Jumaat, 12 Ogos 2016

Tak salah Pas dan Umno bersatu, kata Nik Abduh

Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz

Ketua Pemuda Pas Pusat Nik Mohd Abduh Nik Aziz berkata, tiada salahnya parti itu bersatu dengan Umno bagi menyokong pindaan Rang Undang-undang (RUU) 355 jika MCA dan DAP bersatu menentang akta tersebut.

Menurut beliau yang juga ahli parlimen Pasir Mas, Pas kini menyandarkan harapan kepada Umno yang menyokong pindaan RUU355 walaupun dahulunya menentang.

“Kini, pada masa MCA dan DAP bersatu menentang, harapan adalah pada kelibat Umno yang dulunya menentang, tetapi kini turut bersama menyokong RUU355 ini.

“Ia adalah berita baik yang ditunggu-tunggu. Kalau DAP dan MCA boleh bersatu, apa salah Pas dan Umno bersatu juga dalam isu yang sama,” kata beliau dalam satu kenyataan d facebook.

Nik Abduh juga berkata, Pas dan banyak badan bukan kerajaan (NGO) Islam telah sepakat untuk menyeru seluruh ahli parlimen muslim agar menyokong RUU355 ini dan merupakan hari besar untuk Islam di Malaysia.

"Jika ada ahli parlimen bukan Islam turut menyokong, maka ia adalah bonus besar buat penyatuan dan kesejahteraan negara yang wajar dirayakan juga.

"Seperti saya tekankan di atas, sebagaimana Umno memerlukan masa untuk memahami, MCA dan DAP lagi-lagilah memerlukan masa. Pas sentiasa mencadangkan dialog dan perbincangan yang sejahtera dan terbuka. Ia telah lama berlaku dan akan terus berlangsung insya-Allah," katanya.

Beliau sebelum itu mendakwa MCA dan DAP bersatu hati menentang RUU355 yang bertujuan memperkasakan kedudukan mahkamah syariah dalam sistem perundangan negara.

Penyatuan Pas Umno
Penyatuan Pas Umno

Secara mudah dakwanya, kedua-dua parti dominasi bukan Islam itu mempunyai dua matlamat yang sama iaitu memastikan berkembangnya arus sekular yang menolak peranan agama dalam politik negara dan keduanya, saling berebut undi non muslim.

"Dengan membesarkan isu pelaksanaan hukum hudud melalui RUU355 ini, mereka cuba menggambarkan masa depan Malaysia yang gelap jika ia diluluskan.

"Saya tidak fikir pula jika hak dan tuntutan golongan LGBT diterima dalam negara, kedua-dua parti ini akan bersatu hati menentangnya. Dalam erti, memperkasakan perundangan Islam dalam negara adalah lebih bahaya dan menggelapkan masa depan negara berbanding kehadiran LGBT yang sedang berkembang menghancurkan dunia barat kini,” katanya.

Tegas beliau juga, pemerkasaan sistem Islam yang menyeluruh dalam negara asalnya adalah perjuangan Pas yang tidak dikongsi oleh mana-mana parti politik sebelum ini.

Beliau berkata, dalam sistem perundangan Islam yang diimplementasikan melalui mahkamah syariah, titik-titik kelemahan adalah amat ketara.

Pas katanya sentiasa menyeru kepada islah yang menyeluruh dan RUU355 adalah sebahagian daripadanya.

"Tujuan adalah jelas. Ia agar mahkamah syariah menjadi sebahagian daripada institusi dalam negara yang mendidik umat Islam agar hidup berguna sebagai hamba Allah dan menjadi warga negara yang baik.

"Hukuman agama nilainya adalah pada keberkesanan dan kejayaan mendidik dan mencegah kejahatan,” katanya.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

0 respon: