila meraba kedua-dua payudaranya di sebuah rumah di kampung Kubang Badak, Gong Badak, di sini antara jam 11.40 hingga 11.45 malam, 4 Oktober lalu.

Tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya, Masriwani Mahmud @ Mamat manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Sofian.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon agar mahkamah mengurangkan hukuman terhadapnya kerana mendakwa sudah insaf dan menyesali perbuatannya itu selain mendakwa perlu menanggung ahli keluarganya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mencabul mangsa yang ketika itu sedang tidur di ruang tamu di sebuah rumah di Kampung Kubang Badak, Gong Badak, di sini, kira-kira jam 11.40 malam, 4 Oktober lalu.

Perbuatan tertuduh disedari adik mangsa yang ketika kejadian sedang mengulang kaji pelajaran di dalam bilik apabila terdengar bunyi mengeluh dan bising.

Adik mangsa terus keluar dari bilik dan melihat tertuduh sedang mencabul mangsa sebelum bertindak memarahi dan menghalau tertuduh keluar dari rumah mereka.

Berikutan kejadian itu, adik mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Gong Badak, di sini, untuk tindakan selanjutnya.




RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: