Sabtu, 18 Jun 2011

Utusan: Kalau jahil jangan pula berlagak alim

KUALA LUMPUR, 18 Jun: Utusan Malaysia dinasihatkan agar jangan terus berlagak alim dengan membuat ulasan demi ulasan mengenai sistem perundangan Islam, tetapi menyedari keadaan diri yang sememangnya amat jahil dalam agama.

Sekiranya tidak sedar diri, akhbar milik Umno itu pasti melakukan kesilapan demi kesilapan sehingga sanggup mempersendakan hukum Allah yang boleh pula merosakkan akidahnya sendiri.




Naib Ketua Dewan Musllmat PAS Pusat (DMPP), Senator Mumtaz Md Nawi (gambar) berkata, tindakan terbaru Utusan yang menyiarkan kartun yang mengulas kes rogol amat jelas memperlihatkan kejahilan akhbar itu mengenai sistem perundangan Islam.

Menurut beliau, namun dalam masa yang sama akhbar itu tetap juga mahu mengulas perkara itu dari sudut agama sehingga menyebabkan mereka amat jelas mempersendakan hukum Allah, memperlekehkan umat Islam, menghina ulama dan mempermainkan sistem mahkamah syariah.

Katanya, tindakan Utusan itu ternyata telah mengelirukan umat Islam mengenai perlaksanaan hukum Islam, lebih-lebih lagi dalam masa yang sama, semua orang tahu kerajaan BN yang ditunjangi Umno tidak pula berhasrat untuk melaksanakan hukum hudud di tanah air.

"Dengan itu, amat jelaslah, Umno sememangnya berniat jahat dengan penyiaran kartun itu. Ia ternyata hanyalah untuk memperlekahkan hukum hudud dan sistem perundangan Islam serta mempermainkan perasaan umat Islam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Akhbar Utusan Malaysia beberapa hari lalu telah menyiarkan lakaran kartun yang menggambarkan seorang wanita yang mendakwa dirogol mengadu kepada orang agama dengan bukti rakaman menerusi handphone, tetapi pengaduannya tidak diterima.

Selepas itu wanita tersebut membuat pengaduan kepada pihak polis dan rakaman beliau dirogol yang terdapat dalam handphone itu diterima oleh pihak polis sebagai bukti.

Menurut Mumtaz,sikap keterlaluan Utusan itu sememangnya membangkitkan kemarahan umat Islam, tetapi dal hal ini, akhbar itu masih bernasib baik kerana masih diberi ruang sehingga tempoh tertentu untuk memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam.

Kejahilan Utusan mengenai sistem perundangan Islam dengan membuat ulusan mengenai kes rogol dan zina menerusi penyiaran kartun itu, katanya, terbukti dari beberapa sudut.

"Seperti yang dijelaskan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, robot boleh basuh pinggan, robot boleh jaga mesin, komputerpun robot juga, tapi kalau ada kes dan perlukan keterangan dan kesaksian, mahkamah tak boleh panggil robot kerana ia barang kes dan tetap bukan saksi.

"Untuk bicara tetap kena panggil saksi iaitu pengendali robot yakni manusia. Maksud Al-Quran, saksi, manusia, itulah. Tapi tak tahulah kalau Utusan cukup dengan robot jadi saksi," katanya.

Perkara itu, tegasnya, samalah juga dengan handphone. Jadi untuk perbicaraan di mahkkamah syariah, tidak memadai dengan bukti kejadian rogol menerusi rakaman dalam handphone itu sahaja, tetapi mesti dipanggil orang yang melakukan rakaman itu sebagai saksinya.

"Dalam Islam, sistem perundangannya lebih kepada pencegahan. Dalam Islam, kejadian rogol dan zina mesti dihalang. Pertanyaan yang timbul dari lakaran kartun itu pula, siapakah yang melakukan rakaman itu? Di mana? Bila? Berapa orang yang melakukan rakaman itu? Adakah hanya seorang? Dua orang? Tiga orang? Atau empat orang?

"Kalau dirakam, perakamnya buat apa ketika kejadian itu berlaku? Kenapa perakam tak halang? Cukupkah perlakuan perakam dengan hanya merakam kejadian itu sahaja? Sedangkan perakam sepatutnya bertindak menghalang kejadian itu bukan dengan hanya merakam sahaja," katanya.

Semua itu, katanya, boleh menjadi pertikaian kerana sistem perundangan Islam sebenarnya amat halus, menyeluruh dengan melibatkan semua aspek dan adil kepada semua pihak termasuk kepada orang yang dirogol dan perogol.

"Sebab itulah dalam Islam perlukan empat orang saksi dan saksi itu pula mestilah yang layak diterima sebagai saksi dalam Islam. Perkara itu amat jelas dalam Islam kerana sudah tersurat.

"Utusan ternyata tak faham semua itu. Dalam masa yang sama, Umno BN tak pula nak laksanakan hudud di negara kita. Jadi kenapa dipertikaikan tentang empat orang saksi dan hukum hudud.

"Bila pertikai itu semua bererti pertikai hukum Allah. Sedangkan setiap hukum Allah tak boleh dipertikaikan. Ini samalah juga dengan hukum nikah yang memerlukan saksi ketika akad nikah. Solat Zohor sebanyak empat rakaat tetapi Subuh hanya dua rakaat sahaja.

"Semua itu tak boleh dipertikaikan tetapi mesti dipatuhi kerana itu semua adalah hukum Allah yang telah dijelaskan dalam Al-Quran.

"Jika tentang keperluan saksi dalam hukum nikah, solat Zohor empat rakaat dan Subuh dua rakaat sebagai sebahagian contoh tidak dipertikaikan dan dipatuhi, kenapa tuntutan terhadap empat ortang saksi dan hukum hudud dipertikaikan?" katanya.

Selain itu, katanya, kejahilan Utusan amat terserlah apabila menyiarkan kartun yang hanya memadai dengan membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

"Pada hal dengan jumpa polis tak selesai masalah. Malah banyak perkara yang telah dilaporkan oleh pelbagai pihak kepada pihak polis tetapi tak juga dapat diselesaikan. Polis tak boleh selesaikan perkara itu. Tetapi polis perlukan siasatan.

"Manakala untuk menyelesaikan kes rogol dan zina, mangsa atau pihak terbabit tidak perlu jumpa tokoh agama atau polis, tetapi jumpa hakim syarie atau qadi," ujarnya.

Amat dikesali, katanya, Utusan yang ternyata tidak memahami semua itu kerana kejahilannyan dalam hukum Allah tetap juga berminat untuk mengulasnya sehingga boleh mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat.

Katanya, kalau tidak faham, Utusan sepatutnya tidak masuk campur untuk mengulasnya dengan menyiarkan kartun seperti itu.

"Kepada Utusan dan kartunis terbabit, nasihat saya, kalau tak pandai, belajarlah dulu sebelum membuat sebarang ulasan mengenai hukum Allah. Kalau tak pandai, janganlah hukum Allah pula yang dipertikaikan.

"Kalau awak memang tak nak laksanakan hudud, jangan persendakan orang yang nak laksanakan hudud. Kalau orang Islam yang terbabit dengan penyiaran kartun itu, apa agenda mereka mempertikaikan hukum hudud dan empat orang saksi itu?" ujar beliau.

Sebagai bantahan umat Islam terhadap penyiaran kartun yang tidak bertanggungjawab itu, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) yang diketuai Ketuanya, Nasruddin Hassan Tantawi semalam telah menghantar memorandum ke ibu pejabat Utusan Malaysia bagi mendesak akhbar itu memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam.

DPPP memberi tempoh seminggu kepada Utusan berbuat demikian. Jika tidak, tindakan lebih keras akan dilakukan termasuk mengadakan demonstrasi besar-besaran.

sumber klik sini

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: