Selasa, 17 Februari 2015

Terbukti Nik Aziz antara pemimpin terkaya negara

Ramai di antara kita yang beranggapan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah seorang yang tidak kaya-raya dan tidak pula miskin.

Bagi Aspan Alias, ini kerana Tok Guru berbelanja mengikut keupayaaan dan tidak banyak menggunakan wang rakyat untuk kepentingan keluarga dan peribadi.

Menulis dalam blognya, semalam beliau menyatakan tetapi akhirnya terbukti Tok Guru merupakan orang yang terkaya di antara pemimpin-pemimpin negara.

Berikut ialah tulisan penuh beliau.

Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) dihormati ramai sehingga akhir kalamnya. Sebabnya adalah ‘obvious’, iaitu kerana beliau seorang ulamak
yang memainkan peranan membentuk dan landskap politik negara terutamanya sejaka 20 tahun terakhir dalam hidupnya. TGNA dianggap sebagai seorang yang merendah
diri dan hidup begitu ‘simple’ dan beliau tidak memerlukan rumah yang besar seperti pemimpin-pemimpin UMNO dan sesetengah pimimpin PAS sendiri.

Di mana beliau tinggal sebelum memegang jawatan Menteri Besar di situ jugalah beliau duduk dan tinggal semasa memegang jawatan Menteri Besar itu. Bagaimana
beliau berpakaian sebelum menjadi Menteri Besar begitu jugalah pakaiannya semasa dan sesudah menjadi Menteri Besar. Beliau tidak berubah cara hidup beliau
walaupun beliau merupakan salah seorang pemimpin besar negara ini.

Beliau tidak ke sana ke mari dengan jet-jet mewah dan mempunyai isteri yang memegang pelbagai jawatan serta mempunyai pengaruh terhadap pimpinan beliau
setiap masa. Malahan ramai yang tidak mengetahui nama isteri beliau. Di Singapura dahulu tidak ada siapa yang mengetahui nama isteri Lee Kuan Yew sampailah
isterinya meninggal dunia, barulah namanya timbul. Itu pun sekarang ramai yang sudah lupa nama mendiang isterinya termasuk diri saya sendiri.

TGNA tidak mempunyai kehidupan yang glamour tetapi beliau tetap pemimpin besar kerana beliau betul-betul memilih cara hidup yang wasatiyah seperti saranan
Dato' Seri Najib. Akhirnya yang bercakap tentang wasatiyah membelanjakan wang rakyat dengan begitu boros dan TGNA yang tidak melaungkan istilah wasatiyah
tetap hidup dengan wasatiyah yang sebenarnya wasatiyah.

Ramai di antara kita yang beranggapan TGNA adalah seorang yang tidak kaya-raya dan tidak pula miskin kerana beliau berbelanja mengikut keupayaaan beliau
dan tidak banyak menggunakan wang rakyat untuk kepentingan keluarga dan peribadi beliau.

Tetapi akhirnya terbukti TGNA merupakan orang yang terkaya di antara pemimpin-pemimpin negara. Semasa kematian beliau dua hari lepas, terbukti yang TGNA
merupakan pemimpin yang teramat kaya. Berita kematian beliau telah diterima dengan begitu terharu oleh rakyat tanpa mengira kefahaman politik dan bangsa
dan budaya. Beliau dihormati oleh ramai manusia bukan sahaja dalam negara ini tetapi berita kematiannya diketahui umum di peringkat antarabangsa.

Inilah kekayaan yang sebenarnya yang setiap umat perlu cari. Mahu tidak mahu kita wajar menerima kenyataan yang TGNA merupakan pemimpin yang terkaya melebihi
kekayaan yang ada pada pemimpin-pemimpin besar yang lain. TGNA telah menunjukan betapa fakirnya banyak pemimpin-pemimpin yang lain semasa kematiannya.

Saya begitu kagum melihat keramaian rakyat yang datang menziarahi jenazah beliau. Saya yang tidak berkesempatan untuk ke Kota Bharu hanya melihat lautan
manusia yang membanjiri Kota Bharu di hari pengkebumian beliau. Inilah kekayaan pemimpin ini yang sangat terserlah dan boleh dilihat dengan mata kepala
kita sendiri.

Dalam kehidupan ini, bagaimana kita memulakannya tidak begitu penting, tetapi yang paling penting ialah bagaimana kita mengakhiri kehidupan kita. Segala
amal dan ibadah serta ubudiyah dan amal sedekah kita itu semata-mata untuk mencari kekayaan di dunia dan akhirat. Kita mahu mati dalam kalimah dan seterus
berbahagia di alam yang kekal itu nanti. Bagi mereka yang berjaya untuk mencapai kekayaan ini, mereka adalah kekayaan yang sejati dan sebenarnya.

Kekayaan wang ringgit bukan lagi setaraf dengan kekayaan jiwa kita. Kita boleh menjadi orang yang kaya dengan wang ringgit tetapi jiwa mereka masih fakir
dan tidak bernyawa. Bagi mereka yang kaya jiwanya boleh dianggap sebagai seekor ikan yang hidup bertahun-tahun dalam lautan masin yang dalam, tetapi tidak
terpengaruh dengan keadaan masin persekitaran dalam lautan yang luas itu. Jika ikan yang hidup dan berjiwa ini dikeluarkan dari lautan yang dalam dan masin
itu, ia akan tetap tidak masin dan terpengaruh dengan keadaan sekeliling yang mencabar itu.

Sebaliknya, jika kita kaya tetapi fakir jiwa, kita boleh dianggap sebagai ikan mati yang akan hanyut mengikut arus, atau dalam bahasa Inggerisnya ‘swimming
with the flow’. Mereka ini ibarat ikan mati yang jika dimasukkan ke dalam air yang masin buat beberapa ketika dan dijemur, ikan itu akan menjadi ikan kering
masin, kerana elemen masin itu telah meresap ke dalam ikan mati itu. Ikan masin kering ini selalunya akan terbuka matanya tetapi tidak bernyawa kerana
sudah menjadi ikan masin yang akan digulai dan dimakan sebagai hidangan yang enak.

Kalau dilihat dari zahiriahnya ada tanda-tanda besar yang TGNA merupakan pemimpin yang sangat kaya, malahan lebih kaya daripada ramai pemimpin-pemimpin
yang lain. Pembanjiran puluhan ribu manusia berbilang kaum di hari pengkebumian beliau tiga hari lepas jelas menampakkan bagaimana kayanya TGNA pemimpin
politik dan masyarakat yang sangat popular itu.

Sesungguhnya TGNA adalah seorang yang paling kaya yang kita lihat dalam sejarah negara kita. Beliau kaya dalam erti hakikatnya yang sebenar.

Saya berdoa  agar rohnya sebaris dengan roh-roh aulia, ambia-ambia serta syuhada. - HARAKAHDAILY 16/2/2015

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: