Sabtu, 16 April 2011

Bayi diserang kera

MERLIMAU - Jeritan seorang ibu tunggal dan bayi diasuhnya berjaya menyelamatkan diri dan bayi itu daripada terus menjadi mangsa amuk seekor kera liar yang menyerang mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi semalam, mangsa, Rokiah Abdul Rahman, 59, sedang menidurkan Siti Hajar Abdul Razak, 1 tahun 3 bulan, di ruang tamu rumahnya di Kampung Kilang Berapi, Merlimau sebelum dia juga tertidur.







Namun, kesakitan akibat gigi-tan di tangan menyebabkannya terjaga.

“Saya menarik tangan saya menyebabkan kera liar itu menerkam Siti Hajar yang sedang lena.

“Kera itu mencakar muka dan memeluk Siti Hajar bagaikan enggan melepaskannya," katanya.
Rokiah berkata, dia yang panik cuba menyelamatkan Siti Hajar dengan mencengkam kera terbabit namun haiwan itu masih memeluk bayi berkenaan.

"Mujur jiran datang membantu dengan mencapai besi dan kemudian mengetuk kepala kera untuk menghalaunya keluar," katanya kepada pihak media ketika ditemui sewaktu mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, di sini, semalam.

Akibat serangan itu, Rokiah cedera di kedua-dua belakang telapak tangan kiri dan kanan, sementara Siti Hajar cedera di muka, dagu, pipi, gusi, mulut serta tangannya.

Rokiah berkata, walaupun semua pintu dan tingkap rumah ditutup, kera liar berkenaan masih berjaya memasuki rumah.

"Nasib baiklah jiran terdengar jeritan saya, jika tidak entah apa yang berlaku.

"Walaupun saiznya tidak sebenar mana, tetapi saya bimbang jika kera liar terbabit bertindak lebih ganas," katanya.

Menurutnya, dia tidak tahu kenapa pada hari kejadian, dia tergerak hati menutup semua pintu dan tingkap rumah, tidak seperti hari biasa.

“Entahlah mungkin Tuhan menggerakkan hati saya berbuat demikian, tetapi kera tetap masuk ke dalam rumah.

"Saya yakin, kera terbabit masuk melalui bumbung rumah kerana kucing selalu masuk melalui bumbung yang tidak bertutup," katanya.

Selain Siti Hajar, Rokiah turut menjaga dua lagi kanak-kanak, tetapi seorang daripadanya bermain di dalam bilik, sementara seorang lain tidak datang.

Rokiah dan Siti Hajar dihantar ke Klinik Kesihatan Merlimau sebelum dibawa dengan ambulans ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu bapa Siti Hajar, Abd Razak Bakar, 33, berkata, dia mendapat panggilan daripada isterinya, Halizah Mohamad, 33, ketika sedang tidur di rumah.

“Halizah memaklumkan dia dihubungi anak Rokiah dan memberitahu Siti Hajar diserang kera.
“Saya segera mengambil isteri yang bertugas di Politeknik Merlimau dan terus ke Klinik Kesihatan Merlimau," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana anaknya selamat walaupun mengalami kecederaan.
“Apabila mendapat tahu kejadian ini, terbayang-bayang di mata saya kejadian yang berlaku terhadap kanak-kanak yang diserang kera sebelum ini," katanya. - SH


RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: