Isnin, 6 Jun 2011

ANALISIS: Kepimpinan baru PAS - Laluan PAS: Cabaran buat Umno, peluang bagi Pakatan?

ANALISIS, 5 Jun — Berdasarkan laporan Harakah hari ini, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dipetik berkata saf kepimpinan baru parti itu menjadikan jalan menuju ke Putrajaya “makin jelas.”






“Jangan ada jual kad pengenalan, bagi kepada warga asing mengundi, insya-Allah. Kalau demokrasi dijalankan dengan betul, maka tidak ada sebab PAS dan Pakatan Rakyat tak boleh sampai ke Putrajaya,” kata Menteri Besar yang mengetuai Kelantan sejak 1990.

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dalam reaksinya berkata, muktamar PAS sekali lagi menyaksikan parti tersebut menolak satu persepakatan politik berbaur rasuah dan penyelewengan kuasa pimpinan Umno-BN.

Seperti pemilihan sebelumnya, kata Anwar, ahli PAS memilih pimpinan untuk memperkasa parti tersebut demi memperkukuh permuafakatan Pakatan Rakyat - satu kerjasama yang zahir daripada hasrat menjamin kebajikan serta kemaslahatan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya, malah terkesan dengan ucapan dasar Tuan Guru Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) yang tegas menyatakan iltizam untuk terus mara bersama Pakatan Rakyat. Tuan Guru Abdul Hadi turut mengungkapkan betapa pentingnya Pakatan Rakyat tuntas mengungkapkan kepada rakyat rancangan seumpama yang terkandung dalam Buku Jingga,” kata Anwar yang dilihat sebagai pengikat kerjasama DAP, PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang itu, yang berhadapan dengan kes mahkamah sodomi dan dakwaan video seks juga berpendapat bahawa kini PAS yang dipimpin Nik Aziz dan Hadi, ditunjangi pula Timbalan Presidennya yang baru Mohamad Sabu, pastinya mengorak langkah yang lebih jauh bersama Pakatan Rakyat mendepani segala tentangan serta cabaran, terutamanya berhadapan pilihan raya umum ke-13.

Selain saf kepimpinan baru yang menyaksikan pemilihan Mohamad dan kembalinya Datuk Paduka Husam Musa sebagai naib presiden, muktamar tahunan kali ini, kali ke-57, menarik perhatian banyak pihak ke arah ucapan dasar Hadi sendiri.

Dalam ucapan dasarnya, Hadi nampak telah menekankan tiga mesej penting — menolak pelawaan kerjasama politik Umno-BN, menekankan keperluan negara berkebajikan dengan mengatakan negara Islam tidak disebutkan dalam al-Quran dan mahu PAS memainkan peranan utama dalam tindakan “membersihkan politik” negara ini daripada perilaku dan gejala politik jijik fitnah dan perkauman sempit dibawa Umno-BN.

“Marilah kita memurni dan membersihkan siyasah atau politik sebagai satu bidang dan juzu penting dalam kehidupan umat Islam khasnya, dan rakyat seluruh rakyat amnya, dengan membersihkan bidang politik dari perilaku dan gejala politik jijik, fitnah dan perkauman sempit yang diamalkan Umno-BN di waktu ini.

“PAS mesti mengambil peranan utama dalam menjayakan usaha murni ini untuk menamatkan fahaman dan amalan politik matlamat menghalalkan cara seolah-olah politik adalah bebas dari ketentuan dan bimbingan syariat Allah,” kata Hadi.

Melihat perkembangan terbaru ini, pemerhati politik Prof Dr Abdul Aziz Bari berpendapat “adalah jelas Erdogan berpengaruh dalam PAS atau lebih tepat mereka yang komited dengan Pakatan Rakyat.” Kata Aziz lagi, kemenangan itu menunjukkan gagasan kerajaan perpaduan yang dibawa sejak tiga tahun lalu ditolak.

“Kemenangan ‘Mat Sabu & Co’ adalah berita baik untuk Pakatan Rakyat dan berita buruk untuk Umno-BN,” kata Aziz lagi.

Justeru, kata pakar perlembangan ini, Hadi perlu lebih komited kerana meskipun telah mengatakan kerjasama dengan Umno telah dikuburkan, beliau dan kumpulannya sering mungkir janji.

“Contohnya pada muktamar 2008 di Ipoh parti membuat resolusi menolak kerjasama dengan Umno. Tetapi, Hadi meneruskan rundingan dengan Umno di belakang tabir, terbaru sebelum Krismas 2010 yang lalu,” kata Aziz sambil menambah, ucapan Hadi dengan itu tidak meyakinkan.

“Tetapi dengan kemenangan kumpulan Erdogan, maka Hadi terkepung. Beliau perlu mendengar nasihat kumpulan ini. Dan, Hadi perlu bersedia untuk berundur,” katanya.

Pemimpin muda DAP Zairil Khir Johari menyifatkan saf kepimpinan baru ini sebagai “kepimpinan dinamik” yang akan memanfaatkan Pakatan Rakyat.

“Tak, saya tidak kata saya sudah menjangkakan keputusan ini (yang diumumkan semalam), tetapi saya melihat sebagai barisan pemimpin individu yang dinamik, yang bagus untuk PAS dan Pakatan Rakyat,” kata beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

“Keputusan ini satu langkah ke depan bagi Pakatan Rakyat,” kata anak bekas menteri Kabinet Umno ini ketika ditemui di lokasi berlangsungnya muktamar petang semalam.

Bekas setiausaha agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar menyifatkan perkembangan terbaru ini sebagai satu “peluang” kepada Pakatan Rakyat ketika ramai melihatnya sebagai cabaran dan peringatan kepada Umno dan parti-parti rakannya dalam BN.

“Kita akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam Pakatan Rakyat, itu yang mereka (kepimpinan komponen Pakatan Rakyat) mengharapkan sebab PAS merupakan rakan yang penting selaku parti yang terbesar dan tertua dalam Pakatan, sudah tentu PAS akan memainkan peranan lebih penting berbanding dulu,” kata Ahli Parlimen Tumpat ini kepada The Malaysian Insider.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian pula melihat saf kepimpinan ini sebagai lapisan yang menonjol selepas gerakan reformasi akhir 1990-an.

“Mereka memperoleh amanat daripada perwakilan PAS untuk membawa PAS ke arena politik tengah negara ini. Dengan ini, Umno pula berhadapan dengan cabaran dua serampang,” katanya.

Pertamnya, kata Ibrahim, ialah soal mengisi jurang kepimpinan yang diharapkan oleh komuniti Melayu dan satu lagi keperluan mengisi harapan pengundi Melayu luar bandar.

“PAS tiada masalah berkenaan sokongan Cina dan India, tetapi bagaimana ia boleh mengisi harapan pengundi Melayu khususnya kawasan luar Bandar . . . ini cabaran bagi PAS, malah cabaran kepada Umno akhirnya,” kata beliau yang melihat keputusan kali ini sebagai “perkembangan signifikan.” (malaysianinsider)

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: