KLANG: Seorang pengamal perubatan tradisional yang dikenali dengan nama Bomoh Samsuddin dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini atas lima tuduhan merogol empat perempuan berusia antara 13 dan 22 tahun ketika menjalankan upacara mengubat mangsanya.
Bagaimanapun, Meswan Tujut, 42, dari Parit Sulong, Johor tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan. Di hadapan Hakim Norsyaridah Awang, lelaki itu didakwa atas dua tuduhan merogol remaja 13 tahun dan wanita berusia 21 tahun di Sungai Udang dan Sekinchan, dekat sini, masing-masing pada Oktober 2007 dan September 2010.
Di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman, lelaki yang ditahan pada 29 Mac lalu itu didakwa merogol seorang lagi remaja 13 tahun antara jam 1.30 tengah hari dan jam 3 petang, di Sekinchan, sekitar April 2008. Bagi setiap pertuduhan rogol, dia didakwa mengikut
Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Meswan turut didakwa atas dua lagi pertuduhan merogol wanita berusia 22 tahun 10 bulan selepas memperdayakan mangsa dengan khidmatnya sebagai bomoh juga di Sekinchan pada 8 dan 15 Mac lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (F) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hasim tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan dakwaan terhadap tertuduh adalah serius kerana ia membabitkan pengamal perubatan tradisional.
Beliau berkata, sekiranya lelaki itu dibenarkan untuk diikat jamin, ia boleh mendatangkan bahaya kepada wanita lain di samping tertuduh mungkin akan mengganggu mangsa. Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon dibebaskan dengan ikat jamin dengan memberi alasan tidak melakukan perkara seperti dalam semua pertuduhan. Norsyaridah dan Siti Noraida membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya tertuduh tidak dibenarkan untuk diikat jamin. Mahkamah menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan lantikan peguam dan serahan laporan perubatan. HM
0 respon:
Catat Ulasan