Isnin, 6 Jun 2011

Edisi KANTOI: Scorpene: Mahkamah Perancis temui bukti kukuh

KUALA LUMPUR, 6 Jun: Mahkamah Perancis menemui bukti kukuh bahawa syarikat Perancis, Armaris tidak pernah membuat bayaran kepada syarikat Perimekar sebanyak RM493 juta, tetapi bayaran itu sebenarnya dilakukan oleh kerajaan Malaysia sendiri.






Penemuan itu ternyata bertentangan dengan kenyataan Kabinet Najib yang sebelum ini mengklasifikasi bayaran itu sebagai koordinasi dan perkhidmatan sokongan serta Malaysia tidak terlibat dalam pembayaran berkenaan.

Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gibrael berkata, dengan penemuan itu, dua lagi rasuah membabitkan pembelian kapal selam Scorpene terdedah hasil penyiasatan pihak berkuasa Perancis.

Menurut beliau, pembongkaran itu pula berlaku ketika pendedahan 114 juta Euro bersama RM493 juta komisen kapal selam Scorpene belum dijawab oleh kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, dua rasuah tersebut bernilai masing-masing RM30 juta dan RM2.5 juta dan ia terbongkar setelah pihak berkuasa Perancis menjalan penyiasatan sejak lebih enam bulan lalu.

"Bayaran itu, didapati memang ada dibuat tetapi tidak tahu kepada siapa dan besar kemungkinan ia dibiayai kerajaan Malaysia," katanya ketika diminta mengulas perkara itu.

Suaram adalah pihak yang membuat representasi agar mahkamah Perancis menyiasat pembelian Scorpean dengan kebimbangan adanya rasuah berlaku dalam pembelian itu.

Ekoran itu, Mahkamah Perancis sedang membicarakan kes ini yang dikaitkan juga dengan pembunuhan kejam wanita Monggolia, Altantuya Shaariibuu.

Menurut Cynthia Gibrael (gambar kanan) , jika benar apa yang diperolehi dalam perbicaraan sekarang, bermakna dalam pembelian peralatan itu (kapal selam Scorpene), kerajaan Malaysia membayar dua kali rasuah kepada pihak yang belum dinamakan lagi.

Katanya, dokumen itu diperolehi selepas DNCS, syarikat yang membina dan menjual kapal selam kepada negara ketiga termasuk Malaysia, diserbu pihak berkuasa melalui Akta Kebebasan Maklumat.

"Proses bayaran tidak dibuat secara terus, sebaliknya dilakukkan melalui sebuah syarikat iaitu Gifen yang berpangkalan di Malta. Tindakan itu dilakukan bagi mengelakkan kerajaan Perancis mengesan pembayaran itu," jelasnya.

Sebelum ini, laman web Rue89 mendedahkan, sebanyak 114 juta Euro yang menjadi komisen dalam pembelian dua kapal selam Scorpene dibayar kerajaan Malaysia, bukannya Armaris, sebuah syarikat di Perancis.

Baru-baru ini pula, Rue89 juga mendedahkan, syarikat Perancis, Armaris tidak pernah membayar kepada Perimekar RM493 juta, sebaliknya ia sebenarnya dibayar kerajaan Malaysia sendiri.

Laporan itu dibuat berdasarkan perbicaraan kes rasuah pembelian kapal selam Scorpene yang sedang berjalan di Perancis sekarang.

Perimekar adalah syarikat kepada rakan karib Najib, Abdul Razak Baginda, manakala pemegang saham majoriti syarikat itu pula ialah isteri Razak, Mazlinda.

Razak Baginda terlepas dari sabitan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang menjadi perantara pihak Malaysia dan Perancis.

Altantuya dikatakan datang ke Malaysia untuk menuntut bahagiannya dalam perniagaan antara Malaysia dan Perancis sebagai perantara kerana dia adalah penterjemah yang dijanjikan bayaran untuk khidmatnya itu.

Sebaliknya, wanita warga Mongolia itu mati dibunuh dan badannya diletupkan dengan peledak C4 di Puncak Alam yang bukan sahaja menggemparkan seluruh negara, tetapi juga Perancis dan seluruh dunia.

Razak dan dua anggota polis pengiring yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di pejabat Perdana Menteri didakwa tetapi mahkamah membebaskan rakan karib Najib itu.

Menurut Cynthia, kejadian tersebut tetap menjadi tanda tanya pelbagai pihak sejak mula tercetus sehingga sekarang, manakala kes itu juga masih terus dibicarakan di mahkamah Perancis hingga sekarang.

Katanya, rakyat Malaysia yang turut mengikuti perbicaraan kes itu di Perancis menjadi bertamba hairan dengan penemuan demi penemuan membabitkan pembayaran-pembayaran yang dibuat oleh kerajaan Malaysia berhubung pembelian kapal selam itu, memandangkan ia dinafikan keras oleh Kabinet Najib sebelum ini. (harakahdaily)




RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: