Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengisytiharkan status darurat di Muar dan Ledang di Johor berkuat kuasa serta merta selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 750 setakat 7 pagi ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel menerusi posting terbaharu dalam facebook beliau.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersetuju mengisytiharkan status darurat di Muar dan Ledang berkuat kuasa serta merta selepas bacaan IPU melebihi 750," kata Palanivel.
baca lagi ...
Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan bacaan IPU di Muar setakat 7 pagi ini ialah 746.
Bagaimanapun setakat 11 pagi ini, bacaan IPU di Muar mencatatkan sedikit penurunan kepada 690 tetapi masih pada tahap bahaya.
Berdasarkan indeks kualiti udara, bacaan antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.
Pada 2005, Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor diletakkan di bawah status darurat jerebu apabila bacaan IPU di kedua-dua kawasan itu melebihi 500, tahap yang dikategorikan sebagai berbahaya kepada kesihatan. - Bernama
Sekolah di KL, Selangor diarah tutup esok 24/6/2013
klik papar untuk butiran:
SHAH ALAM - Semua sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur akan ditutup esok berikutan kualiti udara yang semakin buruk akibat jerebu.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel.
"Semua sekolah di Selangor dan KL ditutup esok seperti dinasihatkan PM Najib Razak," katanya.
Palanivel berkata beliau akan meminta Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh mengambil tindakan sewajarnya.
"Situasi jerebu semakin teruk pada 5 petang dan sekolah diarah tutup sebagai langkah berjaga-jaga kerana kualiti udara yang buruk akan memberi kesan terhadap kesihatan pelajar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka berada dalam rumah dan memakai topeng jika mereka perlu keluar.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Muar, yang diisytihar sebagai kawasan darurat, mencatat sedikit penurunan dengan bacaan 690 pada 11 pagi tadi berbanding 746 empat jam sebelumnya.
IPU bagi Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai di Melaka, yang sebelum ini masing-masing mencatat bacaan di tahap bahaya 357 dan 334, meningkat ke 415 dan 428.
Negeri lain yang mempunyai IPU tidak sihat termasuk ibu negara, Putrajaya, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor manakala dua kawasan yang dikategori sebagai mempunyai kualiti udara sihat ialah Sandakan dan Tawau di Sabah. - Bernama
pembenihan awan tak dapat dilakukan bagi mengurangkan jerebu
klik papar untuk butiran:
KUALA LUMPUR - Pembenihan awan bagi mengurangkan jerebu di negara ini, terutama di Muar dan Ledang di Johor, bagi memperbaiki kualiti udara tidak dapat dilakukan pada waktu ini kerana cuaca yang kering dan tidak berawan.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Datuk Halimah Hassan berkata berdasarkan pemantauan jabatan itu, pembenihan awan boleh dilakukan dalam masa beberapa hari lagi bergantung kepada keadaan awan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Che Gayah Ismail pula berkata sekiranya pembenihan awan dilakukan dalam keadaan yang tidak sesuai ketika ini, ia tidak akan berjaya.
Keadaan tidak berawan dan kering, berserta taufan Tropika Bebinca (Fabian) yang sedang melanda Laut China Selatan dengan tiupan angin dari Barat Daya yang lebih kuat membawa asap jerebu merentas sempadan di rantau ini, akan menyukarkan lagi proses pembenihan awan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sidang akhbar bersama itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.
Bagaimanapun, Che Gayah berkata taufan Fabian yang dijangka berakhir esok akan menyebabkan keadaan cuaca lebih baik dengan sedikit hujan untuk mengurangkan jerebu di negara ini.
Keadaan cuaca ketika ini adalah kering melebihi daripada biasa kerana negara kini berada dalam musim Monsun Barat Daya yang dijangka berakhir September ini, katanya. - Bernama
0 respon:
Catat Ulasan