Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata permohonan mendapatkan injunksi berkaitan perjanjian itu, yang ada hubungan dengan usaha menyenaraikan Felda Global Ventures di Bursa Malaysia sudah pun diputuskan tetapi mahu melihat keputusan tribunal terlebih dahulu.
Penyenaraian Felda Global Ventures Holding dijangka dilakukan pertengahan tahun depan. Langkah itu yang bertujuan untuk mendapatkan dana bagi syarikat menjadi konglomerat global, diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Bajet 2012 di Parlimen awal bulan lalu.
"Kami sudah pun membuat aduan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia, bulan lalu. Selain kami, ada juga beberapa pihak lain yang turut membuat aduan mengenai kedudukan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang baru kepada suruhanjaya," kata Mazlan kepada The Malaysian Insider.
Mazlan berkata sehingga tribunal membuat keputusan perjanjian pajakan di antara kedua-dua entiti itu juga tidak boleh diadakan.
"Mengikut maklumat yang kami terima, sebaik sahaja aduan dibuat, sehingga aduan kami ini didengar dan diputuskan oleh tribunal, perjanjian pajakan antara Felda Holdings dan Felda Global Ventures tidak boleh diadakan... jadi keputusan tribunal kena diketahui terlebih dahulu," kata Mazlan yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat.
Mazlan berkata, jika keputusan tribunal menunjukkan kedudukan Isa sebagai pengerusi KPF tidak sah, maka proses penyenaraian Felda Global Ventures juga boleh dianggap sebagai tidak sah.
"Ini kerana KPF memegang pegangan 51 peratus dalam Felda Holdings," katanya lagi.
Kata Mazlan, jika tribunal memutuskan bahawa kedudukan Isa sebagai Pengerusi KPF sah dan proses penyenaraian diteruskan, maka "kami akan memfailkan injunksi untuk menghalang perjanjian pajakan ini."
Bulan lalu, Bangkit membuat aduan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia berhubung pelantikan Isa, selaku Pengerusi Felda, sebagai Pengerusi KPF.
Pengerusi Bangkit Abdul Rahman Ramli dalam aduannya berkata, Isa tidak layak memegang jawatan itu kerana beliau bukan ahli KPF yang keahliannya hanya terhad kepada peneroka atau kakitangan tetap Felda.
"Kedudukan Tan Sri Isa hanyalah bertaraf kontrak, justeru pelantikan beliau bertentangan dengan undang-undang koperasi dan menyalahgunakan kuasa," katanya dalam memorandum aduan yang difailkan di SKM.
Sebelum Isa menegaskan pelantikannya sebagai Pengerusi KPF tidak bercanggah dengan undang-undang.
Menurut Abdul Rahman, pelantikan itu bertentangan dengan Akta Koperasi 1993 (Pindaan 2007) kerana mengangkat dirinya sendiri dan mengambil alih jawatan yang sebelum ini disandang Datuk Dzulkifli Abdul Wahab.
Beliau turut mempersoalkan tindakan KPF menerima Isa sebagai ahli pada 22 Jun lalu sedangkan matlamat asal penubuhan KPF adalah memberi peluang secara adil kepada warga Felda untuk turut serta memiliki ekuiti dalam syarikat Felda.
Isa sebelum ini dipersoalkan pelantikannya sebagai Pengerusi KPF kerana tidak menepati syarat walaupun dipersetujui melalui mesyuarat Lembaga Pengarahnya.
Lantikan itu juga menjadi kontroversi apabila jawatan asal yang disandang Dzulkifli yang ketika itu sedang menunaikan umrah diketepikan sama sekali.
Sebelum ini, Mazlan sebelum ini juga menyatakan kebimbangannya pelantikan Isa itu dikhuatiri menjadi ‘pintu belakang’ bagi membolehkan 51 peratus ekuiti KPF bernilai RM398.32 juta dalam Felda Holdings dibawa masuk ke dalam Felda Global Ventures untuk pelaburan luar negara.
Tulisan beberapa blog mendakwa perjanjian pajakan antara Felda Global Ventures dan Felda Holdings telah disorokkan daripada pengetahuan para peneroka dan didakwa bahawa ia juga merugikan mereka.
Tulisan itu menggesa para peneroka harus menuntut ditunjukkan dahulu surat perjanjian pajakan antara Felda Holdings dan Felda Global Ventures sebelum pajakan dimulakan Januari depan.
Kata tulisan itu, jika enggan maka para peneroka wajar menyaman Felda Holdings daripada membuat keputusan merugikan masa depan mereka dan anak masing-masing.
sumber klik sini
- SILA BACA SYARAT & PENAFIAN KOMEN SEBELUM MEMBUAT ULASAN
RUANG PENGIKLANAN
MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI
0 respon:
Catat Ulasan