Khamis, 26 Mei 2011

Apa cerita ni Samy Vellu

KUALA LUMPUR: Pengerusi Institut Pendidikan Maju (MIED), Datuk Seri S Samy Vellu memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa semasa beliau menulis surat sokongan kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak
(kini Perdana Menteri) pada 2007, berhubung permohonan sebuah syarikat bagi projek kem Khidmat Negara (NS), beliau tidak tahu siapa pengarah syarikat itu.





Katanya beliau tidak tahu bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIED, P Chithirakala adalah seorang daripada pengarah Silver Line Services Sdn Bhd.

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais, Samy Vellu berkata tiada apa-apa disebut mengenai pengarah syarikat itu kecuali ia adalah syarikat milik orang India.

Bekas Presiden MIC itu berkata beliau menulis surat sokongan itu atas kapasitinya sebagai Menteri Kerja Raya ketika itu, menggunakan kepala surat kementerian dan menurutnya beliau tidak pernah berniat untuk "menyalahgunakan" kepala surat itu sepertimana cadangan pihak pembelaan.

Hari ini adalah hari keempat Samy Vellu memberikan keterangan di mahkamah selepas tiga hari memberikan keterangannya bermula 6 April, dalam kes perbicaraan Chithirakala yang menghadapi tiga pertuduhan menipu melibatkan RM4 juta yang didakwa milik MIED.

Kepada soalan lain Kevin, Samy Vellu berkata Tan Sri Rashid Manan pada awalnya diberikan 30 peratus saham dalam MIED Capital mengikut syarat kuota Bumiputera dan akhirnya beliau memulangkan saham itu selepas syarat itu tidak diperlukan lagi.

"Ia adalah keputusan saya untuk memberikan saham kepada Rashid Manan dan ahli lembaga MIED tahu mengenai saham itu," katanya.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa Rashid akhirnya diminta mengambilalih pembinaan kolej perubatan AIMST milik MIED di Kedah selepas MIED tidak mampu membayar kontraktor utama.

Samy Vellu semasa pemeriksaan utama pada 7 April, memberitahu mahkamah bahawa semasa MIC mencadangkan pembinaan kolej perubatan itu, Rashid yang menyediakan pinjaman awal sebanyak RM5 juta untuk memulakan projek itu.

Pada 11 Mei tahun lalu, Chithirakala, 40, mengaku tidak bersalah menipu bekas Bendahari Agung MIC, Tan Sri M Mahalingam, 74, pengarah dan penandatangan MIED Sdn Bhd dengan memperdayakan beliau untuk menandatangani tiga keping cek - masing-masing satu bernilai RM1 juta dan sekeping lagi RM2 juta pada 2007.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Jadadish Chandra sama ada tiga keping cek itu ditanda tangan oleh beliau, Samy Vellu berkata ia ditanda tangan oleh Mahalingam dan Datuk K Kumaran selaku pengarah MIED Capital Sdn Bhd. "Saya hanya menandatangan cek berkaitan dengan MIED dan biasanya cek itu akan diiringi dengan baucar," katanya.

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan Chandra bahawa ada masanya beliau menandatangani cek tanpa baucar.

Katanya sebagai pengerusi MIED, beliau telah memfailkan beberapa saman sivil terhadap Chithirakala dan bekas staf MIED iaitu Ramachandran Shasi Iyer sebagai sebahagian usaha untuk mendapatkan semula RM1.7 juta yang didakwanya telah "dicuri" oleh kedua-dua mereka.

Saksi kedua pihak pendakwaan iaitu anak lelaki Samy Vellu, S Vell Paari semasa pemeriksaan utama, memberitahu mahkamah bahawa Chithirakala tidak berhak bagi pembayaran RM4 juta semasa pemindahan saham kepadanya di mana pada awalnya masing-masing memiliki jumlah saham yang sama dalam Pyramid Saimira Teatre Chain(M) Sdn Bhd dan Asian Integrated Industries Sdn Bhd.

"Beliau hanya memegang saham bagi pihak saya di mana modal berbayar awal ialah RM2 dan RM4 semasa beliau membantu saya menubuhkan syarikat-syarikat itu pada 2007," kata Vell Paari.

Katanya Chithirakala memutuskan untuk menyerahkan semula saham itu kepadanya selepas enggan menjadi penjamin bagi pinjaman bank untuk kedua-dua syarikat yang terbabit dalam pengedaran filem-filem dari selatan India.

Semasa diperiksa balas oleh Chandra yang mencadangkan oleh kerana modal berbayar bagi Asian Integrated pada Julai 2007 ialah RM2.5 juta dan sepatutnya mereka menikmati perkongsian 50:50 dalam syarikat berkenaan, Vell Paari berkata wang itu disumbangkan oleh beliau sahaja dan Chithirakala tidak menyumbang apa-apa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh bersambung 27 Jun dan Rashid dijangka memberikan keterangan sebagai saksi ketiga pihak pendakwaan. (berita harian)

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: