Selasa, 30 September 2014

Lebih baik keluar dari PR

Badan pertubuhan bukan kerajaan Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA), menyarankan sekiranya PAS gagal bertindak tegas terhadap kelompok dalam PAS yang terus menerus mewujudkan konflik sesama Pakatan Rakyat (PR), LENSA mencadangkan agar PAS mengambil langkah berundur dari PR.

Menurut Koordinator LENSA, Ekhsan Bukharee, sikap PAS yang membelakangkan setiakawan menjadi faktor utama yang menyebabkan krisis Selangor terheret selama lima bulan.

“Walhal konflik ini boleh diselesaikan lebih awal sekiranya PAS menghormati semangat setiakawan dengan menyokong calon Menteri Besar yang telah dipersetujui secara bersama PKR dan DAP,” katanya.

Tidak terhenti di situ, PAS dikatakan lewat bertindak, dan tidak konsisten.

“Mesyuarat PAS Pusat pada 17 Ogos sebetulnya mampu menyelesaikan masalah yang berlaku,

“Namun selepas mesyuarat itu, PAS dilihat beberapa kali membuat pusingan ‘U’ menyebabkan konflik semakin buntu.

“Walaupun pada 17 Ogos, mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat sepakat menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal MB,” katanya dalam satu sidang media selepas menyerahkan surat cadangan kepada Pegawai Penerangan PAS Pusat, Mohamad Shahir Abu Hassan.

Jelasnya lagi, LENSA turut mencadangkan PAS menggesa semua pimpinan di setiap peringkat untuk tidak lagi membuat kenyataan yang boleh memudaratkan hubungan sesama rakan PR.

Selain itu, LENSA mencadangkan agar PAS menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap ahli mahupun pimpinan yang bertindak mengeluarkan kenyataan yang mampu menggugat keutuhan PR.

“Ia penting bagi membuktikan ketelusan PAS bersama PR sekaligus menunjukkan pandangan yang tidak pro-pakatan sebagai pandangan minoriti dan terpencil dalam PAS.

“Sekiranya ini dapat dilaksanakan, LENSA yakin kepercayaan masyarakat umum kepada PAS dapat dikembalikan,” ujar beliau lagi.

Sebelum ini, beberapa pimpinan PAS telah mengeluarkan kenyataan yang dilihat boleh mengeruhkan hubungan PAS di dalam PR, antaranya Ahli Parlimen Pasir Mas , Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Zuhdi Marzuki, dan juga Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan.

Ujar Ekhsan lagi, jika PAS terus bersikap demikian dan masalah ini tidak diurus segera, maka masyarakat akan hilang kepercayaan kepada PR dan secara khususnya kepada PAS.

“Kita nampak PAS boleh pergi jauh, dan sebab itu kita sebagai NGO yang tidak partisan (tidak berparti) tegur PAS.

“Kita juga tidak menolak bahawa kita akan menegur DAP dan PKR pada masa akan datang,” katanya.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: