KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memberikan Mkini Dotcom Sdn Bhd sehingga Jumaat ini bagi menjawab saman fitnah yang difailkan oleh ahli perniagaan Ummi Hafilda Ali terhadap pengendali laman berita Malaysiakini itu dan seorang bekas rakan perniagaannya.
Hakim Datuk V.T.Singham berkata Mkini Dotcom mempunyai masa 14 hari bermula 3 Jun lepas bagi memfailkan pernyataan pembelaannya selepas ia memasukkan notis kehadiran pada 3 Jun lepas.
Hakim Singham kemudiannya menetapkan 1 Julai ini bagi pengurusan kes saman RM100 juta yang difailkan oleh Ummi Hafilda terhadap Nor Azman Abdullah@Baginda Minda dan Mkini Dotcom.
Terdahulu peguam Zulhelmi Wagiman, yang mewakili Ummi Hafilda, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah menghantar writ saman itu kepada Nor Azman di alamatnya di Sarawak tetapi ia telah dikembalikan, dan pada 9 Jun lepas pihaknya telah menghantar ke satu alamat lain di Petaling Jaya.
Hakim Singham berkata jika kedua-dua usaha itu gagal, Zulhelmi hendaklah membuat permohonan di mahkamah supaya saman itu boleh dibuat melalui penyampaian gantian (secara iklan atau saman ditampal di papan notis di Mahkamah).
Pada prosiding hari ini peguam bagi Nor Azman dan Mkini Dotcom tidak hadir.
0 respon:
Catat Ulasan