KANGAR – Seorang lelaki tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan iaitu merogol dan merompak seorang gadis.
Abu Bakar Itam, 51, dituduh merogol mangsa berumur 26 tahun dan merompak barang kemas miliknya di rumah keluarganya di Kampung Rama, Sanglang di sini.
Bagi pertuduhan pertama, Abu Bakar pada 19 Februari lalu jam 7.30 malam dituduh merompak subang dan cincin emas serta wang tunai berjumlah RM550 milik mangsa dengan bersenjatakan pisau.
Kemudian, bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada jam 8 malam hari yang sama dituduh merogol mangsa di kawasan tanah bendang.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa berada dalam rumah bersama ibunya namun, ibunya tidak berupaya membantu kerana suspek mengacukan pisau.
Bagi pertuduhan merompak, Abu Bakar didakwa di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum mengikut 397 KK yang boleh dihukum penjara 14 tahun dan denda atau sebatan.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang boleh dikenakan penjara 20 tahun dan sebatan jika didapati bersalah.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Aisyaf Falina Abdullah di hadapan Hakim Wan Norzannuar Wan Ahmad.
Hakim kemudiannya memutuskan Abu Bakar dikenakan ikat jamin 10,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan merompak manakala RM15,000 bagi pertuduhan merogol.
Kes tertuduh akan disebut semula pada 25 Mei depan. (SH)
0 respon:
Catat Ulasan