Sabtu, 21 Julai 2018

Penyokong PH dan UMNO 'panas' semasa penamaan calon PRK Sg Kandis

PRK SG KANDIS | Seperti pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini, khususnya ketika penamaan calon, pagi ini juga tidak terlepas dengan perang mulut penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) dan BN.

Lebih memanaskan keadaan, PRK Sungai Kandis adalah PRK pertama di mana dua gabungan politik itu bertukar kedudukan - HARAPAN selaku pemerintah dan BN pula pembangkang.

Penyokong HARAPAN yang mula berkumpul di perkarangan Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19 Shah Alam, seawal jam lapan pagi melaungkan kata-kata seperti 'perompak', 'pencuri' dan 'penyangak terhadap penyokong BN.

Ia dipercayai merujuk kepada sejumlah dakwaan salah laku pentadbiran lalu - terutama skandal 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak - yang menjadi perhatian selepas HARAPAN mengambil alih kuasa.

Namun agak menarik apabila sejumlah penyokong HARAPAN turut membangkitkan ketiadaan bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini. Beliau dilihat semakin bertentangan dengan kepimpinan parti pada masa ini.

Sementara itu, penyokong BN membalas serangan itu dengan melaungkan 'HARAPAN tipu rakyat' dan 'kencing', merujuk kepada beberapa janji manifesto gabungan itu yang belum dilaksanakan pada masa ini.

Antaranya soal penurunan harga minyak selepas HARAPAN menjadi kerajaan. Untuk rekod, manifesto HARAPAN tidak menyebut secara khusus untuk 'menurunkan harga minyak' sebaliknya untuk menstabilkannya dan memberikan subsidi bersasar.

Selain perang mulut itu, keadaan semakin hangat apabila penyokong BN bergerak ke arah dewan dan melanggar jarak 50 meter yang disyaratkan kepada penyokong.

Sejumlah anggota polis bergerak untuk menghalang mereka. Mereka kemudian memasang penghadang bagi menghalang mereka.

PRK Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Zawawi Mughni (PKR), Datuk Lokman Noor Adam (BN) dan K. Murthy (Bebas).

Ia diadakan selepas penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi menang kerusi itu dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Datuk Kamaruzzaman Johari (BN), Mohd Yusof Abdullah (PAS) dan Hanafiah Husin (PRM).

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: