Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan BN (BBCBN) Datuk Bung Mohtar Radin berkata, pihaknya belum mengambil apa-apa pendirian setakat ini tetapi ia akan dibincangkan hari ini.
“Kami akan berbincang dengan penasihat undang-undang kami esok (hari ini), kami akan memutuskan apa tindakan yang perlu diambil,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Wakil rakyat BN akan menghadiri sesi pramajlis menjelang sesi Parlimen yang bermula 10 pagi ini.
Sesi itu dijangka dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Pengerusi BN.
The Malaysian Insider juga difahamkan perkara berkaitan status Chua yang turut dikenali sebagai Tian Chua (gambar) akan disentuh pada sesi pramajlis BN.
Malah difahamkan makluman formal tentang kedudukan Chua boleh dibuat oleh mana-mana wakil rakyat.
Dewan Rakyat, selain wakil BN dan Pakatan Rakyat, juga ada anggota Bebas.
“Sama ada BBCBN akan bawa usul (tentang kedudukan YB Tian Chua), akan diputuskan selepas kami berbincang,” kata Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan.
Bung Moktar berkata ada beberapa pandangan mengatakan tidak perlu dibawa usul sedemikian kerana tempoh boleh diadakan pilihan raya kecil sudah berakhir.
Tarikh akhir bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil jika wujud kekosongan berakhir 28 April lalu.
Dalam reaksi kepada The Malaysian Insider baru-baru ini Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, adalah sesuatu “tidak bertanggungjawab” jika tiada wakil rakyat memaklumkan Parlimen sabitan kesalahan Chua dan kemungkinan boleh hilang kelayakan.
Katanya, tanpa makluman formal daripada mana-mana anggota Dewan Rakyat, Speaker tidak boleh ambil tindakan ke atas Chua yang kedudukannya kini kelihatan tergantung.
Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan berhubung sabitan kesalahan menggigit seorang anggota polis.
Dengan perkembangan itu keputusan Mahkamah Tinggi tahun lalu yang mengenakan denda RM2,000 kekal, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status kerusinya.
Wan Junaidi menekankan sudah pasti mana-mana 222 anggota Dewan Rakyat seharusnya membawa isu berkenaan.
Malah, sebelum ini SPR menyerahkan persoalan berkaitan dengan status Chua kepada Speaker Dewan Rakyat memandangkan tarikh akhir untuk mengadakan pilihan raya kecil sudah pun berakhir.
Chua menegaskan beliau masih seorang wakil rakyat yang sah walaupun Mahkamah Rayuan telah mengetepikan rayuannya berhubung hukuman dikenakan atas tuduhan menggigit seorang polis empat tahun lalu.
Kata Chua, beliau masih lagi anggota Dewan Rakyat kerana pihaknya dan pendakwa raya tidak pernah membuat sebarang rayuan ke atas keputusan yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi, sebaliknya hanya membuat rayuan sama ada beliau telah melakukan kesalahan sebagaimana dituduh iaitu menggigit polis.
Menurut Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, hanya Speaker Dewan Rakyat ada kuasa untuk memutuskan perkara itu.
“Terpulang kepada Dewan Rakyat dan Speaker akan menentukan statusnya,” kata Wan Ahmad bulan lalu.
Kata beliau Speaker perlu meleraikan persoalan ini sekarang sebelum pilihan raya umum, yang disebut-sebut akan dipanggil bila-bila masa dari sekarang.
Kata Wan Ahmad, persoalan mengenai status dalam pilihan raya umum akan datang sama ada boleh bertanding atau tidak terletak di tangan Speaker.
“Jika Tian Chua diputuskan tidak layak kerana didenda RM2,000, maka beliau dilarang daripada bertanding pilihan raya selama lima tahun,” katanya lagi.
Pertengahan Jun tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Datuk Ghazali Cha mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 terhadap Chua, yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret berhubung tuduhan mencederakan anggota polis pada 2007 dan mengantikannya denda RM2,000 atau dua bulan penjara.
Mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan seseorang Ahli Parlimen hilang kelayakan jika beliau disabitkan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan beliau tidak mendapat pengampunan.
Ketika itu, Pengerusi DAP Karpal Singh yang juga seorang peguam berkata, sebagai contoh, pada 1975 Ahli Parlimen DAP Fan Yew Teng terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen Menglembu setelah beliau dihukum penjara enam bulan dan didenda RM2,000 kerana disabitkan kesalahan mengikut Akta Hasutan.
RUANG PENGIKLANAN
MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI
0 respon:
Catat Ulasan