KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Bukit Tunggal di sini, menerima tujuh jahitan di telinga kiri selepas didakwa dipukul seorang pelajar tingkatan satu dari sekolah yang sama.
Ibu mangsa Fatimah Ngah, 54, berkata dalam kejadian kira-kira 1 petang semalam, anak bongsunya, Abdul Rahman Abdul Ghani sedang duduk di dalam kelas sementara menunggu peperiksaan pertengahan tahun. Bagaimanapun, secara tiba-tiba datang seorang pelajar lelaki dari kelas lain, terus menyepak di bahagian pipi kanan dan menyebabkan mangsa rebah lalu terkena cermin tingkap.
Selepas dipukul, mangsa dikatakan menghubungi abangnya bagi memaklumkan tentang kejadian itu dan terus dibawa pulang ke rumah di Kampung Bukit Kandis, di sini.
"Saya terkejut melihat anak saya pulang ke rumah bersama abangnya dengan keadaan baju berlumuran darah dan dia memberitahu dia dipukul oleh pelajar lain tanpa mengetahui punca sebenar," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Menurut beliau, abang mangsa yang berusia 26 tahun kemudian bergegas membawa Abdul Rahman ke Klinik Kesihatan Bukit Tunggal sebelum menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan membuat laporan polis pada 4.11 petang semalam.
Fatimah mendakwa anaknya tidak pernah menghadapi masalah dengan rakan yang lain kerana anaknya seorang yang pendiam dan amat berharap pihak polis dapat menyiasat kes itu secepat mungkin.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.
Katanya, polis percaya mangsa dipukul oleh pelajar lain dari sekolah yang sama dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana cubaan mendatangkan kecederaan. - (berita harian)
0 respon:
Catat Ulasan