Khamis, 13 Oktober 2016

Kerana sayang, setiausaha BERSATU tinggalkan UiTM

Datuk Dr Shahruddin Md Salleh meletakkan jawatannya sebagai anggota lembaga pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkuat kuasa semalam.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak berkata, langkah itu diambil sebagai jalan tengah supaya UiTM tidak dipersalahkan jika beliau dipecat.

"Saya ambil keputusan untuk melepaskan jawatan tersebut kerana ada suara untuk memecat saya kalau saya tak hantar peletakan jawatan saya.

"Saya ambil jalan tengah dan saya pun tak mahu UiTM dipandang tidak adil kepada saya, jadi buat satu surat untuk peletakan jawatan sebagai anggota lembaga pengarah," kata Shahruddin.

Dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini hari ini, setiausaha agung Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (BERSATU) itu bagaimanapun kelihatan masih mempunyai ikatan emosi dengan universiti yang banyak melahirkan graduan bumiputera itu.

Ini mungkin kerana bukan sahaja menjadi anggota lembaga pengarahnya, Shahruddin bahkan pernah menjadi pensyarah kejuruteraan awam di situ.

Malah, beliau ketika bertegur sapa dengan wartawan Malaysiakini turut bertanya jika ada sesiapa yang menjadi lepasan UiTM di portal itu.

Empat hari lepas Shahruddin dipecat serta-merta sebagai pengerusi lembaga pengarah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), kira-kira 24 jam selepas dilantik sebagai setiausaha agung BERSATU.

Lebih popular jika dipecat

Berkunjung ke pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya, hari ini, Shahruddin mengakui beliau mungkin akan lebih popular sekiranya dipecat.

Bagaimanapun, katanya, beliau memilih berundur sendiri kerana bimbang reaksi balas negatif pada pusat pengajian tinggi awam itu.

"Kalau dari sudut politik, mungkin saya akan lebih popular kalau dipecat tapi saya fikir tak perlulah begitu.

"Saya tahu saya ramai anak murid, ramai kawan-kawan dan pensyarah.
“Jadi kalau saya dipecat sudah tentu mereka tidak senang hati dengan pihak pentadbiran UiTM. Adalah lebih baik saya ambil keputusan itu," tegas Shahruddin.

Shahruddin pertama kali dilantik sebagai anggota lembaga pengarah UiTM pada 2009.

Pelantikan Shahruddin ke jawatan kanan BERSATU dipercayai secara automatik membuatkan beliau gugur keanggotaan Umno dan menjadi wakil pembangkang dalam dewan negeri.

Malah, lebih buruk bagi BN, ia menyebabkan parti itu hilang majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menyukarkannya meminda undang-undang Johor.

Dengan itu, ADUN BN Johor berkurangan daripada 38 kepada 37, manakala pembangkang bertambah daripada 18 kepada 19 orang ADUN.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: