KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu meminjam sejumlah RM708,385,103 daripada kerajaan pusat untuk projek bekalan air bersih negeri.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata angka itu juga merupakan jumlah hutang keseluruhan kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.
Ini kerana katanya, bagi tempoh empat tahun ini kerajaan negeri membina rumah kos rendah dan mampu milik tanpa meminjam daripada kerajaan pusat.
"Untuk pengetahuan Dewan, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM700 juta setakat ini bagi membina rumah awam kos rendah dan rumah mampu milik," katanya menjawab soalan Datuk Harun Taib (PAS-Manir) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.
Harun ingin tahu jumlah hutang kerajaan Terengganu dengan kerajaan pusat.
Ahmad berkata walaupun Terengganu berhutang dengan kerajaan pusat lebih RM700 juta, namun negeri itu merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai aset bekalan air bernilai RM2 bilion iaitu melebihi hutang yang diberikan kerajaan puast.
Menjawab soalan tambahan oleh Harun, Ahmad mengakui pendapatan kerajaan negeri masih belum mencukupi untuk membiayai projek pembangunan di seluruh negeri itu.
Mengenai bilakah kerajaan negeri dapat menyara hidupnya sendiri, Ahmad berkata keadaan itu bergantung kepada pendapatan dan perbelanjaan serta pembangunan yang hendak dilakukan. - Bernama
0 respon:
Catat Ulasan