Sabtu, 2 Jun 2018

K.E.P.A.R.A.T

Terdapat banyak pertanyaan dalam kalangan umat Islam, di manakah suara ulama dan agamawan tatkala 1MDB sedang mendapat perlindungan regim terdahulu.

Mengapakah misalnya kaum ulama dan agamawan tidak dapat mencontohi sunnah terbesar Nabi Muhammad iaitu melawan penyelewengan dan korupsi.

Hari ini, kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) membuka seribu satu macam kisah hitam 1MDB yang disebutkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sebagai bukan cerita rekaan dan sesuatu yang besar.

Ketika bangkai skandal kewangan ini sedang cuba ditutup dengan nyiru terdapat banyak insiden persekongkolan agamawan dan institusi agama secara sedar, mahupun tidak sedar.

Insiden bergomolkasih sepanjang gegernya isu 1MDB ini menyebabkan kita tertanya; di manakah suara golongan agamawan. Mengapakah bukan mereka yang terkehadapan?

Wajar untuk kita melihat semula beberapa insiden persemendaan terang-terangan ini, iaitu ibarat bagaimananya berseronok-seronok dengan pasangan nikah misyar di siang hari Ramadan.

Tujuan merenung semula kemesraan agamawan 1MDB ini adalah sebagai satu muhasabah dan renungan. Moga-moga dengan keberkatan bulan mulia ini, kita umat Islam akan lebih jernih menilai.

Pada 21 hingga 23 Februari 2014 misalnya, bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia Bangi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama 1MDB menganjurkan sebuah acara bernama “Seminar Magnet Kerjaya Pelajar Jakim-1MDB 2014”. Ia berjalan bersama-sama selebriti Islamis kesayangan ramai, Amin Idris.

Seminar ini dilaporkan dimeriahi oleh 50 orang “pelajar Jakim-1MDB” iaitu para penerima geran tahunan Jakim-1MDB yang melanjutkan pengajian agama di beberapa institusi pengajian Islam seperti Usim, UM, UITM, Unimas, UIA, Unisza dan Darul Quran Jakim. Pengarah Bahagian Kemajuan Islam Jakim, Ramlah Yong merasmikan penutup seminar tersebut sambil turut menyampaikan sijil penyertaan.

Kemudiannya, pada awal tahun 2017, Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu masih di blok pembangkang mengkritik perihal 1MDB menerusi Yayasan 1MDB yang membawa lebai dan siak masjid ke Mekah. Sejak 2011, yayasan itu dikatakan menaja ahli jawatankuasa masjid untuk menunaikan haji.

Sebagai contoh, pada 2011, seramai 111 jemaah dari seluruh negara dihantar menunaikan ibadah haji dan jumlah itu bertambah kepada 400 orang pada tahun berikutnya, 2013 (800), 2014 (1,000) dan 2015 (1,200). Sementara pada 2016, seramai 150 imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari Sarawak pula dipilih menyertai program itu.

Dr Mahathir menyatakan perbuatan menghantar lebai dan siak masjid menunaikan haji dengan tajaan 1MDB itu tidak ubah seperti “jika anda pergi dan menunaikan haji dengan wang curi, ia seperti tahu pinggan penuh dengan makanan haram, anda makan juga”.

Kritikan Dr Mahathir itu pada waktu tersebut, bukan sahaja tidak disahut oleh kaum ulama, dan agamawan. Sebaliknya mereka membidas Dr Mahathir beramai-ramai.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman misalnya dipetik berkata, “Hanya Allah layak menentukan sama ada ibadah haji seseorang itu mabrur atau tidak dan mabrur hanyalah ibadah yang dilaksanakan sewaktu berada di Mekah, tiada kaitan dengan soal siapa yang memberi wang.”

Korupsi dan fekah

Penyimpangan dari niat sebenar kritikan Dr Mahathir itu menyebabkan persoalan korupsi yang lebih besar dipersoalkan menjadi satu isu fekah yang ringan.

Dalam pada itu, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sempat mengingatkan Mahathir supaya “tidak berlagak pandai dalam hukum berkaitan Islam sehingga berani mempersoalkan hal ibadat haji orang lain”.

Ikut menyuarakan nada yang sama ialah Exco Pemuda Umno, Datuk Fathul Bari Mat Jahaya yang dilaporkan “menasihat Dr Mahathir dalam usia yang semakin lanjut” agar “lebih baik berehat dan menumpukan kepada ibadah beliau sendiri”.

Terdapat kaum agamawan di universiti ikut halai-balai mempertahankan kecuaian kaum agamawan ini. Mohd Hisham Kamal dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam kertas berjudul “Memelihara Kemurnian Akidah dan Amalan Muslim: Peranan dan Cabaran Institusi Mufti Dalam Era Globalisasi”, sebagai contoh, menyatakan simpati golongan mufti ini disalah ertikan.

Dalam kertas terbitan Jurnal Kanun itu, mufti dihuraikan sebagai benteng Ahlus Sunnah wal Jamaah dan mereka berusaha agar dapat meningkatkan “ketajaman berijtihad” dengan “bersikap proaktif mengeluarkan fatwa dan nasihat”.

Hisham dalam kertas itu amat kasihan terhadap mufti yang dikecam oleh pengkritik 1MDB.

Beliau menulis” “Mufti juga biasanya kelihatan bersendirian untuk mendepani sesuatu isu. Lebih mendukacitakan apabila kadang-kadang pendapat mufti disanggah oleh ahli agama lain.

“Kadang-kadang sesuatu nasihat atau pendapat daripada mufti dilihat oleh sesuatu golongan dalam masyarakat sebagai menyebelahi kerajaan hingga menimbulkan tuduhan dan fitnah terhadap mufti.

“Contohnya, baru-baru ini Tun Dr Mahathir Mohamad membidas mufti yang menyangkal dakwaannya bahawa jemaah haji tajaan IMDB tidak mendapat haji mabrur sebagai pengampu kerajaan.”

Khutbah Jumaat dan agamawan pekak

Sorak-sorai mengenai 1MDB dalam tahun-tahun 2014 sehingga 2017 itu jatuh ke telinga yang tuli dalam kalangan agamawan.

Meskipun tanda-tanda ekonomi negara sedang tenat dan terdapat kehebohan mengenai 1MDB, khutbah Jumaat yang disediakan Jakim kekal bergaya memuji kepintaran Datuk Seri Najib Razak dalam menguruskan ekonomi negara. Khutbah “Jihad Ekonomi” pada 30 Oktober 2015 sebagai contoh memuji Najib menurut prinsip Maqasid, dan konsep Wasatiyyah atau bersederhana:

“Seiring dengan itu, mimbar menyambut baik pengisian Bajet 2016 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini, yang jelas menunjukkan tumpuan serius kerajaan terhadap usaha mengukuhkan daya tahan ekonomi, mengurus impak pendedahan luaran dan melindungi kebajikan rakyat.

“Dengan tema Mensejahterakan Rakyat, ramai penganalisis ekonomi menyifatkan bajet kali ini, sangat menyeluruh dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Usaha ini juga merupakan sebahagian daripada elemen jihad ekonomi kerana mematuhi kehendak prinsip Maqasid Syariah dan konsep Wasatiyyah (bersederhana) dalam konteks memelihara agama pada bidang ekonomi serta pembentukan jiwa dan akal masyarakatnya.”

Sementara pada 29 Disember 2017, khutbah Jumaat disediakan Jakim dengan judul “Kemakmuran Ekonomi Kesejahteraan Rakyat” menyamakan “transformasi dalam pengurusan” bagi bajet 2018 dengan transformasi pengurusan yang pernah dikemukakan Saidina Umar al-Khattab.

Persamaan itu “melalui pelbagai kreativiti dan inovasi yang berwawasan yang seterusnya menjadi tonggak penyebaran Islam dan pemerkasaan umat Islam”.

Mengapakah kita berdepan dengan ulama atau agamawan yang tidak peduli begini? Di manakah salahnya?

Salahnya ialah kita tidak mewarisi Islam yang benar daripada Rasulullah. Kita mewarisi “Islam Parameswara”.

Ulama “Islam Parameswara” adalah jenis ulama korporat atau keparat. Ia dapat kita lihat dalam sejarah pada Maulana Yusuf yang mengajar Kitab Maklumat kepada Sultan Mahmud tetapi membiarkan baginda membunuh seisi keluarga Tun Fatimah.

Atau ulama seperti Maulana Jalaluddin yang berpihak dan membantu Raja Kassim untuk membunuh Raja Rekan serta Sultan Abu Syahid yang masih kecil. Selepas berjaya melakukan penggulingan, Maulana Jalaluddin menuntut janjinya untuk dinikahi dengan perempuan bangsawan.

Agamawan begini, Ahlul-1MDB, tercermin pada kata-kata akhir Bendahara Paduka Raja, ketika nazak hendak mati.

Dia bersyarah panjang lebar dengan kata-kata akhirnya: “Raja itu umpama ganti Allah dalam dunia, kerana ia zillu’llah fil’alam. Apabila berbuat kebaktian kepada raja, serasa kebaktian akan nabi Allah; apabila berbuat kebaikan kepada nabi Allah, serasa berbuat kebaktian kepada Allah taala. Firman Allah taala: ati’ul-laha wa’ati ‘ur Rasula wa ulil amri minhum yakni kebaktianlah kamu akan Allah, dan akan rasul-Nya, dan akan raja, inilah wasiatku kepada kamu semua. Hendaklah jangan kamu sekalian lupa, supaya kebesaran dunia akhirat kamu semua peroleh.”

Demi kebaktian itu mereka sengaja memekakkan telinga meski seisi dunia memekik heboh mengenai korupsi.

Ya Ahlu 1MDB, Kum Fa’anzir.

Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan di bawah pentadbiran Najib Razak.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

6 respon:

Tanpa Nama berkata...

Hati hati menyebarkan tulisan faizal tehrani...

Tanpa Nama berkata...

Pergi haji dan beribadat dengan modal hutang dan besar kemungkinan hasil money laundering. Melayu Islam macam ini patut cari Tuhan lain selain Allah. Jangan rosak agama sebab mereka yang jahil.

Tanpa Nama berkata...

Mata,telinga,mulut mereka2 yg kononnya ulamak dah ditutup dgn kesenangan dunia. Sebab itu tiada yg mahu bersuara. Lebih menyedihkan ada yg menghalalkan semuanya. Nasib baik hidung tak tutup..kalau hidung pun tutup dah lama kojol.

Yang paling lawak pula ialah Pas...mereka berpuashati kononnya...apa yang mereka puashati sangat tu pun mereka sendiri tak tahu..kah kah kah

HADIGOL berkata...

bagus tulisan ni ada asasnya. biasanya yg membela puak 1mdb ini samada mereka tkde maklumat betul, takut hilang kedudukan atau tak faham perjalanan 1mdb yg sgt teknikal. tu sbb titm puashati dgn arulkanda... sbb tkfhm maka setuju ajela.

kita tk nafi bahawa jakim memng lbh kpd mempertahankn umno bn disamping kerja islam yg baik jg. jika hendak ditutup jakim blh saja. peranan jakim blh diserah pd pihak lain yg lbh bebas.

jgn pula ada yg kata tutup jakim sebagai anti islam. jakim hnya sebuah jabatan sama jg pas hnya parti. islam tk semesti pd branding.

sy pakai baju koboi yg tutup aurat...baju tu dh jd baju islam sebb mematuhi syariat. tk perlu dibranding baju koboi islam.

anyway tuan faisal tehrani, jika tn dipengaruhi syiah mohon kikis fikiran itu dn kembali kpd islam yg benar. nama tehrani pun sudah berunsur pro syiah sbb rasanya tn tk lahir disana.

jgn pula sampai guna gelaran isfahani... kerana ia tempat kluarnya dajjal. dn syiah adalah ajaran ciptaan dajjal.

Tanpa Nama berkata...

Di akhir zaman ini, terdapat sebilangan manusia liberal dan Syiah yang mencipta cerita dongeng tahap novel fiction untuk menghasut orang ramai membenci ulama-ulama Islam supaya ajaran sesat seperti liberalisme dan Syiah dll boleh berkembang di negara ini.

Bila otak sudah dipenuhi dengan liberalisme dan Syiah, semua ulama Islam dipandang serong tetapi pemimpin munafik sekular liberal dan kafir harbi dipandang suci dan mulia.

Bukankah ini tanda akhir zaman ?

Maka gembiralah syaitan dan iblis kerana terdapat manusia bodoh yang sudi melakukan kerja syaitan dan iblis menjauhkan manusia dari agama Islam.

PokAmid berkata...

Bukan tugas kita orang2 Islam utk menghasut supaya ulamak dibenci.
Yg saya nampak, ulamak2 sendiri lah berjiwa jumud dan tidak peka dengan penyelewengan berskala besar oleh pemerintah dan the geng.
Tak mungkinkah ulama-ulama ni telah didedaki?