Rabu, 2 September 2015

Akhbar Indonesia gambarkan masa tamat Najib sudah tiba

Akhbar harian berpengaruh Indonesia menyamakan perhimpunan Bersih 4 hujung minggu lalu dengan pemberontakan anti Suharto pada akhir 90an, menunjukkan saat
akhir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semakin hampir.

"Pemergian Najib hanya menunggu masa dan sedang mencari formula menyelamatkan 'maruah'.

"Ini adalah masa yang tepat bagi rakyat Malaysia menyediakan hala tuju baharu bagi negara mereka. Suka atau tidak, mereka perlu menerima demokrasi beroperasi
sepenuhnya," kata seorang pengarang akhbar berbahasa Inggeris The Jakarta Post, hari ini.

Akhbar itu membuat perbandingan antara reaksi Najib dengan Suharto semasa demonstrasi "reformasi" di Jakarta yang memaksa diktator paling lama berkhidmat
itu meletakkan jawatannya pada Mei 1998.

"Dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa terhadap perdana menteri semakin kuat dan beliau nampaknya gagal meyakinkan rakyat yang beliau tidak bersalah,"
kata akhbar itu.

"Seperti Suharto, Najib cuba meredakan kesan bantahan awam dengan mengatakan beliau tidak akan mendengar kepada penunjuk perasaan yang digambarkan sebagai
'berfikiran cetek dan semangat kebangsaan yang lemah."

Najib, bertindak balas terhadap perhimpunan Bersih 4 yang menyaksikan puluhan ribu berkumpul di Kuala Lumpur pada 29 Ogos dan 30, menyifatkan penunjuk
perasaan sebagai "cetek dan miskin" dalam semangat patriotik mereka.

"Tidakkah mereka faham, adakah semangat patriotisme dan kecintaan mereka begitu cetek dan miskin? Tidakkah mereka memahami negara ini dibina atas darah
dan keringat pejuang kemerdekaan kita?" katanya kepada perwakilan Umno pada mesyuarat hari pertama perhimpunan tersebut.

Perhimpunan, yang ke-4 anjuran kumpulan gabungan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 diadakan ekoran hubung kait Najib dengan syarikat kontroversi 1Malaysia
Development Berhad (1MDB), dan pendedahan beliau menerima RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Najib sejak awal menafikan sebarang salah laku dengan berkata wang itu diterima daripada seorang penderma dari Timur Tengah atas dasar mempercayai Umno.

Sambil berkata tiada apa yang baharu bagi mendiamkan perbezaan pendapat rakyat, The Jakarta Post berkata Najib kini semakin sukar memandangkan terdapat
pembangkang dari dalam Umno dan juga mentor bekas politik, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir secara terbuka menyokong bantahan dan menggesa "kuasa rakyat" untuk menjatuhkan Najib.

"Malaysia hanya boleh mengamalkan demokrasi sebenar jika Perlembagaan menjamin hak-hak dan tanggungjawab yang sama untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum
dan agama. Selagi negara menentang pemikiran revolusi ini, ia akan kekal sebagai negara berasingan.

"Pemergian Najib hanya satu langkah dalam usaha Malaysia untuk mencapai wawasan yang masih jauh," tambah akhbar itu. – 2 September, 2015.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: