PUTRAJAYA, 7 April:
Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas seorang buruh, kerana membunuh rakannya tanpa niat, 10 tahun lalu, gara-gara bergaduh kerana kehilangan dompet.
Panel lima hakim yang diketuai Tan Sri Abdull Hamid Embong, membuat keputusan itu, selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Rozmi Yusof, 39, daripada sabitan dan hukuman gantung, kerana membunuh Rodzi Mohamad, 28.
Abdull Hamid menyabitkan Rozmi terhadap pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat, mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Rozmi itu.
Abdull Hamid memerintahkan Rozmi menjalani hukuman penjara itu, selepas dia selesai menjalani hukuman penjara lima tahun yang dihadapinya sekarang, kerana memiliki parang.
Empat hakim lain adalah Tan Sri Hasan Lah, Datuk Seri Abu Samah Nordin, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim.
Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 6 Disember 2010, menjatuhkan hukuman gantung terhadap Rozmi, selepas mendapati dia bersalah membunuh Rodzi, pada jam 9 malam, 31 Ogos 2005, di sebuah rumah tidak bernombor, di Kampung Banggol Kerian, Pasir Puteh, Kelantan.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 11 Mei 2012, mengetepikan sabitan dan hukuman gantung itu, selepas membenarkan rayuan Rozmi dan memutuskan adalah tidak selamat untuk mahkamah itu menyabitkan Rozmi atas pertuduhan membunuh.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin berhujah, Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam keputusannya membebaskan Rozmi daripada pertuduhan membunuh, berdasarkan keterangan Rozmi bahawa dia mempertahankan diri.
Beliau berkata, perbuatan responden melebihi tindakan mempertahankan diri, kerana berdasarkan keterangan pakar patologi, mangsa mengalami empat kecederaan luaran, antaranya luka pada bahagian belakang kepala yang memotong kulit kepala hingga mendedahkan tengkorak, hasil tetakan menggunakan parang.
Peguam, Ahmad Nizam Mohamad pula berhujah, keterangan anak guamnya adalah konsisten dengan pembelaan mempertahankan diri, kerana mangsa menyerangnya menggunakan lawi ayam (kerambit) dan responden mempertahankan dirinya menggunakan parang.
Mengikut keterangan saksi di mahkamah, mangsa pergi ke rumah Rozmi yang tinggal dengan ibu mertuanya, untuk menilik dompetnya yang hilang dan selepas itu, berlaku pergaduhan antara mereka.
RUANG PENGIKLANAN
MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI
0 respon:
Catat Ulasan