Khamis, 20 Oktober 2011

Awas! Ilmu pengasih guna asap rokok

JOHOR BAHRU: “Din mengamalkan ilmu pengasih menggunakan asap rokok dan bagi menjadikannya lebih mujarab, ia perlu dihembus kepada mangsa di hentian bas,” kata seorang guru sebuah sekolah di bandar raya ini yang mendakwa menjadi mangsa kasanova berjari 17 dikenali sebagai ‘Din Kudung’, semalam.

Mangsa mahu dikenali sebagai Siti, 32, berkata, melalui pengalaman dan cerita mangsa lain, semua perkenalan mereka dengan Din Kudung bermula sama ada di Terminal Pengangkutan dan Pasar Awam Larkin mahupun hentian bas lain.








Menurut Siti, pertemuan pertama dengan Din Kudung serta pengalaman mangsa lain membuktikan lagi telahan lelaki terbabit akan bertindak menghembus asap rokok ke muka mereka.

“Saya berkenalan dengan Din Kudung menerusi panggilan telefon dibuatnya pada awal September 2010 sebelum kami bertemu di hentian bas berhampiran sekolah tempat saya mengajar,” katanya.

“Kali pertama bertemu, Din Kudung banyak bercerita berkaitan diri saya seperti kehidupan peribadi serta mata pelajaran yang saya ajar, membuatkan saya menyenanginya dan mahu berkenalan lebih rapat,” katanya.

Lebih menghairankan, katanya, Din Kudung beberapa kali menghembuskan asap rokok ke mukanya dan mulanya terasa seperti mahu marah tetapi akhirnya hanya mendiamkan diri.

“Sejak pertemuan itu, saya kerap bertemu Din Kudung yang turut mendakwa bertugas sebagai kontraktor dan mempunyai beberapa projek dalam pembinaan sekitar bandar raya ini.

“Lelaki terbabit turut membawa saya ke beberapa lokasi projek pembangunan sekitar bandar raya ini yang konon miliknya.


“Din Kudung mendakwa berdepan pelbagai masalah seperti pekerja ditahan Jabatan Imigresen dan kekurangan wang untuk meneruskan projek.

“Terpedaya dengan helah lelaki berkenaan, saya bersetuju membuat pinjaman bank RM50,000 di sebuah institusi kewangan di pusat bandar raya ini, pertengahan September 2010,” katanya.

Bagaimanapun, Siti terkejut kerana kurang tiga jam, urusan pinjaman itu diluluskan dan dia menyerahkan wang berkenaan kepada lelaki itu.

Menurutnya, dua minggu kemudian, Din Kudung menghubunginya dan memaklumkan perlu RM50,000 lagi untuk menyelesaikan masalah kewangannya.

“Saya akhirnya setuju membuat pinjaman itu selepas didesak, ia diluluskan pada hari sama dan cek pula dikeluarkan atas nama seorang lelaki yang juga rakan kepada Din Kudung.

“Pertengahan Oktober pula, Din Kudung sekali lagi meminta saya membantunya dan saya menggunakan kad kredit untuk mengeluarkan RM8,000 sebelum menyerahkan wang berkenaan kepadanya,” katanya.

Menurut Siti, tidak lama kemudian, lelaki terbabit menghilangkan diri, malah turut menukar nombor telefon bimbitnya.

, Siti juga tertekan kerana Din Kudung berjanji konon mahu menjadikannya rakan niaga selain mengahwininya.

Siti berkata, awal tahun ini, dia mendapatkan rawatan di sebuah pusat rawatan Islam sebelum dimaklumkan sebenarnya terkena ayat guna-guna dan diminta mengamalkan bacaan ayat suci al-Quran.

Katanya, selepas beberapa kali berubat, baru dia dapat berfikir dengan waras.

“Saya akhirnya berjaya mendapatkan beberapa nombor telefon wanita lain yang menjadi mangsa Din Kudung dan apabila dihubungi, mereka turut mendakwa ditipu lebih RM100,000 seorang selain berkenalan di Terminal Pengangkutan dan Pasar Awam Larkin.

“Akibatnya, saya kini terpaksa menjelaskan hutang sebanyak RM1,200 sebulan kepada tiga bank dengan tempoh bayaran pinjaman antara 15 hingga 20 tahun,” katanya.

Menurutnya, disebabkan jumlah hutang yang banyak, dia tidak boleh membeli rumah mahu pun menukar kereta kerana separuh daripada gajinya digunakan untuk melunaskan bayaran terbabit.

Berikutan itu, Siti membuat laporan di Balai Polis Taman Perling, 25 Ogos lalu, dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Din Kudung bagi mengelak lebih ramai wanita menjadi mangsanya.





RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: