Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menekankan kepada perlaksanaan pengurusan bijak dan berkesan bagi mengoptimumkan pulangan dari kakitangan awam yang ada kini.
"Jika pulangan tidak optimum demi kesejahteraan rakyat, adalah tidak bermakna dan sia-sia jumlah kakitangan awam yang banyak.
"Begitu juga, apa makna dan sia-sia sahaja dikurangkan jumlah kakitangan awam jika pulangan tidak optimum demi kesejahteraan rakyat," katanya.
Mahfuz berkata, banyak yang boleh dipelajari dari sektor korporat dan swasta mengenai kaedah-kaedah mengoptimumkan pulangan dari jumlah pekerja yang ada.
"Setakat ini, kita tidak pernah mendengar sebarang berita tentang tenaga kerja yang ada diagih-agihkan secara bijaksana dan berkesan mengikut keperluan dan tuntutan tenaga kerja untuk mengoptimumkan pulangan.
"Yang tidak henti-henti kita dengar ialah aduan-aduan awam yang berterusan tentang tindakan yang lambat, "red tape" yang berlebihan dan ada jabatan-jabatan tertentu yang seolah-olah sudah menjadi dinosaur yang besar tetapi lambat bergerak sedangkan pada masa yang sama ada jabatan-jabatan yang agak kritikal dari segi tenaga kerja," katanya.
Semua itu, kata Mahfuz, bukan salah kakitangan awam tetapi salah pentadbiran dan pengurusan negara yang tidak cekap dan tidak bijak.
Lebih penting dari itu, tegas beliau, ialah memastikan ditamatkan segera campur tangan politik dalam urusan kakitangan awam.
"Jika sesuatu urusan sepatutnya membabitkan keputusan di peringkat sektor awam sahaja, mestilah dipastikan tidak ada campur tangan politik sama sekali," katanya.
Beliau yakin, pengurusan bijak dan berhemah tanpa campur tangan politik akan membantu mengatasi banyak masalah ketirisan dan kebocoran sehingga menjadi teguran Ketua Audit Negara setiap tahun.
"Banyak kakitangan awam yang mengadu bahawa kebocoran, ketirisan dan pembaziran serta amalan rasuah berpunca dari campur tangan ahli-ahli politik yang berkuasa," kata beliau.
Mahfuz berharap rakyat bersungguh-sungguh memainkan peranan mengatasi perkara itu.
"Amalan rasuah dan penganiayaan kakitangan awam seperti pendakwaan beberapa Ketua Setiausaha kementerian akibat kerja jahat ahli-ahli politik tidak akan berhenti selagi parti perasuah menjadi pemerintah.
"Kakitangan awam sendiri mestilah memilih sama ada untuk terus menjadi mangsa seperti yang berlaku ke atas beberapa Ketua Setiausaha kementerian atau memilih era baru dengan usaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan undang-undang yang memastikan kerajaan dihalang dari menganiayai rakyat," katanya.
sumber klik sini
0 respon:
Catat Ulasan