Khamis, 21 Januari 2016

Isu Mukhriz: Reaksi pedas dari Muhyiddin

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyatakan sokongan terbukanya kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berdepan dengan cubaan untyuk menyingkirkannya oleh beberapa pemimpin Umno negeri, semalam.

Dalam kemaskini di Facebook, Muhyiddin berkata anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu adalah seorang menteri besar yang bersih, disenangi oleh rakyat dan tidak terpalit dengan sebarang tuduhan salah laku moral, pecah amanah dan rasuah.

Malah, beliau menyifatkan Mukhriz sebagai pemimpin Umno yang berkaliber dan disenangi oleh ahli-ahli parti dan rakyat.

“Sekiranya desakan supaya Mukhriz disingkirkan daripada jawatan menteri besar dan ketua perhubungan Umno Kedah dibuat atas kepentingan politik peribadi pihak-pihak tertentu, dan bukannya atas kepentingan rakyat negeri Kedah, maka ini adalah sesuatu yang amat malang bagi rakyat negeri Kedah dan Umno yang sedang berhadapan dengan krisis kepercayaan rakyat yang parah,” katanya.

Menurut Muhyiddin, cubaan menggulingkan Mukhriz juga boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap Umno dan kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau..

“Sebagai seorang menteri besar yang baru mentadbir kerajaan negeri untuk tempoh yang singkat, beliau tentunya memerlukan sokongan semua pihak, terutamanya wakil-wakil rakyat dan pemimpin-pemimpin Umno bahagian untuk memimpin badan perhubungan negeri dan mentadbir kerajaan negeri dengan berkesan.

“Saya percaya, Mukhriz sepatutnya diberikan peluang untuk terus memimpin kerajaan negeri Kedah,” katanya.

Semalam, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah memulakan perang terbuka terhadap Mukhriz dengan mengisytiharkan bahawa pemimpin Umno di negeri itu telah 'hilang keyakinan' dengan kepimpinan menteri besar Kedah.

Beliau juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk campur tangan dan menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata sekiranya desakan supaya Mukhriz berundur dilayan oleh pucuk pimpinan parti, maka Umno akan semakin kehilangan hormat rakyat dan menghadapi cabaran yang semakin getir pada hari-hari yang mendatang.

“Kebimbangan saya yang paling besar ialah perpecahan di dalam Umno akan bertambah ketara dan parti akan menjadi semakin lemah.
“Saya amat kesal dalam keadaan rakyat dan negara berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi yang cukup getir serta keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan BN semakin terhakis, rakyat khususnya di negeri Kedah dibebankan lagi dengan krisis politik yang jelik dan memalukan,” katanya.

Pada sidang akhbar semalam yang diketuai oleh Ahmad Bashah, antara yang hadir termasuk Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharum.

Ahli Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid yang berada di London telah diwakili oleh bekas wakil rakyat kawasan itu Ghazali Ibrahim.

Turut hadir ialah Ketua Pemuda Umno Kedah, Shaiful Azizy Zainal Abidin; Ketua Wanita Umno Kedah, Maznah Abd Hamid dan Ketua Puteri Umno Kedah, Norashimah Md nowar.

Mukhriz menjadi sasaran berikutan percubaan terbuka bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menumbangkan Najib sebagai perdana menteri.

Pada April tahun lalu, Mukhriz telah didesak oleh penyokong setia Najib supaya menyatakan sokongan secara terbuka kepada Najib yang dilanda pelbagai masalah.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: