Dalam masa yang sama pengunduran Mahathir ini juga menimbulkan persoalan tentang siapakah pengganti yang akan mengambil alih tempatnya. Jawatan sebagai Penasihat Petronas biasanya diberikan kepada bekas Perdana Menteri sebagai mengenang jasa dan sumbangannya kepada negara.
Sebelum Mahathir, jawatan itu pernah disandang oleh Hussein Onn. Apakah dengan pengunduran Mahathir ini, Najib akan melantik Pak Lah pula ke jawatan itu? Atau tokoh-tokoh lain seperti Tengku Razaleigh dan Daim Zainuddin turut dalam pertimbangan Perdana Menteri untuk diberikan jawatan tersebut?
Mahathir sendiri ketika bercakap kepada pemberita semalam berkata, pengundurannya adalah kerana beliau sudah tua dan perlu banyak berehat.
Beliau juga dinasihatkan oleh doktor yang merawatnya agar mengurangkan aktiviti dan tidak terlalu aktif, sementara perjalanan ke luar negara pula hanya boleh dilakukan sekali saja dalam sebulan.
"Saya perlu lebih rehat dan banyak tidur," kata Mahathir lagi.
Walaupun faktor kesihatan dan perlu banyak berehat ini dapat diterima sebagai alasan pengundurannya, tetapi kesangsian tetap ada kerana jawatan sebagai penasihat itu bukanlah tugas sepenuh masa yang memerlukannya menguruskan perjalanan Petronas, pergi ke pejabat setiap hari atau menghadiri mesyuarat-mesyuarat penting.
Kedudukannya sebagai Penasihat Petronas hanyalah kerana jasa dan kedudukannya ssbagai bekas Perdana Menteri. Beliau tidak perlu ke pejabat setiap hari dan jika hanya tidur di rumah saja pun, tiada siapa yang akan marah atau menegurnya.
Jadi, kenapa perlu meletakkan jawatan?
Dalam masa yang sama juga, sebagaimana yang dipetik daripada laporan Berita Harian, Mahathir memberitahu, beliau hanya meletakkan jawatan sebagai Penasihat Petronas saja tetapi akan kekal sebagai Penasihat Proton.
Ramai juga bingung, boleh pula beliau kekal sebagai Penasihat Proton. Apakah bezanya Petronas dengan Proton?
"Saya hanya letak jawatan dalam Petronas. Proton bukan milik kerajaan, ia milik DRB-Hicom Berhad. Saya akan teruskan perjuangan saya bersama Proton," jelasnya.
Keadaan ini menampakkan seolah-olah beliau tidak mahu dikaitkan dengan sebarang jawatan dalam kerajaan tetapi akan terus berjuang bersama Proton.
Maknanya, tidaklah beliau hanya akan berehat dan lebih banyak tidur saja selepas ini.
Malahan, semalam juga, ketika bercakap mengenai rasuah yang didakwanya masih berkembang dalam Umno dan juga kerajaan, Mahathir juga berkata, beliau ada idea untuk membendung rasuah dalam Umno dan juga kerajaan dan akan mencari platform untuk menjelaskan idea tersebut.
Maknanya juga, beliau akan lebih sibuk bercakap mengenai rasuah selepas mengundurkan diri sebagai Penasihat Petronas ini. Bahkan mungkin juga lebih aktif, lebih aktiviti dan lebih banyak bergerak berbanding sebelum ini.
Namun demikian, apa pun alasan mengenai pengunduran Mahathir ini, persepsi orang ramai, terutama ahli Umno terhadanya serta kemungkinan yang bakal berlaku selepas ini, rata-rata mengharapkan beliau terus sihat, cergas dan panjang umurnya.
sumber sini
0 respon:
Catat Ulasan