APABILA membaca kenyataan dan penjelasan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai isu 'pemecatan' Ahli Parlimen Gombak dan juga Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS sudah timbul konfius besar di dalam benak banyak orang apabila beliau menyatakan keputusan memecat Azmin itu dibuat oleh pengurus besar PKNS, Othman Omar, bukan olehnya.
Penjelasan itu membingungkan orang yang waras dan mereka yang tahu mengenai bidang kuasa dan prosedur dalam sesebuah jabatan atau kerajaan.
Dalam menjelaskan perkara itu, Abdul Khalid seolah-olah ingin menyatakan dia tidak bersalah dan tidak bertanggungjawab dengan apa yang berlaku.
Apa yang hendak diceritakan dia dimaklumkan perkara itu bersama-sama dengan Exco lain dan Azmin menerimanya.
{baca lagi klik butang papar ... }
5 artikel pilihan pembaca hari ini
Abdul Khalid seolah-olah ingin menyatakan pemecatan oleh Othman itu diredai oleh Azmin, habis cerita.
Manakala dalam penjelasan lain Khalid cuba memberi gambaran pemecatan itu bukan dibuat oleh sepihak tetapi secara berkumpulan (Exco).
Sesiapa pun tidak akan percaya begitu sahaja terhadap kata-kata MB itu, dan setelah orang berfikir orang akan buang begitu sahaja penjelasan yang sangat dangkal oleh seorang menteri besar.
Sekiranya benar seperti jelas Abdul Khalid itu, pengurus besar PKNS yang memecat Azmin, nampak sangatlah lurus bendulnya menteri besar ini dimana kuasanya sebagai eksekutif dapat dipermainkan oleh anak buahnya untuk memalukan pimpinan partinya sendiri. Senaif itukah Abdul Khalid?
Untuk rekod kalau Abdul Khalid lupa, Azmin adalah Timbalan Presiden PKR di mana statusnya sama dengan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Umno atau Mohamad Sabu dalam Pas.
Orang akan persoal dan bertanya siapa paling berkuasa di negeri Selangor selepas sultan? Jawabnya tentulah menteri besar.
Sekiranya pemecatan Azmin itu bukan atas arahan sultan, (dan sultan tidak pun campur tangan dan tidak pun berhak) maka Abdul Khalid lah kena bertanggungjawab.
Othman tidak boleh pandai-pandai berbuat sendiri tanpa ada arahan dari beliau. Kalau Othman berbuat juga maka tindakan Othman itu boleh dianggap sebagai membelakang bos, MB.
Apakah Othman menjadi seberani itu?
Ternyata apa yang konfius didalam kepala banyak orang itu terjawab apabila membaca berita mengenai penafian oleh PKNS yang dibuat oleh Setiausaha Kerjanya Norita Mohd Sidek dalam kenyataan dua perenggan yang menjelaskan surat 'pemecatan' Azmin dihantar oleh pihak PKNS bertarikh 8 Januari 1014 adalah selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Mesyuarat Negeri (MMKN) Selangor bertarikh 13 November 2013 yang kemudian disahkan oleh MMKN pada 4 Disember.
Apakah maknanya itu?
Ertinya pihak PKNS menghantar surat pemecatan Azmin itu setelah ia dibuat oleh mesyuarat Exco Selangor yang dipengerusikan oleh Abdul Khalid.
Memanglah secara teknikalnya surat pemecatan Azmin itu dibuat oleh PKNS, bukan oleh pejabat MB atau Setiausaha Kerajaan Negeri, tetapi siapakah yang memberi lampu hijau dan membuat keputusan? Keputusannya dibuat oleh Exco dimana pengerusi tentulah Abdul Khalid.
Abdul Khalid berhajat untuk mendedahkan minit mesyuarat berhubung perkara ini, ia sangat dialu-alukan apakah yang dicatat dalam minit berkenaan.
Silakan dan jangan berdolak dalih apakah ia tertakluk dengan Akta Rahsia Rasmi atau tidak.Pengecualian dan keizinan untuk mendedahkan boleh dibuat.
Yang pastinya kalau ada cadangan agar Azmin digugurkan ia bukan datang dari Othman kerana Pengurus PKNS tidak menjadi ahli MMKN dan berada dalam mesyuarat MMKN, kecuali dipanggil. Dalam hal ini rasanya tidak sampai ke tahap itu.
Abdul Khalid kena ingat setiap apa yang berlaku di sekitar dirinya bukan dalam sebuah dewan pertunjukkan silap mata, tetapi dialam kenyataan yang sedia berdepan dengan banyak persoalan dan realiti.
Rasa mengenai prosedur dibuat PKNS itu budak-budak pun tahu dan memahaminya. Pejabat MB tidak ada hak untuk memecat mana-mana ahli lembaga pengarah mana-mana anak syarikat kerajaan kecuali pihak pengurusan syarikat berkenaan.
Janganlah Abdul Khalid ingin perbodoh dan mengelirukan orang ramai dalam kasus ini. Penafian dibuat oleh Abdul Khalid itu kononnya bukan dia memecat Azmin, kemudian ditolak oleh PKNS dengan kenyataan oleh Norita Mohd Sidek itu sesuatu yang sungguh memalukannya.
Ia menjatuhkan martabat Abdul Khalid sebagai MB yang kononnya dianggap berjiwa rakyat. Secara tidak langsung juga menjatuhkan martabat kerajaan PR Selangor.
Malanglah bagi Abdul Khalid kalau perkara-perkara bejat begitu berlaku dengan mudah. Apakah beliau tidak membuat semakan terhadap apa yang diucap dan diputuskan.
Ataupun mungkin kerana terlalu sibuk dengan urusan dan tanggungjawab, kerap berjumpa rakyat maka beliau serahkan sahaja tindakan politiknya kepada para pegawainya. Kalau berlaku demikian Abdul Khalid telah melakukan kesilapan besar.
Mungkin kerana terlalu jujur dan lurus bendul dia tidak tahu kalau-kalau ada orang yang ingin mengambil kesempatan ke atas dirinya bagi mengatur masa depan yang jauh dan berpentingan peribadi.
0 respon:
Catat Ulasan