Ahad, 24 Mei 2015

Aduhai, keluh Muhyiddin


Selepas mencuri perhatian dengan memberikan ucapan panas mengecam syarikat 1Malaysia Developmet Berhad (1MDB), Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan cabaran sukar untuk mempromosikan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) kepada umum hari ini.

Hakikatnya, hampir tiada sesiapa di kalangan 5,000 hadirin yang ada di majlis Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2015 menonton pelan lima tahun itu di televisyen ketika ia dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketika berucap, Muhyiddin bertanya kepada orang ramai: "Baru-baru ini di parlimen perdana menteri telah bentangkan dokumen penting yang disebut RMK-11.

Siapa mengikuti ucapan PM hari tu, angkat tangan!"

Namun tiada sesiapa yang mengangkat tangan.

"Aduhai...." kata Muhyiddin.

Tak tepuk tak apa

Majlis anugerah itu diadakan di Rembau dan turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Haji Mohamad Haji Hassan

Muhyiddin menjadi perbualan ramai sejak Khamis lalu apabila sedutan ucapannya mendesak supaya Lembaga Pengarah 1MDB dipecat, tersebar kepada orang ramai.

Muhyiddin membuat ucapan itu dalam majlis tertutup untuk pemimpin UMNO bahagian.

Dalam majlis dihadirinya hari ini, Muhyiddin beberapa kali terpaksa meminta orang ramai bertepuk tangan.

Mengulas RMK-11, Muhyiddin berkata, peruntukan diluluskan kerajaan sebanyak RM260 bilion adalah yang terbesar dalam sejarah pelan setiap lima tahun itu.

Melihat reaksi hadirin tidak seperti diharapkan, Muhyiddin berkata: "Tak tepuk tangan pun tak apa."

Malah ketika beliau bercakap mengenai usaha kerajaan meningkatkan pendapatan 40 peratus rakyat yang mendapat bayaran bulanan purata RM2,500 kepada RM5,000 sebahagian besar penonton juga kurang teruja.

Putih atau jingga?

Ia bukanlah pengalaman pertama Muhyiddin meminta hadirin bertepuk tangan dalam ucapannya.

Bulan lalu ketika berucap kepada guru di Pulau Pinang, beliau terpaksa meminta hadirin bertepuk tangan sekurang-kurangnya empat kali.

Muhyiddin kemudian terus berucap mempromosikan pelan RMK-11 sambil tidak lupa mengkritik pembangkang.

"Sangat penting untuk kita memahami RMK-11. Antara faedahnya termasuk pendapatan yang lebih baik serta taraf hidup lebih selesa.

"Sebab itu kita mahu rakyat terus menyokong kerajaan. Jangan dengar cakap pembangkang. Buang masa saja.

"Ikut buku putih (RMK-11) bukan Buku Jingga," katanya merujuk kepada manifesto Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum 2013.

Orang ramai akhirnya bertepuk tangan dan majlis semakin meriah apabila nama pemenang Anugerah Ilham Desa diumumkan.

Lebih RM100,000 wang tunai diserahkan kepada lima pemenang dengan hadiah utama bernilai RM50,000 untuk pencipta traktor serba guna.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: