Khamis, 30 Oktober 2014

Joget ghairah dan seksi tengah sawah

PENDANG - Jika dari luar, kedai makan ini dilihat tenang di tengah sawah, namun siapa sangka pada malamnya ia dijadikan tempat hiburan.

Tidak punya papan tanda, kawasan kedai makan itu kelihatan meriah dengan pengunjung yang kononnya datang untuk menjamu selera dan itu antara helah yang digunakan pengusaha untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Tinjauan Sinar Harian pada jam 12.30 tengah malam mendapati, kedai tersebut menyajikan tarian mengghairahkan dan minuman keras kepada pengunjung beragama Islam.

Sinar Harian sempat menemu bual seorang pengunjung dalam lingkungan 50 tahun, hanya ingin dikenali sebagai Mat.

Atas sebab keselamatan, dia tidak mahu identitinya didedahkan dan enggan gambarnya dirakam.

“Kebiasaannya, kedai ini akan ramai pada malam Jumaat, pengunjung yang datang akan dilayan oleh pelayan kedai tersebut dengan berpakaian seksi.
“Setiap layanan yang diberikan, mereka akan menerima tip sebanyak RM30,” katanya.

Jadi tempat lepak

Katanya, selain minuman keras, kedai makan ini juga menyajikan air berkarbonat dengan harga RM7 sebotol.

“Harga yang dijual memang mahal, kalau ikutkan memang Mat tidak mahu datang sini, mahal sangat, tapi sebab bosan, Mat datang la sini.

“Mat selalu datang kedai ini dengan kawan pada jam 11.30 malam, lepas habis kerja. Sinilah tempat kami lepak,” katanya.

Mat berkata, pelayan perempuan dalam kedai tersebut berumur lingkungan 27 hingga 40 tahun.

“Biasanya, mereka akan menggoda dengan aksi mengghairahkan,” katanya.

Suami abai tanggungjawab




"Perangai suami saya berubah sejak berkunjung ke situ, setiap kali dapat gaji dia akan ke kedai makan tersebut untuk berjoli dengan perempuan seksi."

Itu keluhan seorang wanita mendakwa suaminya kerap berkunjung ke kedai makan yang menyediakan khidmat pelayan.

Wanita berkenaan menceritakan keadaannya kepada Sinar Harian selepas tidak sabar dengan kerenah suami yang sering mabuk dan berfoya-foya dengan pelayan kedai terbabit.

Ibu kepada anak lima itu berkata, sejak belakangan ini, suaminya kerap mengunjungi kedai berkenaan dan hanya akan pulang awal pagi.

Bukan setakat itu, katanya, suami yang juga pekerja projek turut mengambil minuman keras yang didakwa boleh diperoleh secara mudah di kedai terbabit.

Dia yang hanya ingin dikenali sebagai Aminah (bukan nama sebenar) berkata, kehidupannya semakin tertekan apabila sering dipukul suaminya.

“Setiap kali saya minta duit untuk beli barangan dapur dan belanja sekolah anak-anak, suami akan naik angin dan menengking dengan kata-kata kesat.

“Sejak berkunjung ke situ, dia jadi seorang pemabuk dan lupa tanggungjawab terhadap keluarga,” katanya.

Katanya, dia hanya mampu berdoa semoga ALLAH SWT memberi hidayah kepada suaminya.

Polis tumpas premis

Bertindak atas aduan, polis Kedah menyerbu pusat hiburan yang menawarkan minuman keras bersembunyi di sebalik kedai makan di sempadan Pokok Sena - Pendang jam 1.15 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, semakan mendapati, penjaga premis gagal mengemukakan lesen hiburan di bawah Enakmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan 1997.

“Polis turut menahan seorang penjaga dan seorang pelayan wanita berumur 27 tahun yang terbabit.

"Mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Kota Setar untuk tindakan lanjut.

“Seramai 14 pengunjung turut disiasat melibatkan 12 lelaki Melayu dan dua wanita Melayu. Semakan dibuat mendapati, mereka tiada rekod jenayah,” katanya.

Mohd Nashir berkata, pihaknya turut merampas beberapa peralatan antaranya dua komputer, dua pembesar suara, satu mikrofon, satu amplifier dan satu unit mixer.

- Sinar Harian

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: