Jumaat, 20 November 2015

Lagi cerita tentang Peguam ‘correct, correct, correct’

Peguam terkemuka Datuk VK Lingam, yang mendapat nama buruk kerana berkata, "correct, correct, correct" (betul) dalam video menunjukkan beliau membincangkan pelantikan hakim atasan  "mesra" Barisan Nasional, dihalang daripada mengamalkan undang-undang.

Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara membuat keputusan pada awal bulan ini untuk memecat Lingam daripada jawatannya kerana terdapat "bukti jelas" (overwhelming evidence) beliau bersalah kerana salah laku profesional dalam skandal pada 2002 mengenai pelantikan hakim.

Presiden Majlis Peguam Steven Thiru mengesahkan keputusan lembaga yang dibuat pada 6 November.

"Kami dimaklumkan mengenainya minggu lepas," katanya kepada The Malaysian Insider tetapi enggan mengulas lanjut.

Pemecatan Lingam akan berkuat kuasa 21 hari selepas keputusan itu dan beliau boleh membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Difahamkan satu jawatankuasa tatatertib dengan 3 ahli yang mendengar kes itu membuat cadangan memecat Lingam kepada lembaga disiplin itu yang dipengerusikan seorang hakim bersara.

Majlis Peguam yang merupakan pengadu dalam kes itu, membuat laporan kepada lembaga disiplin pada 2007.

Rakaman video yang direkodkan secara rahsia oleh bekas Ahli Parlimen Kelana Jaya Loh Gwo-Burne dibuat pada Disember 2001 dan dihantar ke laman sesawang perkongsian video YouTube.

Majlis itu berpendapat tindakan Lingam dalam klip video itu adalah campurtangan serius terhadap pentadbiran keadilan dan gambaran buruk terhadap kejujurannya, amanah atau kelayakannya sebagai peguam.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider, Lingam tidak mengambil bahagian dalam prosiding itu bagi mengemukakan kesnya kerana berada di luar negara sejak tahun lepas untuk rawatan perubatan.

Peguamnya R Thayalan juga menarik diri daripada prosiding itu apabila jawatankuasa itu menolak penangguhan lanjut dan enggan melayan permohonan yang salah seorang ahli jawatankuasa itu berat sebelah.

Kebanyakan saksi adalah individu sama yang berdepan 5 ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diketuai bekas hakim besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor, berkaitan skandal tersebut.

'Saya boleh cakap apa saja yang mengarut dalam rumah saya'

Lingam memberi keterangan di hadapan RCI itu dan diingati kerana kata-katanya:"Ia nampak macam saya, ia bunyi macam saya", apabila ditanya sama ada lelaki yang bercakap di telefon dalam klip video itu adalah beliau.

Beliau juga memberitahu suruhanjaya diraja itu, terpulang kepadanya jika mahu "berpura-pura" bercakap dengan sesiapa saja yang beliau mahu.

"Saya boleh memilih apa saja topik yang saya suka. Saya malah boleh berpura-pura bercakap dengan Presiden Bush jika saya mahu," katanya menjawab satu soalan, sambil menambah beliau berhak bercakap “apa saja yang mengarut” di dalam rumahnya.

Peguam terkemuka Datuk VK Lingam dalam rakaman video menunjukkan beliau membincangkan pelantikan hakim atasan yang mesra Barisan Nasional, dihalang amal undang-undang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 November, 2015.
Peguam terkemuka Datuk VK Lingam dalam rakaman video menunjukkan beliau membincangkan pelantikan hakim atasan yang mesra Barisan Nasional, dihalang amal
undang-undang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 November, 2015."Itu (perbualan) di rumah saya. Ia privasi dalam bilik saya. Rumah saya adalah istana
saya. Saya rajanya. Saya boleh bercakap apa saja yang mengarut di dalam rumah saya selagi saya tidak mabuk di luar dan melakukan kesalahan," kata Lingam
ketika memberi keterangan.

Gwo-Burne mula terkenal sebagai individu yang merakam percakapan Lingam di telefon, didakwa dengan bekas ketua hakim Malaya Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim.

Lingam dikatakan mengatur bagi Fairuz untuk dinaikkan pangkat kepada ketua hakim negara. Fairuz adalah ketua hakim dari 2003 hingga 2007.

Individu lain yang tampil di hadapan jawatankuasa disiplin 3 ahli itu ialah bapa Gwo-Burne, Mun Fah dan bekas setiausaha Lingam, G Jayanti.

Dalam laporan 2008, RCI membuat kesimpulan klip video itu sahih dan Lingam adalah individu yang berbual dengan Fairuz berhubung pelantikan hakim.

Suruhanjaya itu mencadangkan agar tindakan sewajarnya diambil terhadap 6 individu iaitu Lingam, Fairuz, bekas ketua hakim negara Tun Mohamed Eusoff Chin, hartawan Tan Sri Vincent Tan, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, kerana salah laku.

Ia juga mendapati terdapat keterangan prima facie untuk menyiasat keenam-enam individu mengikut Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan dan Akta Profesion Undang-undang.

Lingam kemudian memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk mencabar dapatan RCI yang mengatakan beliau melakukan salah laku jenayah yang menurutnya serangan serius terhadap reputasinya dan menjejaskan beliau.

Pada 13 September, 2011 Mahkamah Persekutuan memutuskan dapatan RCI tidak boleh dikaji semula kerana pesuruhjaya sekadar membuat dapatan dan ia bukan keputusan.

Pengerusi panel hakim Tan Sri Raus Sharif memutuskan Lingam dan 2 bekas ketua hakim itu tidak terjejas teruk dengan dapatan suruhanjaya itu.

Beliau berkata penubuhan suruhanjaya itu tidak bermakna, dan juga pembaziran wang rakyat jika prosiding dibenarkan untuk dicabar. – 20 November, 2015.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: