KUALA LUMPUR, 21 Mei – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 akan menggerakkan rakyat untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil pada 9 Julai ini.
Himpunan Bersih kali kedua itu bertemakan “Walk For Democracy”, menurut Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat, Mohamad Sabu akan diadakan di Kuala Lumpur.
Namun lokasi tepat belum dipastikan lagi.
Tambah beliau, Himpunan Bersih kali kedua itu merupakan kesinambungan himpunan Bersih yang diadakan November 2007.
“Perhimpunan aman telah diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan bersama lebih 60 NGO (pertubuhan bukan kerajaan) pada 19 Mei lalu.
“Kita akan mengadakan satu lagi perhimpunan Bersih pada 9 Julai, pukul 2 petang dan tujuannya sama seperti perhimpunan sebelum ini iaitu menuntut pilihan raya yang adil dan telus,” katanya pada sidang media di sini.
Himpunan Bersih pertama yang disertai parti-parti politik beberapa bulan sebelum pilihan raya umum 2008.
Kesal dengan tuntutan sebelum ini tidak dilayan, tegas Mohamad, Himpunan Bersih kali kedua juga membuat desakan baru iaitu membantah penyalahgunaan institusi kerajaan dan tempoh berkempen dilanjutkan.
Selain itu, kata ahli jawatankuasa kerja PAS pusat itu, pihaknya bersetuju dengan tarikh yang ditetapkan itu dan akan menggerakkan ahli dan penyokong untuk menyertai Himpunan Bersih kali kedua.
“Tuntutan adalah sama seperti perhimpunan bersih yang lalu dengan pertambahan dua tuntutan iaitu penyalahgunaan institusi kerajaan dan lanjutan tempoh masa berkempen yang munasabah.
“PAS akan mengerah ahli dan penyokong untuk hadir dalam perhimpunan aman yang dijangka seramai 100,000 orang.
“Jika tiada gangguan daripada polis, perhimpunan dijangka berlangsung dengan aman seperti perhimpunan Bersih yang pertama lalu,” katanya.
Jelas Mohamad, tempoh berkempen pilihan raya perlu dilanjutkan apa yang diamalkan selama ini terlalu singkat di peringkat kebangsaan.
“Kalau di Thailand, mereka mengumumkan untuk mengadakan pada bulan Julai, lebih kurang dua bulan.
“Jadi kita minta tempoh yang munasabah, masa sekarang terlalu singkat,” katanya.
Menurutnya, tuntutan itu adalah umum di mana-mana tempat yang mengamalkan demokrasi di dunia ini.
“Kita yakin himpunan ini lebih besar dengan gabungan NGO lain untuk hidupkan demokrasi negara.
PBO: Meneropong ke depan dan nampak rintangan yang banyak. Macam sukar je.
0 respon:
Catat Ulasan